Rabu, 19 Ogos 2015

PROMO 1 : Bab 14

BAB 14
SEMALAMAN DI WAD ITU

Pintu dikuak dari dalam. Doktor keluar dari bilik rawatan. Kami berempat mengikut beliau ke biliknya.

“Hanguk-mallo haedo dweyo?”
(Boleh saya berbahasa Korea?)

Kami mengangguk pantas. Kalau berseorangan aku bimbang juga seandainya tidak memahami, tapi sekiranya berempat aku yakin kami boleh saling membantu untuk memahami tutur kata seorang doktor yang mungkin mengandungi terma-terma kedoktoran yang pasti janggal di telinga kami.

“Ada dua berita, yang buruk dan yang baik. Saya akan ceritakan yang baik dahulu. Kawan kamu selamat. Dia dah stabil sekarang. Yang buruknya, kawan kamu telan banyak pil paracetamol. Mungkin dia tertekan. Sekiranya kamu tidak cepat-cepat bawa dia ke hospital, dia mungkin kehilangan nyawanya.”

Kami terdiam. Tidak tahu mahu merespon apa. Ia benar-benar sebuah kejutan. Mana mungkin Hanis akan bertindak sejauh itu hanya kerana pertengkaran kami tempoh hari?

“Itu sahaja rasanya yang perlu saya maklumkan pada kamu. Selebihnya saya akan berurusan dengan pihak universiti. Tadi, mereka dah hubungi saya. Tugas kamu berempat adalah cuba untuk tidak membuat Hanis tertekan dan mengulangi lagi perbuatannya. Pastikan dia gembira. Teman dia. Jadi kawan dia.”

Sejurus mengucapkan terima kasih, kami terus keluar dari bilik doktor itu menuju ke wad yang menempatkan Hanis. Jururawat masih berada di situ sewaktu kami sampai. Selesai urusan, mereka bergerak keluar dari bilik Hanis. Tinggallah kami berempat dan Hanis yang sedang terbaring lesu di atas katil.

Kami berpandangan sesama sendiri. Masih terkejut dengan apa yang berlaku. Mata kami semua tak lepas dari memandang Hanis. Wajahnya kusam dan nampak tidak bermaya. Wayar berselirat di tangan dan di badan.

Tiba-tiba Syifa menyentuh bahuku. Dia menunjukkan padaku skrin telefonnya. Post yang dikongsi pada hari ini. Tertera di newsfeed facebooknya;

‘Adam Izwan Mohd Rahim was tagged in Zubair Ali’s photo.’

Aku meneliti gambar dan kapsyen itu.

‘Congrats, bro. Tak sangka kau lagi laju dari aku!’

“Biar betul nih? Takkan adam sanggup buat Hanis macam tu?”

Aku berbisik perlahan di telinga Syifa. Syifa hanya mengangkat bahu.
Nurul dan Seri yang melihat pada perubahan wajah kami segera menghampiri.

“Apa?”

Mereka menunjukkan riak mahu tahu. Syifa menyerahkan telefon pintarnya kepada Nurul. Seri menekup mulut kerana tidak percaya.

“Tak ada angin, tak ada ribut macammana si Adam dah kahwin pulak ni?”

“Ya Allah, kasihannya Hanis. Ni post kelmarin ni. Maybe Hanis baca yang ini sampai dia jadi macam ni.”

“Makin geram aku dengan Adam nih. Selamba je dia mainkan hati orang.”

“Patutlah Hanis tertekan. Tapi kenapa dia diamkan aja semua ni. Aku ingat sebab dia bertengkar dengan aku masa dia cabar aku tu.”

“Aku rasa Hanis malu. Dia kan banyak sakitkan hati kau, Sufi.”

Kami rancak berborak hingga terlupa bahawa Hanis sedang tidur. Kami simpan dulu semua cerita ini kemas-kemas dan zip mulut kami. Hanis tak perlu tahu yang kami sudah tahu perkara yang sebenar.

Patutlah berulang kali aku mendengar ibuku membebel apabila membaca kisah cinta anak-anak remaja sekarang di dada akhbar. Sekarang baru aku faham kesannya hingga boleh meragut nyawa. Kalau aku jadi ibu, pasti aku akan membebel perkara yang sama pada anak-anakku baik lelaki mahupun perempuan.

Jangan sesekali bercinta sehingga menyerahkan semua kepercayaan kepada sesiapa yang belum sah menjadi pasangan kita. Cinta sahaja tidak cukup untuk membahagiakan seandainya tiada tanggungjawab. Cinta sahaja bukan jaminan untuk sampai ke alam perkahwinan kalau dari awal lagi tiada kejujuran.

Bila hati kita dipenuhi cinta pada manusia, maka tiada lagi ruang untuk cinta pada tuhan di hati kita. Serahkan dulu hati pada Allah, Allah akan dorongkan hati kita pada orang yang Dia perkenan bila sampai masa yang tepat.

Dan, maksiat itu akan kelihatan sangat indah. Ia dibayangi syurga dunia. Dan syaitan itu sangat licik. Ia membayangi maksiat itu dengan keindahan yang palsu. Mula-mula kita terbiasa dengan dosa kecil, lama-lama dosa besar pun sudah tidak memberikan kesan pada hati kita. Tiada lagi rasa takut berbuat dosa.

Kami berempat menunggu sehingga maghrib. Mujur bilik Hanis ini ada tandas dan ruangannya agak luas. Jadi mudah untuk kami solat di bilik ini sahaja memandangkan tiada surau di hospital ini.
Aku dan Seri pulang dahulu. Malam ini giliran Syifa dan Nurul menemani Hanis.
***
Sekalipun aku berada di atas katil yang empuk di bilikku ini, mataku masih enggan pejam.

“Seri, kau dah tidur ke?”

Aku cuba memanggil Seri. Namun tiada respon. Seri telah hanyut dalam mimpinya. Manakala aku masih terkebil-kebil menanti hari esok. Aku yakin, bila Hanis terjaga dari tidurnya yang panjang itu pasti suasananya akan berubah sama sekali.

Aku sudah siap membeli bubur nasi dari sebuah kedai bubur nasi yang terkenal di Korea, Bonjuk. Aku minta dia balutkan dengan plastik khas kerana aku mahu bubur ini masih panas bila Hanis bangun untuk bersarapan nanti.



“Dah siap dah beli bubur, Sufi?”

“Dah. Jom cepat. Nanti sejuk bubur.”

“Aku kagum la dengan kau ni, Sufi.” Mata Seri redup memandangku. Aku diam tidak berkata apa.

“Macam tu punya teruk Hanis buat kau, sampai kau tak lalu makan fikir pasal dia, sampai sekarang kaulah orang yang paling bersungguh-sungguh nak Hanis sembuh.” Mataku sudah berkaca. Emosiku kini tak stabil. Asal sahaja perkara ini dibangkitkan, secara sendirinya air mataku merembes keluar.

“Kalau aku di tempat kau, memang dah lama tawar hati. Bukan senang nak padam semua sakit tu.” Seri tidak memandangku lama. Dia enggan turut sama menangis.

“Sebab korang kawan aku. Kawan aku dunia akhirat. Seumur hidup aku, tak pernah aku jumpa kawan sebaik korang. Kalau kau di tempat Hanis pun aku akan bersungguh nak kau sembuh, Seri.” Aku masih pegang pada kata-kata kak Adilah. Aku bersahabat kerana aku ingin masuk syurga bersama-sama.

Kami berdua menaiki bas ke hospital. Tidak jauh. Menaiki bas kira-kira 20 minit.

Aku menolak perlahan pintu bilik Hanis. Syifa dan Nurul masih terlena di atas sofa. Hanis tiada di katilnya. Bunyi pancuran air di tandas memberiku andaian bahawa Hanis sudah bangun dari tidurnya yang panjang.

Aku dan Seri mengejutkan rakanku yang sedang nyenyak tidur. Pasti semalaman mereka berjaga menemani Hanis.

“Nurul, bangun! Korang baliklah. Kitorang ganti pulak.”

Nurul sudah membuka matanya. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan. Duduk menegak dan melunjurkan kaki. Mungkin kakinya kebas kerana terpaksa tidur di atas sofa yang kecil itu.

Pintu tandas dibuka dari dalam. Hanis kelihatan sudah bertenaga berbanding hari dia jatuh pengsan. Aku mengisyaratkan pada Seri supaya membantu Hanis berjalan ke katilnya. Aku bimbang Hanis akan menolak sekiranya aku yang menghulurkan bantuan. Aku tidak tahu apa yang sedang difikirkan Hanis.

Sepanjang menemani, aku hanya diam. Aku tidak mahu Hanis tertekan dan menaikkan kemarahannya seperti tempoh hari sekiranya aku bersuara. Mana tahu kalau Hanis masih membenciku?

Hanis juga begitu. Dia hanya diam sepanjang hari. Tidak bercakap walau sepatah. Hanya mengangguk dan menggeleng bila ditanya. Mujur Seri memahami. Tanpa bersoal banyak, Seri duduk di tepi katil Hanis dan bersedia untuk membantu sekiranya diperlukan. Dan aku hanya memerhati dari jauh. Tak apalah. Asal Hanis sihat dan boleh kembali belajar seperti dulu.

Kira-kira jam 3 petang, seorang doktor wanita masuk ke bilik Hanis. Setelah melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan yang Hanis sudah boleh pulang. Namun dia diberi surat kebenaran cuti untuk berehat di asrama dan tidak perlu ke kelas. Mujurlah, sekarang ini memang waktu cuti pun.
Aku mengemas semua barang-barang Hanis dan bersedia untuk bertolak. Seri menolak kerusi roda Hanis sehingga ke pintu depan hospital. Aku membontoti dari belakang.

Aku menahan teksi dan meletakkan barang-barang di bonet kereta. Seri membantu Hanis masuk ke dalam teksi. Aku pula mengambil tempat di sebelah pemandu dan memberikan alamat asrama kepada pemandu teksi tersebut.

Sampai di asrama, Nurul dan Syifa sudah menunggu di lobi. Merekalah yang memapah Hanis sampai ke bilik. Mujur Hanis masih boleh berjalan. Cuma badannya terasa lenguh kerana lama berbaring.
Sejak Hanis balik dari hospital, aku sering menghabiskan masa di perpustakaan. Perpustakaan tetap dibuka walau pada musim cuti semester.

Aku hanya pulang ke asrama bila malam sudah menjengah. Sekadar untuk tidur. Subuh-subuh lagi aku akan keluar dari bilik. Sekalipun begitu, aku sering berjumpa dan bersembang dengan rakan-rakanku yang lain di luar asrama. Dan mereka memahami situasiku ketika ini.

“Sufi, sampai bila kau nak keluar awal pagi, balik lewat malam? Nanti kau pulak yang sakit.”
Nurul menyatakan kebimbangannya dengan tindakanku itu.

“Aku takut Hanis marah lagi pada aku. Nanti lagi teruk dia sakit. Lagipun, Hanis tak bercakap dengan korang jugak, kan?”

“Mungkin Hanis perlukan masa, Sufi.”

Syifa menenangkan aku.

“Aah, aku pun rasa Hanis perlukan masa. Jadi aku bagi dia masa untuk bersendiri tanpa kehadiran aku di depan mata. Siapa tahu, dia akan lebih cepat sembuh.”

“Kalau kau kata macam tu Sufi, kami terima. Tapi kalau kau ada masalah, kau kena janji takkan pendam sorang-sorang.”

Aku hanya mengangguk dengan saranan Seri.

“Korang memang sahabat yang baik. Mati hidup semula pun belum tentu dapat kawan macam korang.”

Aku menangis teresak-esak. Terharu dengan kejujuran persahabatan mereka.

“Kami lagi beruntung dapat kau sebagai kawan, Sufi. Belum pernah seumur hidup aku tengok orang yang macam kau, ikhlas bersahabat. Sanggup berkorban demi sahabat. Hanis rugi kerana buang kau.”
Kami berempat berpelukan. Selain keluargaku di kampung, sahabat-sahabatku inilah yang menduduki carta teratas dalam hatiku.

Aku bukannya mahu menjauhi Hanis kerana berkecil hati, namun aku bimbang sekiranya kehadiranku di depan Hanis menambah lagi tekanan yang dialami. Biarlah masa yang merawat Hanis.


Tiada ulasan: