Rabu, 19 Ogos 2015

Pre Order Novel Korea

PRE ORDER DIBUKA!
NOVEL KOREA: Yongwonhan Chingu (BFF)
by #zulaihahkarim

Alkisahnya, pihak humaira publication mesej bagitahu, buku dah siap cetak!
Alhamdulillah, awal dari yang kami jangka. jadi sekarang ni nak buka pre order untuk 50 buah yang terawal.

yang ni ada autograph sekali :)
Sape yang berminat boleh diisi di link berikut untuk tempahan.
Bayar kemudian bila stok buku dah sampai di tangan saya :)

https://docs.google.com/forms/d/1uJSuHx74zNmqyH8TKp30fELVkncO2kjmbg3_ADPxxbo/viewform

Untuk membaca promo novel ini, boleh klik link di bawah:

http://hambaanakdagang.blogspot.com/2015/08/promo-1-bab-14.html

http://hambaanakdagang.blogspot.com/2015/08/promo-2-dialog.html

http://hambaanakdagang.blogspot.com/2015/08/promo-3-bab-2.html




PROMO 3: Bab 2

Selesai urusan imigresen, bagasi dan kastam kami berlima menolak troli menuju ke pintu ketibaan. Ramai orang sedang menunggu.

Ada beberapa orang memegang kertas yang ditulis nama tetamu. Sempat juga aku mengeja satu persatu. Mana tahu nama kami ada. Huh, bajet famous kononnya.

‘Sufiah binti Megat’

Eh, itu nama aku!

Wah, tak sangka! Famous juga ya aku, heh.

Sebenarnya aku ini bolehlah dikira wakil kepada rombongan yang sampai hari ini. Semasa di kampus persediaan memang aku pun yang selalu berjumpa dengan Pn. Zarith, pegawai yang menguruskan kami berkenaan sebarang isu akademik. Melalui Pn. Zarith, aku berkenalan pula dengan seorang pensyarah di Korea. 

Terutamanya bila tarikh penerbangan kami ke Korea semakin hampir. Lewat emel aku bertanya pelbagai soalan kepada Prof. Lee yang berada di Korea. Prof. Lee adalah pensyarah yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan kami di Korea. Agaknya sebab itulah, namaku terpampang besar di lapangan terbang ini.

“Fuyoo.. tengok tu. Ramainya oppa (abang).”

Hanis menjerit apabila terpandang kertas yang ditulis namaku.

“Hanis, behave sikit. Mana ada perempuan Melayu terjerit-jerit macam ni. Malu la.”
Seri mula bertikam lidah dengan Hanis.

“Kau ni kan Seri. Tak pernah nak puas hati dengan aku. Aku cakap je. Bukan buat apa-apa pun.”
Hanis mula menarik muka.

Okay, I’m sorry. Tapi please lah Hanis. Kita ni datang nak belajar, bukan nak mengorat orang Korea. Jangan tunjuk sangat muka excited tu.”

Seri mengendurkan suara membuka ruang rundingan.

“Korang, jom selfie. Kenangan ni.”

Aku mula mencelah. Menutup pintu perbalahan. Syifa dan Nurul pun turut serta. Inilah gambar pertama kami berlima di bumi Korea.

“Welcome to Korea! Hwan-yong-hamnida (selamat datang).”

Kami disambut oleh Prof. Lee dan sekumpulan pelajar Korea. Kami diterpa bagai artis yang bertemu peminat. Aku kira mereka sebaya dengan kami. Awal 20-an.

Mereka bersungguh-sungguh mahu membantu kami. Hanis seperti orang angau apabila pelajar lelaki Korea mendekati dan menawarkan pertolongan untuk mengangkat bagasi. Aku tidak sempat memandang gelagat rakan yang lain kerana perhatianku terarah pada rakan-rakan Korea di hadapanku ini.

“Chega towajulkaeyo (mari saya bantu).”

Aku hanya mengikut. Yang aku dengar hanya yo-yo...

Kesemua beg aku mereka yang bawa. Aku cuma melenggang. Antara faham dan tidak, aku mengangguk sahaja. Mengiyakan.

Maklumlah mereka bercakap begitu laju. Aku jadi terpana seolah-olah tidak pernah langsung mempelajari bahasa Korea. Walhal sebelum ini, sudah beribu kali aku hafal dialog-dialog penting untuk digunakan dalam situasi seperti ini.

“choneun Supi rago hamnida.”
(Nama saya Sufi)

“choneun yol ahop sal imnida.”
(Saya berumur 19 tahun)

“choneun Malaysia saram imnida.”
(Saya orang Malaysia)

Dialog-dialog inilah yang aku ulang-ulang. Ketika mandi. Ketika iron baju. Sebelum tidur. Huh, kerana gelabah bercampur teruja aku jadi lupa semuanya!

Suasana di luar lapangan terbang ternyata berbeza sekali. Terus aku tarik zip baju sejuk yang dipakai. Aku memperbetul duduk letak mafla di leher. Tangan ku masukkan dalam poket baju. Berapa agaknya ya suhu sekarang? Terasa mencucuk betul kesejukannya.

Langkah kami pantas membontoti pelajar Korea di hadapan kami. Terasa seperti berlari anak pun ada juga. Kenapa langkah mereka begitu cepat? Seperti mengejar sesuatu. Kami berlima tertinggal jauh di belakang walaupun tanpa bagasi di tangan.

Dengan baju yang membalut tubuh, rasa rimas dan susah bergerak. Pernah tengok tak penguin berjalan? Haa.. macam itulah perasanku semasa berjalan dalam baju sejuk yang tebal ini. Rimas!
Dari jauh aku mendengar pelajar-pelajar Korea tersebut menyebut satu perkataan ini sambil menggamit-gamit pada kami.

“Palli-palli. Chuwoyo!” Aku tidak tahu maksudnya apa. Dari gaya mereka, aku mengagak mungkin mereka suruh kami berjalan cepat sedikit.

Kami dibawa menaiki bas universiti ke Saemyung Universiti yang terletak di daerah Jaechon. Bas berwarna merah yang terpampang besar tulisan SMU, singkatan kepada SaeMyung University.
Setahu aku, mengikut apa yang diberitahu Pn. Zarith ada seorang pelajar Malaysia di situ yang sedang menyambung master dan PhD, fast track. Tapi tak nampak pulak dia datang menyambut kami hari ini.


Kami diberi air mineral seorang sebotol dan sebiji muffin. Mulanya aku teragak-agak untuk makan muffin itu. Aku sekadar meneguk air. Yalah, menurut blog yang aku baca apa sahaja makanan di Korea harus diteliti bahan kandungan terlebih dahulu. 

PROMO 2: Dialog

‘Aku telah penuhi cita-cita ibu dan ayahku untuk belajar di luar negara, aku telah penuhi harapan menjadi teladan yang baik pada adik-adik. Aku juga telah melakukan yang terbaik untuk diriku, malah aku kini sedang mengejar segulung ijazah. Apakah ini semua sudah mencukupi?’ -Sufiah-

‘Nikmat Islam ini adalah nikmat yang selalu kita abaikan. Satu, mungkin sebabnya kita ini dilahirkan muslim maka kita tidak pernah rasa manisnya beragama Islam. Dua, mungkin juga persekitaran kita tidak membantu untuk kita lebih cintakan Islam. Setuju tak bila saya kata, datang Korea buat kita bangga jadi seorang muslim?’ -Hanis-

‘Bila aku fikir-fikir balik, aku rasa yang Allah hantar kita ke Korea ni ada dua sebab. Pertama, untuk kita belajar, cari ilmu di sini. Kedua, yang sama pentingnya, aku rasa Allah nak kita cari makna untuk kehidupan kita. Bila kita keluar dari zon selesa, kita akan lebih menghargai apa yang kita ada dan pernah kita ada.’ -Seri-

‘Kalau kat Malaysia, saya tak pernah join majlis macam ni. Sebelum datang ke Korea, mak ayah saya risau sebenarnya. Diorang takut saya terpengaruh, terkena kejutan budaya dan jadi liar. Walaupun sebelum ini saya semasa di Malaysia, saya selalu bagi alasan untuk tidak ke majlis ilmu, bosanlah tak seronoklah. Tapi apa yang saya dapat kelmarin adalah sesuatu yang sukar saya tolak’ -Syifa-


‘Bagi aku, kita perlukan lelaki yang boleh pimpin kita ke syurga, bukan heret ke neraka. Kalau awal perkenalan lagi dah bermula dengan maksiat, macammana perkahwinan nak bertahan sampai syurga?’ -Nurul-

PROMO 1 : Bab 14

BAB 14
SEMALAMAN DI WAD ITU

Pintu dikuak dari dalam. Doktor keluar dari bilik rawatan. Kami berempat mengikut beliau ke biliknya.

“Hanguk-mallo haedo dweyo?”
(Boleh saya berbahasa Korea?)

Kami mengangguk pantas. Kalau berseorangan aku bimbang juga seandainya tidak memahami, tapi sekiranya berempat aku yakin kami boleh saling membantu untuk memahami tutur kata seorang doktor yang mungkin mengandungi terma-terma kedoktoran yang pasti janggal di telinga kami.

“Ada dua berita, yang buruk dan yang baik. Saya akan ceritakan yang baik dahulu. Kawan kamu selamat. Dia dah stabil sekarang. Yang buruknya, kawan kamu telan banyak pil paracetamol. Mungkin dia tertekan. Sekiranya kamu tidak cepat-cepat bawa dia ke hospital, dia mungkin kehilangan nyawanya.”

Kami terdiam. Tidak tahu mahu merespon apa. Ia benar-benar sebuah kejutan. Mana mungkin Hanis akan bertindak sejauh itu hanya kerana pertengkaran kami tempoh hari?

“Itu sahaja rasanya yang perlu saya maklumkan pada kamu. Selebihnya saya akan berurusan dengan pihak universiti. Tadi, mereka dah hubungi saya. Tugas kamu berempat adalah cuba untuk tidak membuat Hanis tertekan dan mengulangi lagi perbuatannya. Pastikan dia gembira. Teman dia. Jadi kawan dia.”

Sejurus mengucapkan terima kasih, kami terus keluar dari bilik doktor itu menuju ke wad yang menempatkan Hanis. Jururawat masih berada di situ sewaktu kami sampai. Selesai urusan, mereka bergerak keluar dari bilik Hanis. Tinggallah kami berempat dan Hanis yang sedang terbaring lesu di atas katil.

Kami berpandangan sesama sendiri. Masih terkejut dengan apa yang berlaku. Mata kami semua tak lepas dari memandang Hanis. Wajahnya kusam dan nampak tidak bermaya. Wayar berselirat di tangan dan di badan.

Tiba-tiba Syifa menyentuh bahuku. Dia menunjukkan padaku skrin telefonnya. Post yang dikongsi pada hari ini. Tertera di newsfeed facebooknya;

‘Adam Izwan Mohd Rahim was tagged in Zubair Ali’s photo.’

Aku meneliti gambar dan kapsyen itu.

‘Congrats, bro. Tak sangka kau lagi laju dari aku!’

“Biar betul nih? Takkan adam sanggup buat Hanis macam tu?”

Aku berbisik perlahan di telinga Syifa. Syifa hanya mengangkat bahu.
Nurul dan Seri yang melihat pada perubahan wajah kami segera menghampiri.

“Apa?”

Mereka menunjukkan riak mahu tahu. Syifa menyerahkan telefon pintarnya kepada Nurul. Seri menekup mulut kerana tidak percaya.

“Tak ada angin, tak ada ribut macammana si Adam dah kahwin pulak ni?”

“Ya Allah, kasihannya Hanis. Ni post kelmarin ni. Maybe Hanis baca yang ini sampai dia jadi macam ni.”

“Makin geram aku dengan Adam nih. Selamba je dia mainkan hati orang.”

“Patutlah Hanis tertekan. Tapi kenapa dia diamkan aja semua ni. Aku ingat sebab dia bertengkar dengan aku masa dia cabar aku tu.”

“Aku rasa Hanis malu. Dia kan banyak sakitkan hati kau, Sufi.”

Kami rancak berborak hingga terlupa bahawa Hanis sedang tidur. Kami simpan dulu semua cerita ini kemas-kemas dan zip mulut kami. Hanis tak perlu tahu yang kami sudah tahu perkara yang sebenar.

Patutlah berulang kali aku mendengar ibuku membebel apabila membaca kisah cinta anak-anak remaja sekarang di dada akhbar. Sekarang baru aku faham kesannya hingga boleh meragut nyawa. Kalau aku jadi ibu, pasti aku akan membebel perkara yang sama pada anak-anakku baik lelaki mahupun perempuan.

Jangan sesekali bercinta sehingga menyerahkan semua kepercayaan kepada sesiapa yang belum sah menjadi pasangan kita. Cinta sahaja tidak cukup untuk membahagiakan seandainya tiada tanggungjawab. Cinta sahaja bukan jaminan untuk sampai ke alam perkahwinan kalau dari awal lagi tiada kejujuran.

Bila hati kita dipenuhi cinta pada manusia, maka tiada lagi ruang untuk cinta pada tuhan di hati kita. Serahkan dulu hati pada Allah, Allah akan dorongkan hati kita pada orang yang Dia perkenan bila sampai masa yang tepat.

Dan, maksiat itu akan kelihatan sangat indah. Ia dibayangi syurga dunia. Dan syaitan itu sangat licik. Ia membayangi maksiat itu dengan keindahan yang palsu. Mula-mula kita terbiasa dengan dosa kecil, lama-lama dosa besar pun sudah tidak memberikan kesan pada hati kita. Tiada lagi rasa takut berbuat dosa.

Kami berempat menunggu sehingga maghrib. Mujur bilik Hanis ini ada tandas dan ruangannya agak luas. Jadi mudah untuk kami solat di bilik ini sahaja memandangkan tiada surau di hospital ini.
Aku dan Seri pulang dahulu. Malam ini giliran Syifa dan Nurul menemani Hanis.
***
Sekalipun aku berada di atas katil yang empuk di bilikku ini, mataku masih enggan pejam.

“Seri, kau dah tidur ke?”

Aku cuba memanggil Seri. Namun tiada respon. Seri telah hanyut dalam mimpinya. Manakala aku masih terkebil-kebil menanti hari esok. Aku yakin, bila Hanis terjaga dari tidurnya yang panjang itu pasti suasananya akan berubah sama sekali.

Aku sudah siap membeli bubur nasi dari sebuah kedai bubur nasi yang terkenal di Korea, Bonjuk. Aku minta dia balutkan dengan plastik khas kerana aku mahu bubur ini masih panas bila Hanis bangun untuk bersarapan nanti.



“Dah siap dah beli bubur, Sufi?”

“Dah. Jom cepat. Nanti sejuk bubur.”

“Aku kagum la dengan kau ni, Sufi.” Mata Seri redup memandangku. Aku diam tidak berkata apa.

“Macam tu punya teruk Hanis buat kau, sampai kau tak lalu makan fikir pasal dia, sampai sekarang kaulah orang yang paling bersungguh-sungguh nak Hanis sembuh.” Mataku sudah berkaca. Emosiku kini tak stabil. Asal sahaja perkara ini dibangkitkan, secara sendirinya air mataku merembes keluar.

“Kalau aku di tempat kau, memang dah lama tawar hati. Bukan senang nak padam semua sakit tu.” Seri tidak memandangku lama. Dia enggan turut sama menangis.

“Sebab korang kawan aku. Kawan aku dunia akhirat. Seumur hidup aku, tak pernah aku jumpa kawan sebaik korang. Kalau kau di tempat Hanis pun aku akan bersungguh nak kau sembuh, Seri.” Aku masih pegang pada kata-kata kak Adilah. Aku bersahabat kerana aku ingin masuk syurga bersama-sama.

Kami berdua menaiki bas ke hospital. Tidak jauh. Menaiki bas kira-kira 20 minit.

Aku menolak perlahan pintu bilik Hanis. Syifa dan Nurul masih terlena di atas sofa. Hanis tiada di katilnya. Bunyi pancuran air di tandas memberiku andaian bahawa Hanis sudah bangun dari tidurnya yang panjang.

Aku dan Seri mengejutkan rakanku yang sedang nyenyak tidur. Pasti semalaman mereka berjaga menemani Hanis.

“Nurul, bangun! Korang baliklah. Kitorang ganti pulak.”

Nurul sudah membuka matanya. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan. Duduk menegak dan melunjurkan kaki. Mungkin kakinya kebas kerana terpaksa tidur di atas sofa yang kecil itu.

Pintu tandas dibuka dari dalam. Hanis kelihatan sudah bertenaga berbanding hari dia jatuh pengsan. Aku mengisyaratkan pada Seri supaya membantu Hanis berjalan ke katilnya. Aku bimbang Hanis akan menolak sekiranya aku yang menghulurkan bantuan. Aku tidak tahu apa yang sedang difikirkan Hanis.

Sepanjang menemani, aku hanya diam. Aku tidak mahu Hanis tertekan dan menaikkan kemarahannya seperti tempoh hari sekiranya aku bersuara. Mana tahu kalau Hanis masih membenciku?

Hanis juga begitu. Dia hanya diam sepanjang hari. Tidak bercakap walau sepatah. Hanya mengangguk dan menggeleng bila ditanya. Mujur Seri memahami. Tanpa bersoal banyak, Seri duduk di tepi katil Hanis dan bersedia untuk membantu sekiranya diperlukan. Dan aku hanya memerhati dari jauh. Tak apalah. Asal Hanis sihat dan boleh kembali belajar seperti dulu.

Kira-kira jam 3 petang, seorang doktor wanita masuk ke bilik Hanis. Setelah melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan yang Hanis sudah boleh pulang. Namun dia diberi surat kebenaran cuti untuk berehat di asrama dan tidak perlu ke kelas. Mujurlah, sekarang ini memang waktu cuti pun.
Aku mengemas semua barang-barang Hanis dan bersedia untuk bertolak. Seri menolak kerusi roda Hanis sehingga ke pintu depan hospital. Aku membontoti dari belakang.

Aku menahan teksi dan meletakkan barang-barang di bonet kereta. Seri membantu Hanis masuk ke dalam teksi. Aku pula mengambil tempat di sebelah pemandu dan memberikan alamat asrama kepada pemandu teksi tersebut.

Sampai di asrama, Nurul dan Syifa sudah menunggu di lobi. Merekalah yang memapah Hanis sampai ke bilik. Mujur Hanis masih boleh berjalan. Cuma badannya terasa lenguh kerana lama berbaring.
Sejak Hanis balik dari hospital, aku sering menghabiskan masa di perpustakaan. Perpustakaan tetap dibuka walau pada musim cuti semester.

Aku hanya pulang ke asrama bila malam sudah menjengah. Sekadar untuk tidur. Subuh-subuh lagi aku akan keluar dari bilik. Sekalipun begitu, aku sering berjumpa dan bersembang dengan rakan-rakanku yang lain di luar asrama. Dan mereka memahami situasiku ketika ini.

“Sufi, sampai bila kau nak keluar awal pagi, balik lewat malam? Nanti kau pulak yang sakit.”
Nurul menyatakan kebimbangannya dengan tindakanku itu.

“Aku takut Hanis marah lagi pada aku. Nanti lagi teruk dia sakit. Lagipun, Hanis tak bercakap dengan korang jugak, kan?”

“Mungkin Hanis perlukan masa, Sufi.”

Syifa menenangkan aku.

“Aah, aku pun rasa Hanis perlukan masa. Jadi aku bagi dia masa untuk bersendiri tanpa kehadiran aku di depan mata. Siapa tahu, dia akan lebih cepat sembuh.”

“Kalau kau kata macam tu Sufi, kami terima. Tapi kalau kau ada masalah, kau kena janji takkan pendam sorang-sorang.”

Aku hanya mengangguk dengan saranan Seri.

“Korang memang sahabat yang baik. Mati hidup semula pun belum tentu dapat kawan macam korang.”

Aku menangis teresak-esak. Terharu dengan kejujuran persahabatan mereka.

“Kami lagi beruntung dapat kau sebagai kawan, Sufi. Belum pernah seumur hidup aku tengok orang yang macam kau, ikhlas bersahabat. Sanggup berkorban demi sahabat. Hanis rugi kerana buang kau.”
Kami berempat berpelukan. Selain keluargaku di kampung, sahabat-sahabatku inilah yang menduduki carta teratas dalam hatiku.

Aku bukannya mahu menjauhi Hanis kerana berkecil hati, namun aku bimbang sekiranya kehadiranku di depan Hanis menambah lagi tekanan yang dialami. Biarlah masa yang merawat Hanis.