Jumaat, 28 November 2014

Persona Nan Grata

Batuknya semakin menjadi-jadi. Cuma apabila di hadapan orang, Kamila akan cuba mengawal nafasnya. Kadangkala terlepas juga batuknya.

Dari rumah dia terus menaiki bas ke stesyen tren berdekatan. Tadi usai kelas, Kamila terus pulang ke rumah, menunaikan solat asar dan bergerak meninggalkan rumah.

Buku nota di dalam beg diambil. Hari ini topik yang dia akan kongsi ialah tentang kepentingan beribadah hanya pada Allah. Tajuk yang ringkas tapi cukup membuatkan Kamila menitikkan air mata ketika membaca karya Fathi Yakan, Apa ertinya saya menganut islam.

Nota ringkas itu dicatat setelah membaca bab 'saya mestilah muslim dari sudut ibadah' beberapa hari yang lalu.

Dia belum sempat rehat.
Tahun akhir di bidang kejuruteraan begitu mencabar. Kamila tidak mengeluh cuma kadang-kadang kudratnya terbatas.
Biasanya walau sesibuk mana, penatnya tidaklah terasa seperti hari ini.
Dia biasa berulang-alik setiap minggu untuk berdiskusi dengan adik-adik. Tidak sepatutnya itu menjadi penyebab kepada penatnya yang terasa luar biasa berganda hari ini.

Janji Kamila dengan adik-adik untuk berjumpa pukul 8 malam sentiasa di kepalanya. Dilihat jam di tangan.

Ah sudah lambat ni. Aku perlu sampai awal sebelum Husna dan yang lain sampai.

Maka Kamila pun berlari anak. Dari exit 5 stesyen tren, Kamila berlari untuk mengejar bas yang baru sampai.
Dek kerana sakit yang terasa di bahagian perut, Kamila berhenti dan mengusap perutnya.

Ya Allah, kenapa akhir-akhir ini dadaku begitu sesak, perutku terasa pedih.
Mungkin sebab cuaca sejuk tu. Tak ada apalah, Kamila.
Tapi sakitnya terasa menusuk.
Jangan difikir yang bukan-bukan, Kamila.
Dialog kecil bermain di fikiran Kamila. Yang satu sedang mengadu,yang satu lagi sedang menenangkan.

Dia pasti akan terlambat kerana terlepas bas tadi. Bas berikutnya hanya akan tiba 15 minit kemudian.
Langkahnya perlahan menuju ke hentian bas di hadapan.
Rasa bersalahnya menggunung.
Husna dan rakannya pasti sudah menunggu.
Fon pula sudah kehabisan bateri kerana seharian dia di kampus dan tidak sempat mengecas. Jadi dia tidak dapat memaklumkan terlebih dahulu pada mereka tentang kelewatannya.

Walaupun ini kali pertama dia terlewat untuk ke perjumpaan dengan adik-adik, sebagai orang yang beriman, tidak menepati janji adalah satu kesalahan besar baginya. Adik-adik begitu teruja, mana mungkin dia hampakan mereka.

Sementara menunggu bas sampai, Kamila membuka aplikasi quran. Headphone dipakai lalu berkumandang suara merdu Rashid AlMisyari membacakan surah Ar Rahman. Kekusutannya seakan terlerai. Sungguh dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenang.

Tiba-tiba perutnya berbunyi. Baru dia teringat. Semenjak siang dia belum pun menjamah apa-apa. Tadi waktu tengahari, dia hanya sempat membancuh segelas oat dan diminum sambil-sambil mendengar kuliah. Sungguh, hari ini begitu padat jadual. Hingga dia terlupa yang perutnya juga perlu diisi.

Tangannya mengusap perut sambil mulutnya berzikir.

Subhanallah, alhamdulillah, la ilaha illallah, allahu akbar.
Subhanaka inni kuntu minazzolimin.

Diulang-ulang sehingga perutnya terasa sedikit lega. Dalam keadaan ini, Kamila teringat kisah Fatimah yang mengadu keletihan pada baginda nabi, dan meminta pembantu rumah untuk meringankan kerjanya. Tatkala itu, baginda begitu kasihan pada puterinya itu. Namun diajar kepada puterinya itu ubat kepada segala kelelahan dunia iaitu zikir mengingati Allah.

Sungguh, tiap kali Kamila mengamalkan ajaran nabi itu, pedih perutnya terasa hilang.
Nanti selesai urusan, baru dia akan fikir untuk makan. Pasti ada rezeki yang Allah simpan untuknya.

Mendengar pengumuman dari pemandu bas, Kamila menekan butang loceng. Sejurus bas berhenti, Kamila melalukan kad transportnya dan segera turun.

Dia menjenguk ke dalam cafe itu. Tiada kelibat perempuan bertudung. Maknanya Husna dan yang lain belum sampai. Jam sudah pun menunjukkan lewat 10 minit dari waktu yang dijanjikan. Kamila tetap sabar menunggu.

Sambil itu, dibukanya buku kelas ekonomi. Ujian akhir semester akan berlangsung tidak lama lagi. Setiap waktu harus digunakan sebaiknya. Sambil menunggu Husna dan yang lain sampai, Kamila menelaah subjek kegemaranya itu sambil mencatat nota penting. Walaupun dia seorang pelajar kejuruteraan, Kamila mahu belajar lebih tentang ekonomi. Dia rasa bertanggujawab untuk melengkapkan usia mudanya dengan sebanyak mungkin ilmu.

Trit. Trit.
Ada mesej masuk.
Husna: Kak, saya lupa nak bagitahu. Tadi kami keluar dengan kawan. Sekarang baru sampai rumah. Kak di mana sekarang?

Jari Kamila laju menaip.

Kamila: Akk dah sampai cafe bano ni.
Husna: Ohh ye ke, kejap yer akk,saya text yang lain. Sorry akak, saya betul-betul lupa. :(
Kamila: Takpe, Husna. Nanti apa-apa, text akk balik yer.
Husna: Baik kak. Kejap yer.

Kamila kembali menumpukan pada pembacaannya.
The Gross Domestic Product (GDP) in Turkey was worth 820.21 billion US dollars in 2013. The GDP value of turkey represents 1.32 percent of the world economy. GDP in Turkey averaged 197.27 USD billion from 1960 until 2013, reaching an all time high of 820.20 USD billion in 2013 and a record low of 8 USD billion in 1961.

Trit. Trit.
Ada mesej dari Husna.
Husna: Kak saya otw.. :)
Kamila: Alright, dear. Take your time :)

Husna memberikan salam. Kamila berpaling dan menyambut dengan senyuman mesra.

"Maaf kak, yang lain tak dapat datang. Anis nak berehat, penat katanya. Zahidah nak study. Yang lain tak reply mesej saya." Husna tersenyum seperti biasa.

"Terima kasih yer datang, Husna." Kamila sekali lagi memeluk Husna. Pelukan seorang kakak kepada adik yang dikasihi walaupun tiada ikatan darah.

"Akak nampak pucat ni. Akak tak sihat ke?" Husna memandang tepat ke muka Kamila.

"Akak ok je, Husna. Ye ke muka akak pucat? Maybe sebab akak tak mekap kut. Hehe." Kamila berseloroh untuk menutup cerita sebenar.

Mereka memulakan diskusi berdua.
Kamila menceritakan apakah aspek-aspek penting dalam beribadah yang boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai adakah kita telah menjadi muslim yang baik. Apakah kita telah beriman kepada Allah dari sudut ibadah dengan sempurna.

Sesekali suara Kamila tersekat kerana batuknya. Namun tiap kali itulah Kamila akan tersenyum dan kembali bercerita dengan penuh semangat.

Husna kelihatan begitu terpegun dengan isi yang dikemukakan oleh Kamila.
Di mata Husna, Kamila adalah seorang yang petah bercakap dengan hujah yang mantap.
Semua pertanyaan yang terbuku di minda Husna akan dijawab dengan isi dan hujah yang bernas oleh Kamila. Husna rasa sedikit terkilan kerana rakan-rakannya terlepas sesi diskusi yang sungguh menarik ini.

Satu persoalan dilontarkan oleh Kamila.
"Jadi selepas Husna tahu semua ni, apa tindakan Husna selepas ini?"

Husna diam sejenak untuk berfikir sebelum menjawab.
Kamila perasan Husna seringkali diam sebelum menjawab sebarang pertanyaan. Sama seperti dirinya. Husna kini seolah-olah cuba untuk meniru perwatakan Kamila. Kamila hanya tersenyum kecil apabila teringatkan gelagat Husna.

"Pada pendapat saya, manusia kena lebih tekun belajar supaya dia dapat mendalami dan memahami, apa makna sebenar erti memeluk islam. Saya berazam untuk permulaan, saya akan pastikan ibadah solat saya di awal waktu. Yang lain tu, saya tak berani janji lagi, kak. Hehe. Sikit-sikit dulu berubah, boleh ke kak?" Husna tersengih.

"Bagus Husna. Tak apa sedikit tapi biar berterusan. Buat apa banyak-banyak tapi hangat tahi ayam. Sekejap je berkobar-kobar, lepas tu kembali tabiat lama." Kamila menasihati seikhlas hati sambil mengingatkan juga pada dirinya.

Orang yang banyak bercakap, banyak pula dosanya, banyak dosa, lagi besar chance nak masuk neraka.

Dalam hati, Kamila beristighfar. Semoga dirinya terlepas dari menjadi orang munafik.

Tiba-tiba kepala Kamila berdenyut. Pandangannya seakan berpusing.
"Ehmm.. akak rasa sampai sini dulu ya untuk minggu ini." Kamila menyembunyikan kesakitannya dan tetap tersenyum.
"Kirim salam pada yang lain,ya! Jumpa nanti minggu depan insyaallah."
Mereka bersalaman dan masing-masing berpisah.

Perjalanan satu jam setengah pulang ke rumah terasa sekejap kerana dia terlelap hampir separuh perjalanan. Mujur tak terlepas stesyen.

Sampai di rumah, dia terus berwudhu dan bersiap untuk tidur.

Ya Allah, saksikanlah amalanku yang sedikit itu. Semoga benih yang ku tanam di hati manusia itu, akan menumbuhkan akar kecintaan yang kuat kepadaMu.

Disebut satu persatu nama adik-adik kumpulan diskusinya itu sambil membayangkan wajah mereka. Doanya qudus supaya hati mereka terikat semata-mata kerana mengharapkan redha Allah.Semoga Allah terus memberikan petunjuk kepada semua termasuk dirinya.

Ya muqollibal qulub, thabbit qulubana ala dinik, wa'ala toatik....
Mata pun terpejam. Lelahnya terasa seperti diangkat ke langit. Tenang tidurnya malam itu.

Pintu bilik diketuk. Lagi 15 minit masuk waktu subuh.
Biasanya Kamila sudah bangun dan bersiap untuk berjemaah. Malah dia sempat untuk bertahajud dua rakaat sebelum subuh berjemaah.

Tok. Tok.
Tiada sahutan.
Nabila memulas tombol pintu bilik Kamila.
Dia mendekati katil Kamila. Terkejutnya bukan kepalang.

Dahi Kamila basah dengan titik peluh.
Digoyangnya tubuh Kamila namun longlai.
Dia segera mengucap panjang dan menghubungi rakan lain yang tinggal berdekatan.
Kamila, bangun! Ya Allah....

Husna berlari menaiki bas ke hospital. Sejurus mendapat berita itu melalui mesej dari Nabila, kawan serumah Kamila, Husna terus meminta izin dari pensyarah dan segera keluar dari dewan kuliah. Dia mahu cepat sampai. Dia sudah agak ada yang tak kena dengan kak Kamila. Dia seringkali batuk. Wajahnya kusam dan pucat. Husna terasa begitu berat. Berat dengan perasaan sendu.
Akak..........

Husna tidak menunggu rakan-rakan diskusi yang lain. Dia cuma mengirim mesej kepada mereka mengkhabarkan tentang berita yang menimpa kak Kamila. Kali ini, dia harap dia sempat dan bukan pertemuan yang terakhir.

"Boleh saya jumpa dengan waris Kamila binti Arshad?"

"Maaf doktor. Ibu dan ayahnya sedang dalam perjalanan. Ada apa doktor?"

Nabila menjaga Kamila sejak semalam. Dia juga sudah memaklumkan kepada pensyarah bahawa dia tidak dapat hadir ke kuliah hari ini dan mungkin besok juga.

"Mari masuk ke bilik saya. Ada hal penting yang perlu kita bincangkan."

Nabila hanya mengikut langkah doktor. Fikirannya kusut saat ini. Hatinya berasa kurang senang dengan riak wajah doktor muda itu. Dia berharap agar keluarga Kamila cepat sampai untuk menemani Kamila yang terbaring kaku di dalam bilik.

Nabila keluar dari bilik doktor dalam keadaan masih terkejut dengan berita yang diterimanya. Sangkaannya selama ini Kamila hanya gastrik biasa. Masih terngiang-ngiang butir perkataan yang keluar dari mulut doktor itu.

Barah perut boleh jadi sukar dikesan. Selalunya tidak terdapat tanda pada tahap awal dan, dalam kebanyakan kes, barah tersebut telah merebak sebelum ia disedari. Apabila gejala berlaku, ia begitu kabur sehinggakan pesakit tidak mengindahkannya. Barah perut boleh menyebabkan ketidakhadaman atau pedih ulu hati, sakit di bahagian perut, lemah dan letih.

Buat masa ini, saya nasihatkan ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan sentiasa berada di sisi Kamila. Kita berdoa pada Allah, Dia maha penyembuh segala penyakit dan semoga ada keajaiban berlaku.

Nabila tersentak apabila Husna tiba-tiba memeluknya.

"Kak Kamila tak apa-apa kan?"

Pertanyaan Husna tidak dijawab malah dakapan mereka semakin kuat. Mengisyaratkan bahawa masing-masing perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Tidak berapa selepas itu, rakan diskusi Husna datang. Anis, Zahidah dan beberapa orang lain yang tidak dikenali Nabila.  Mereka duduk di sisi katil. Husna erat menggenggam tangan Kamila.

Saya masih banyak nak belajar tentang agama dari akak. Bangunlah akak. Lepas ni saya janji akan ajak semua kawan diskusi untuk turun setiap minggu. Mesti akak kecewa kan dengan kami. Penat akak datang jauh-jauh, tapi kami tak datang pun diskusi.

Anis dan Zahidah diam. Tapi dalam hati masing-masing terbungkam perasaan bersalah. Ya, mereka akui. Ketika kak Kamila masih sihat, mereka mensia-siakan peluang untuk mengutip permata ilmu darinya, sekarang Kamila hanya bergantung pada alat pernafasan.

Tiada lagi mesej setiap minggu, mengajak mereka datang berdiskusi. Tiada lagi kakak yang selalu masakkan mereka makanan, terutama waktu mereka tengah kekurangan duit. Tiada lagi ucapan all the best, may Allah ease setiap kali menjelang peperiksaan. Akhirnya menitik juga air mata Anis dan Zahidah yang ditahan sejak tadi.

Masing-masing telah pulang apabila tamat waktu melawat. Husna berkeras untuk bermalam di hospital sementara menunggu keluarga Kamila datang. Maka Nabila terpaksa mengalah dan akan datang semula keesokannya. Dia tahu, Husna sayang benar pada Kamila. Malam ini, dia akan mengumpulkan semua mahasiswi lokaliti untuk menunaikan solat hajat untuk kesembuhan Kamila.

Bilik itu sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi dari alat bantuan pernafasan. Husna terbaring di sofa, namun badannya di halakan ke katil Kamila. Penat seharian membuatkan dia mudah sekali terlelap.

Husna nampak ramai sekali yang datang melawat. Tapi seorang pun tidak dikenalinya. Setahunya, kak Kamila tidaklah mempunyai ramai kawan kerana sifatnya yang pemalu itu. Hanya akan benar-benar menjadi kawan sekiranya sudah kenal lama.  Masing-masing tersenyum dan berkumpul di keliling katil kak Kamila. Wajah mereka begitu bersih. Husna bangun dari sofa dan menyertai mereka.

"Kamu semua siapa?" Husna memulakan sapaan dengan seraut senyuman.

"Kami semua sahabat Kamila. Sudah lama kami menunggu untuk bertemu Kamila, penghulu kami." Seorang yang berdiri di hujung kepala kak Kamila menjelaskan sambil mengusap lembut ubun-ubun kak Kamila.

Kemudian yang berdiri disebelah hujung kaki pula berkata, "Kamila telah menghabiskan sisa umurnya untuk berjasa pada manusia lain. Kini tiba dia menerima sebaik-baik balasan."

Kemudian kak Kamila terjaga. Dia kelihatan begitu gembira sekali. Wajahnya yang pucat berona merah. Dia memeluk setiap seorang dari tetamu yang hadir. Pandangan Kamila dan Husna bertemu, namun Kamila seolah-olah tidak mengenalinya. Dia hanya asyik berpelukan dengan yang lain seolah-olah sahabat lama yang berpuluh tahun tidak berjumpa.

Kemudian, wanita-wanita bermata jeli itu memimpin tangan kak Kamila dan membawanya pergi. Husna cuba menjerit memanggil, namun suaranya tersekat di tekak.

Dia terkejut. Lantas bangun duduk. ASTAGHFIRULLAH...
Diraup wajahnya berulang kali. Langkah kaki diatur ke bilik air.
Sempat dia menjengah ke katil Kamila. Kamila seperti sedang nyenyak tidur. Wajahnya setenang dalam mimpinya tadi.

Bau wangian tadi masih bersisa, wangian dari tubuh wanita bermata jeli memenuhi ruang kamar.

Lantas sejadah di hampar. Sujudnya kali ini lama beserta esakan.
Husna akur. Dirinya sudah mula merasakan ketenangan semenjak bersahabat dengan kak Kamila. Dia seolah-olah terasa dibimbing ke jalan yang terang. Teringat saat pertama kali bertemu kak Kamila.

Waktu itu musim pendaftaran pelajar baru. Kamila membawa sekotak kek coklat semasa menziarahi bilik Husna dan rakannya. Husna terasa begitu terhutang budi kerana Kamila banyak membantunya menyesuaikan diri dengan suasana belajar di kampus itu.

Setiap kali, Kamila akan datang ziarah beberapa minit sebelum masuk waktu solat. Masuk waktu, Kamila akan mengajak Husna dan rakan sebiliknya untuk solat berjemaah. Kamila juga pernah mengajak Husna,Anis, Zahidah dan yang lain makan di luar kemudian mereka akan berjalan-jalan di sekitar ibu kota. Yang seronoknya, setiap kali Kamila akan membawa makanan yang dimasak sendiri olehnya di rumah sewa untuk dikongsi bersama adik-adik diskusinya.

Dalam sujudnya itu, Husna berdoa supaya Allah memanjangkan usia Kamila. Dia masih muda. Masih ramai yang mahu mendengar celoteh ilmiahnya. Hujahnya begitu santai namun berbekas. Kalamnya ringkas tapi padat. Lidahnya fasih menuturkan ilmu dunia namun akhirnya ilmu itu dikaitkan dengan kehidupan dan kewajiban seorang muslim. Sejadah basah dek air mata Husna.

Usai mengelap badan Kamila dengan tuala basah, Husna mengemaskan meja di ruangan tepi katil. Banyak sekali ucapan mendoakan kesembuhan Kamila. Husna kadangkala hairan, benarkah seramai itu kawan kak Kamila?

Ibu dan bapa Kamila sampai awal pagi waktu subuh. Mereka berdua kelihatan tenang. Seolah-olah sudah bersedia dengan apa jua kemungkinan. Namun saat Husna memeluk ibu Kamila, ibu Kamila sempat berpesan sambil menyerahkan beberapa sampul surat, setiap satu ada penerimanya. Satu untuk Husna, satu untuk Anis, satu untuk Zahidah dan setiap satu untuk rakan diskusi yang lainnya.

Tatkala Husna sedang mengoyakkan sampul surat itu, tiba-tiba Kamila tersedak. Batuknya tidak berhenti. Nafasnya tercungap.

Mereka segera memanggil doktor. Masing-masing diminta keluar dari bilik itu.

Husna dan yang lain mundar-mandir di hadapan bilik Kamila.
Sejurus kemudian, pintu dibuka dari dalam.
Doktor dan jururawat keluar dan doktor sekadar menggelengkan kepala.

Serentak itu, masing-masing menangis hiba.
Mereka telah kehilangan satu jiwa yang begitu dekat di hati mereka.

Mimpinya semalam itu bukan mainan tidur.
Wanita-wanita bermata jeli itu bukan rekaan mindanya.
Subhanallah. Aku akur dengan kuasaMu.
Sesiapa yang menjaga agama Allah, tentulah Allah akan menjaga dirinya.

Anis dan Zahidah bertemu Husna ketika majlis tahlil di rumah sewa arwah Kamila. Masing-masing terharu kerana tertanya setiap seorang dari mereka ada tempat masing-masing dalam hati Kamila. Surat yang ditulis menggambarkan hatinya yang begitu ikhlas mahukan yang terbaik untuk setiap adik-adik diskusinya. Rupanya selain sibuk dengan urusan belajar, Kamila juga memperuntukkan masa untuk memikirkan tentang adik-adik diskusinya.

Kereta Avanza diparkir di bahu jalan. Bersama Husna kini adik-adik kumpulan diskusinya.
Masing-masing masih tertanya-tanya kenapa mereka di bawa ke tanah perkuburan itu.
Husna hanya tersenyum dan mengajak mereka mengaji Yasin di satu kuburan yang merendang pohon kemboja.

Dia kini tidak lagi seperti 4 tahun yang lalu.
Masa berlalu, pemergian kak Kamila bukan lagi untuk ditangisi tapi untuk diambil semangatnya. Sudah tiba masanya untuk diceritakan pada adik-adik diskusinya kisah pahit dan manis yang telah mengubah hidupnya itu.

Khamis, 27 November 2014

Tolong jaga aku! 1

"Ayah, malam ni kami balik lambat. Angah dengan Dina nak bawak anak-anak dinner luar."

Mereka sekeluarga menyalami tangan Tuan Mokhtar dan memasuki perut kereta. Starex meluncur membelah pekat malam. Tuan Mokhtar hanya melambai sayu.

Trit. Trit.

Ayah. Adik tak dapat dinner sekali. Ikut kawan pergi birthday party dia. Ayah masuk tidur dulu yer. Tak perlu tunggu adik. Sayang ayah.

Mesej dari anak bongsu dibaca. Nampaknya Aliya pun lesap malam ini.

Dari bilik utama rumah agam itu, perlahan Tuan Mokhtar menuruni anak tangga. Dia mampir ke ruang makan.

"Tuan, jemputlah makan. Saya dah sediakan makan malam. Hari ni lauk kegemaran tuan, ketam masak lemak."

Mak Esah menyendukkan nasi ke pinggan Tuan Mokhtar. Air masak dituang ke dalam gelas. Kerjanya begitu cermat. Pengalaman menjadi pembantu rumah keluarga itu hampir 20 tahun membuatkan Mak Esah selesa dengan keluarga ini.

"Esah, marilah duduk sekali. Panggil Hamid kita makan sama-sama."

"Tuan makanlah, segan pulak saya. Takpa nanti saya makan dengan Hamid di dapur."

Setelah memastikan semua siap terhidang, Mak Esah terus bergerak ke dapur.

Nampaknya, sorang-sorang lagilah aku.

Ruang makan itu sunyi. Rumah besar itu sepi. Penghuninya hidup tapi suasananya mati. Setelah kematian Puan Azmah, kesepian Tuan Mokhtar berganda.

Tuan Moktar tidak berapa selera malam ni. Dia berharap sekurang-kurangnya hujung minggu begini, mereka sekeluarga dapat berkumpul.

Namun hampa.

Semua anaknya membawa haluan masing-masing tanpa memikirkan dirinya.

Usai beberapa suap nasi, Tuan Mokhtar bangun menuju ke kamarnya. Di situ tersimpan seribu rahsia, sejuta kenangan manis dia dan isteri.

Album lama ditatap. Dibelek satu persatu gambar hinggalah terjumpa satu gambar lama. Masih hitam putih. Gambar 30 yang lalu, saat di mana dia dan isteri diijabkabulkan.

................
Imbas kembali

"Abang minta maaf. Semenjak kita kahwin, abang hanya mampu cari tempat berteduh yang kecil dan sempit. Sedangkan kehidupan awak dengan ibu bapa awak jauh lebih sempurna."

Puan Azmah isteri yang solehah. Dia setia. Kesabarannya melayari keperitan hidup di awal berumah tangga menjadi pengikat cinta suami isteri itu.

Saban hari dia sentiasa memujuk Tuan Mokhtar agar jangan putus asa apabila setiap kali permohonan kerjanya ditolak. Hinggalah suatu hari, kehidupan mereka mula berubah menjadi senang seperti sekarang.

....................

"Angah, ayah takde dalam bilik. Aliya dah cari satu rumah."

Keadaan kalut. Mak Esah pun turut gusar. Tidak pernah Tuan Mokhtar pergi ke mana-mana tanpa memaklumkan padanya terlebih dahulu.

Aznan, anak kedua Tuan Mokhtar bersama Pak Hamid menghidupkan enjin kereta dan mula mencari di sekitar kawasan perumahan.

Dina dan anak-anak menunggu di rumah. Aliya dan Mak Esah menaiki kereta lain dan mula mencari Tuan Mokhtar.

Sudah lewat malam. Namun kelibat Tuan Mokhtar masih belum kelihatan. Masing-masing bimbang namun sudah kehabisan idea di mana lagi mahu mencari ayah mereka. Lalu mereka membuat keputusan untuk melaporkan pada pihak polis andai masih tidak diketemui sehingga esok.

............

"Ni semua salah angah. Mesti ayah terasa hati sebab angah selalu keluar dengan keluarga angah tapi tinggalkan ayah sorang-sorang kat rumah. Pergi bercuti tak ajak ayah. Pergi makan luar tinggal ayah kat rumah."

"Ehh, yang kau tu selalu sangat menghilang, kau ke mana? Kan bagus kalau kau duduk rumah teman ayah. Bukannya kau sibuk dengan urusan syarikat pun. Angah dengan kakak ni mana nak urus syarikat lagi."

"Angah penting diri." Aliya menuduh.

"Aliya kau jangan nak kurang ajar." Aznan meninggikan suaranya.

Tersentak Aliyah. Dia terus berlari menuju ke biliknya. Dia geram. Aznan tidak pernah berlembut dengannya.

"Sudahlah Tuan Aznan. Tak elok kalau jiran dengar." Mak Esah mencelah.

Kerana menghormati Mak Esah, Aznan tidak jadi meneruskan pertengkaran. Ikutkan hati, memang Aliyah makan penamparnya malam ni.

"Betul tu, abang. Abang cuba berlembut sikit dengan aliya. Dia bukan budak kecik abang nak tengking macam tu." Dina cuba mengendurkan suasana. Diurut dada suaminya perlahan. Orang tengah marah jangan disimbah api.
...............

"Pak cik... pak cik.."

'Pengsan ke tidur pak cik ni?'
Salima terus menggoncang bahu lelaki tua itu. Sejak tadi terbaring di atas bangku hentian bas.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia ternampak seorang lelaki tua tertidur di atas bangku. Pakaiannya nampak mahal. Berkot dan bertali leher.

'Kasihannya pak cik ni. Baik aku cuba kejut. Sejuk malam-malam kat luar.'

"Pak cik... bangun!" Kali ini goncangannya lebih kuat, sehingga lelaki tua tersebut tersedar.

"Pak cik nak ke mana, ni? Malam macam ni dah tak ada teksi."

"Pak cik tak tahu. Pak cik kat mana sekarang?"

"Pak cik, sini kawasan seksyen 17. Rumah pak cik kat mana?"

"Aaaa.... pak cik tak ingat."

Muka lelaki tua itu berkerut. Bingung.

"Kalau macam tu, malam ni pak cik tumpang rumah saya. Jom!"

Salima berjalan di hadapan, manakala lelaki tua tersebut hanya mengikut tanpa banyak bicara. Raut wajahnya begitu tertekan dan keliru.

Knok. Knok.

"Assalamualaikum, ayah! Salima dah balik ni."

Kelihatan lampu ruang tamu menyala. Tombol pintu dipulas dari dalam.

"Salima, lambat balik harini."

Salima lekas memimpin ayahnya duduk di sofa.

"Ayah, kita ada tetamu."

Salima memperkenalkan pak cik tadi pada ayahnya.

"Saya Zakaria. Maaf saya tak nampak."

Tangannya meraba-raba ingin bersalaman dgn tetamu tadi.

"Aku tak ingat nama aku, Zakaria."

Salima begitu kasihan pada lelaki tua tersebut. Keadaan emosi pak cik tersebut tidak stabil. Dari tadi, kelopak mata tuanya bertakung air.

"Kalau macam tu, kami panggil kau Ahmad. Sempena nama nabi kita."

Salam Zakaria bersambut. Biar matanya buta, hatinya celik. Dia tahu bahawa Ahmad dalam kesedihan.

"Janganlah bersedih, Ahmad. Kau tinggal saja dengan aku dan Salima. Rumah ni kami berdua sahaja."

"Terima kasih, Zakaria, Salima."

"Hah, Salima. Bawa pak cik masuk bilik ayah. Bagi baju dan kain ayah untuk pak cik tukar."

Salima segera berlalu ke bilik ayahnya.

"Zakaria, kau bertuah. Salima budak yang baik, anak yang solehah."

"Aku ni Ahmad terhutang nyawa, budi dengan Salima. Satu-satunya penyejuk mata aku."

"Ayah, pak cik, masuklah tidur. Dah lewat ni. Baju pak cik ada atas katil. Pak cik boleh guna tandas dalam bilik ayah. Seronoklah ayah sekarang, dah ada kawan baru."

Salima erat memeluk ayahnya.

Tuan Mokhtar hanya memandang dengan hiba. Mesranya anak dan ayah. Untungnya kau, Zakaria.

...................

"Ayah, pak cik sarapan dah siap. Jemaah subuh tadi ramai ke ayah?"

"Arini tak ramai, Salima. Ayah dengar waktu 'amin' tu sikit sangat suara orangnya."

"Sebelum ni, masa pak cik belum tinggal sini, ayah Salima pergi masjid sorang-sorang ke?"

"Haah, pak cik. Ayah dah biasa jalan ke masjid. Setiap hari tak pernah 'miss'."

Menu hari ini nasi lemak ayam. Berselera benar mereka bertiga menjamu selera.

"Ayah, Salima pergi kedai dulu ea. Ayah jaga diri baik-baik."

"Jangan risau, pak cik akan temankan ayah kamu. Jalan baik-baik, nak."

Salima segera berjalan ke hentian bas selepas menyalami ayahnya.

Khamis, 13 November 2014

Cerita cintaku 5

Bahagian 5
Sedutan Episod lalu...
gambar sekadar hiasan


Harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan kawan, kawan makan kawan. Sampai hati kau Rizman. Selama ini, dia percaya pada Rizman sepenuhnya. tanpa curiga dia membenarkan mereka berdua menghabiskan masa bersama kerana dia terlalu sibuk dengan rutin kerjanya yang baru dinaikkan pangkat sebagai Assistant Manager. Dia kekurangan masa untuk menemani Hani. Hampir saban minggu dia melihat sahaja kelakuan jijik mereka berdua. Kadang-kadang memang sengaja dia memberi alasan untuk tidak turut serta dalam ‘dating’ mereka. Hendak dilihat dan dipastikan sendiri dengan mata kepalanya.


Apakah yang bakal dilakukan Azim Selepas melihat kejadian di Kafe Setabak itu?

....................................


Di kampung Azim
Azim berbasikal meniti batas sawah dan sesekali kayuhannya terhenti apabila beberapa ekor kerbau dan lembu menghalangi jalannya. Teringat zaman kanak – kanaknya ketika dia mengayuh basikal melalui sawah milik mak Limah yang terkenal dengan garangnya. Segarang-garang mak Limah pun, orang tua itu jugalah yang menyapu ubat ke lukanya masa terjatuh ke dalam sawah. Diselak seluar pendek paras lutut yang dipakainya. Ternyata parut di lutut kirinya itu masih kelihatan.

Diberhentikan basikal di pondok tepi sawah milik mak Limah itu. Dibetul-betulkan topi di kepala. Punggungnya dilabuhkan di pondok usang itu sambil melemparkan pandangan jauh di hadapannya. Sapaan angin yang seakan-akan membisikkan ketenangan menyapu lembut kulit sawo matangnya. Misai nipis dijaga rapi, badan yang sasa dan tegap, sesekali pandang mirip Atuknya ketika zaman muda dahulu.

Pemandangan dihadapannya seakan-akan sebuah lukisan, indah sungguh. Ketenangan mula meresap ke dalam hatinya, tenang yang teramat. Tak pernah dia berperasaan sebegitu. Sungguh melihat ciptaan alam yang belum tercemar dengan tangan-tangan kotor manusia menjadikan jiwanya tenang. Otak Azim ligat mengimbas kembali pesan ustaznya,

Hamparkanlah pandanganmu melihat pantai yang berombak, gunung- ganang yang gah berdiri, awan yang berarak tanpa henti dan matahari serta bulan yang silih berganti memancarkan sinarnya, semuanya mengikut sunatullah, mengikut percaturan yang ditetapkan penciptanya. Allah berfirman dalam surah Ar-ra’ad : 28 yang bermaksud,

Ketahuilah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang.

Orang mukmin yang melihat alam dengan mata hati akan merasai nikmat luar biasa, kekadang hingga mampu menitiskan air mata.Berbeza apabila melihat dengan mata fizikal. Mungkin alam ini hanya sebagai perhiasan yang tiada istimewa baginya, ada dan tiadanya tiada beza. Azim, jadilah manusia yang beruntung dengan memilih untuk melihat segalanya dengan mata hati.”  

Ucapan itu terasa menusuk ke kalbu apabila ustaz turut mengusap kepalanya, sama seperti yang sering dilakukan oleh Atuk kepadanya setiap kali selepas solat. Tumpah kasihnya kepada ustaz itu.

Azim tersentak apabila sekumpulan burung tiba-tiba terbang serentak dan riuh berbisik sesama mereka dalam bahasa yang tidak difahami manusia. Minda separa sedar Azim memaksa dirinya kembali ke alam nyata, alam realiti. Dipandangnya jam Roll-ex berharga belasan ribu hadiah ulang tahun kelahirannya yang lepas itu lalu dipercepatkan kayuhan ke kebun Atuk. Lupa sebentar tujuan asalnya dek kerana terleka dengan pemandangan indah yang memukau tadi.

Ketika Azim sampai di kebun Atuknya, kelihatan orang tua itu sedang berehat di pondok papan yang dibina untuk melepaskan lelah setelah penat berkebun. Mata orang tua itu terpejam rapat. Lena sungguh. Mungkin dek terlalu penat seharian berkebun, getus hati kecil Azim. Enggan diganggu tidur nyenyak Atuknya itu, Azim duduk perlahan-lahan di sebelah Atuknya.

Dilihatnya batas-batas untuk ditanam benih jagung hanya siap separuh sahaja. Manakala batas untuk petola dan cili telah siap semuanya. Lantas Azim mengambil cangkul yang disimpan dalam tong sebelah motosikal Atuk. Dimulakan dengan mencangkul batas di sebelah depan kebun hinggalah batas yang ke-5 telah siap dicangkulnya. Mujurlah dia pernah berguru dengan Atuknya serba sedikit ilmu bercucuk-tanam ini. Tidaklah dia seolah-olah ‘rusa bandar’ yang masuk kampung. Serba-serbi tidak tahu, hanya tahu duduk goyang kaki, angguk-angguk geleng-geleng sambil mendengar muzik rancak di bawah air-cond sahaja.

Azim menjenguk ke kawasan yang lain. Dilihatnya terung dan kacang panjang telah menampakkan hasilnya dan sudah boleh dipetik. Patutlah Atuk beria-ia mengajaknya ke kebun awal pagi esok. Azim terus melangkah ke kebun buah milik Opahnya, bersebelahan kebun sayur Atuk. Parang di tangan digenggam kemas. Dicantasnya semak-samun yang memenuhi kebun itu. Dahulu ketika masih di sekolah rendah, Azim selalu melarikan diri ke kebun Opah apabila dimarahi. Di situ, dia mampu duduk seharian tanpa bosan. Sekejap-sekejap dicarinya buah durian yang luruh ataupun dipanjatnya pokok manggis, menghabiskan buah di atas pokok. Hinggakan bersepah kulit manggis di bawah pokok.

Azim duduk bersahaja di bangsal kecil dalam kebun Opahnya itu. Fikirannya mengelamun jauh entah ke mana. Nyamuk yang hinggap di lengannya ditampar kuat tidak dibiarkan hidup. Sesekali dia terfikirkan Nurul. Dia masih bingung kenapa Nurul melarikan diri sewaktu terserempak dengannya tempoh hari. Takkanlah kisah 15 tahun yang lalu masih belum dilupai Nurul? Hinggakan marahnya tidak surut-surut dan enggan bertemu dengan aku? Tapi Nurul memang berhak untuk terus marah pun kat aku. Sepatutnya aku meminta maaf atas kekasaranku menolak Nurul hingga terjatuh dan dahinya tersembam ke batu. Parutnya masih kekal hingga kini menurut cerita Opah.

Imbas kembali
Di tepi sungai

“Blah la awak ni. Pergi la kawan dengan si Aqasha  perasan bagus tu. Saya pun tak teringin sangat pun ada kawan macam awak!” ujar Azim sambil menolak kasar bahu Nurul dan berlalu pergi.

Tiba-tiba, terdengar bunyi hentakan diikuti satu jeritan kecil. Suara Nurul. Kedengaran Nurul menangis kesakitan sambil memegang dahinya. Azim segera menoleh ke belakang. Dilihatnya Nurul terduduk dengan tangan didahinya dipenuhi darah.

Hanya tuhan yang tahu betapa cemasnya Azim saat itu. Gara-gara perbuatannya yang menolak kasar bahu Nurul hingga kepalanya terhantuk batu itu memang di luar jangkaannya. Sangkanya dia hanya menolak sedikit sahaja sekadar melempiaskan rasa tidak puas hatinya saat itu. Tak sangka begitu kuat sekali tolakannya itu. Namun hingga kini, dia masih berhutang maaf dengan Nurul.

Opah pernah bercerita perihal Nurul kepada Azim. Namun sikap egonya membuatkan Azim tidak menunjukkan reaksi berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang gadis tersebut. Namun jauh di sudut hati lelakinya, meronta-ronta agar Opah meneruskan ceritanya tentang gadis itu. Mungkin Opah mengerti naluri Azim, mungkin juga dia dapat membaca riak wajah Azim walaupun tanpa dia bersuara. Opah terus bercerita perkembangan Nurul bermula selepas Azim menjejakkan kaki ke asrama penuh hinggalah Nurul kini bergelar guru di sekolah lama mereka.

Seperti yang diduga Opah, akhirnya Azim bersuara kerana lonjakan perasaan ingin tahunya tidak dapat dibendung lagi. Semuanya jelas terpancar di wajah walaupun nada suaranya cuba dikawal. Opah tersenyum melihat gelagat Azim itu. Dia kenal benar dengan perangai cucu intan payungnya itu.

“Nurul selalu ka datang jumpa Opah?” Azim berbasa-basi memulakan bicara. Hati-hati dia menyusun bicara agar tidak nampak terlalu ketara kegundahan hatinya.

“Selalu tu tak ada la. Tapi bila dia ada masa dia selalu masakkan gulai lemak tempoyak hantar sini. Baik budaknya Nurul tu. Tapi sayang….” Opah mematikan bicaranya disitu untuk memancing Azim bertanya.

“Kenapa Opah? Apa yang sayangnya?” Azim terus bertanya tanpa menunggu. Tidak sabar benar nampaknya. Opah hanya tersenyum meleret. Sudah diagak beginilah respon Azim.

“Opah ada bersembang jugak dengan Imam Majid tu. Dengar-dengar minggu depan ada orang nak masuk meminang anak saudaranya tu. Orang kampung sebelah rasanya. Imam Majid yang kenalkan, pilihan keluarga.” Opah terus menunggu respon Azim.

Azim berdehem membasahkan tekaknya. Mungkin juga menutup rasa terkejutnya dari jelas kelihatan di hadapan Opah. Patutlah dia lari bila nampak aku, rupanya dah nak jadi tunang orang. Tapi, apa kaitannya?

“Azim! Azim! Azim.....! Apa yang kau menungkan sampai Opah panggil pun tak dengar ni? Macam orang ditinggalkan buah hati Opah tengok muka tu?” Opah sengaja serkap jarang.

“Eh, tak dalah Opah. Sampai ke situ pulak.” Azim terus berlalu pergi kononnya hendak menjengah ayam di reban belakang rumah. Sedangkan Azim sendiri yang menjual semua ayam di reban kepada Tauke Ah Long. Opah dapat menghidu ada yang tidak kena dengan Azim. Biarlah Azim sendiri menyelesaikannya, putus Opah.

Pondok Opah
Azim tersenyum sendirian di bangsal itu bila teringatkan perbualannya dengan Opah mengenai Nurul. Tentu Opah dapat menghidu kegalauan hatinya saat itu. Bagaimana dia boleh terlupa yang semua ayam di reban itu telah dijual? Sedangkan dia sendiri yang mengikut Atuk menjual ayam-ayam tersebut kepada Tauke Ah Long. Dia mengutuk dirinya sendiri. Perasaan malu bercampur resah dihatinya, hanya Allah yang tahu.

Dan bila terkenangkan Nurul yang akan bertunang dengan pilihan keluarganya, Azim hanya sekadar mampu mendoakan kebahagian Nurul. Semestinya jodoh itu jodoh yang terbaik buat Nurul. Dia tidak tahu keadaan hati dan perasaannya mendengar khabaran itu. Ketika Hani masih disisinya, tidak pernah dia terfikirkan tentang Nurul. Kini, apabila khabaran pertunangan itu diterima, Azim merasa berat untuk menerima khabaran itu. Seolah-olah kehilangan sesuatu.

Mungkin kehilangan sahabat rapat zaman kanak-kanaknya, atau kehilangan seseorang yang mula menapak di hatinya. Azim benar-benar bingung. Mungkin terlalu awal untuk merungkai perasaannya terhadap Nurul. Mungkin juga itu hanya perasaan sementara yang hadir saat jiwanya gelisah memikirkan Hani. Azim keliru dengan hatinya kala ini.

Di rumah Opah
Malam itu, fikiran Azim melayang nun jauh hingga ke lubuk nostalgia lamanya. Kipas yang ligat berpusing di atas kepala direnung seakan-akan menembusi atap rumah pusaka itu. Sekejap-sekejap dipusingnya ke kiri. Sekejap-sekejap dipusingnya ke kanan. Lama dia berkeadaan begitu seolah-olah ibu ayam hilang anak, resah dan gelisah. Wajah Nurul yang asyik muncul di fikirannya akhir-akhir ini menyukarkan tidur nyenyaknya. Akhirnya tubuh Azim tidak lagi bergerak ke kiri ke kanan seperti sebelumnya. Azim terlelap jua akhirnya.

Azim kini sedang melalui sebuah taman yang sungguh indah. Dihadapannya berkembang mekar bunga matahari yang kekuningan. Di sebelah kirinya bersusun kemas bunga ros merah dan putih, ditanam berselang-seli. Azim berjalan perlahan menginjak tanah yang lembut seakan-akan kapas itu. Langkahnya cermat agar tidak terpijak pepohon kecil yang menjalar di bawah.

Azim meneruskan langkah hinggalah dia terpandang satu sungai kecil, jernih airnya mengalir tenang seolah-olah menyambut kehadiran Azim di negeri asing ini. Sesekali kedengaran unggas dan cangkerik berbicara sesama sendiri, meriuhkan lagi suasana sepi yang menyelubungi saat itu. Dari kejauhan Azim terpandang susuk tubuh yang amat dikenalinya. Dipamit-pamit agar gerangan empunya tubuh itu tidak berganjak ke mana-mana dan menunggunya di situ.

“Tunggu, jangan pergi dulu!” Gerangan yang berjubah putih itu tetap berjalan perlahan-lahan mengorak langkah seolah-olah tidak mendengari panggilan Azim.

Azim berlari sekuat hati menghampiri gerangan berjubah putih itu. Sempat disentuhnya bahu kanan susuk tubuh tersebut. Lantas si jubah putih itu pun memalingkan wajahnya. Azim terinjak setapak ke belakang dan terpaksa manahan matanya dengan tangan dek silauan cahaya dari wajah si jubah putih tersebut. Cahaya yang terlalu terang hingga Azim tidak dapat mengecam gerangan si jubah putih itu. Azim cuma cemas sebentar namun tiada ketakutan yang dirasainya kala ini.

“Azim, teruskanlah perjalananmu Nak. Teruskan langkahmu hingga kau ketemu cahaya yang mampu menerangi gelapmu itu.” Cahaya di wajahnya kini beransur pudar hingga membolehkan Azim melihat wajah si jubah putih tersebut. Azim sangat mengenalinya.

Perlahan-lahan gerangan jubah putih tersebut seolah-olah menjauhi Azim setapak demi setapak hingga akhirnya hilang dari pandangannya. Azim cuba berlari mendapatkan si jubah putih itu namun usahanya sia-sia sahaja. Kakinya seakan-akan terlekat di tanah. Azim menjerit-jerit memanggil gerangan si jubah putih itu.

“Imam! Imam Majid! Tunggu!”Azim terjerit-jerit hingga dia bangun terkejut dari lenanya.

“Astaghfirullah!” Azim beristghfar berulang kali sambil meraup mukanya. Mimpi yang dialaminya sebentar tadi benar-benar menyesakkan nafasnya. Tercungap-cungap helaan nafasnya. Azim terus bangun dari pembaringannya dan berkira-kira untuk mengambil wudhuk. Moga-moga dengan cara itu dapat menenangkan kerisauan hatinya kala ini.

"Apakah sememangnya jodoh mereka terhenti di situ?"

Cerita cintaku 4

Bahagian 4

Sedutan bahagian lepas….

Dari dalam kereta, Azim melihat beberapa orang berjalan menuju ke masjid. Dalam kelompok manusia itu, Azim seolah-olah terpandang seseorang yang dikenalinya.

Tak mungkinlah dia. Dia?? pergi masjid?? kiamat la jawabnya. Solat pon tak pernah. Orang lain tu. Pelanduk dua serupa kot.

Azim cuba meyakinkan dirinya kelibat yang dia nampak tadi tu bukanlah seseorang yang sedang bermain di fikirannya saat itu. Disandarkan kembali kepalanya di kusyen kereta.
 ...................

Rizman berjalan seperti biasa ke masjid. Memang sengaja rumah sewa yang dicari berdekatan dengan masjid. Mudah untuk dia ke sana dengan hanya berjalan kaki. Tapi malam itu, menjadi luar kebiasaannya apabila dia terlihat kelibat Azim ketika hendak melangkah ke masjid. Terhenti sebentar langkahnya kerana tidak percaya pada pandangan mata kepalanya sendiri. Namun dalam hati kecilnya terdetik sesuatu. Syukurlah akhirnya kau berubah,Azim.

Rizman mengakui dalam hatinya yang hidayah itu milik Allah dan menjadi hakNya untuk membuka jalan hidayah itu kepada sesiapapun hatta kepada insan hina yang telah jauh tersesat seperti dirinya. Maha Besar Allah atas segala rahmat dan kurnianNya. Rizman memanjatkan kesyukuran seraya beristighfar dalam hati mengenangkan zaman silamnya. Rizman tersentak apabila seorang jemaah merempuhnya. Langkah kakinya terus diatur laju menuju ke masjid walaupun ada sesuatu yang perlu dibicarakan bersama Azim. Tiada panggilan sepenting panggilan Ilahi, bisik hati kecilnya.

Rizman berhajat untuk menyapa Azim apabila usai solat tadi namun dia hampa. Hatta bayang-bayang Azim pun sudah tidak kelihatan di perkarangan masjid. Rizman sebenarnya menyimpan satu rahsia besar yang patut diketahui Azim, mengenai Hani. Rahsia yang patut dibongkarkan sebelum hubungan Azim dan Hani bertukar ke hubungan yang lebih serius. Khabar terakhir yang didengarinya tentang hubungan mereka berdua adalah tali pertunangan akan diikat dalam masa terdekat namun kesahihannya tidak diketahui.

Sebelum itu terjadi, Azim perlu mendengar penjelasan lanjut darinya sebelum memutuskan untuk meneruskan hubungannya dengan Hani atau tidak. Sikap Azim yang kadang-kala suka serkap jarang dan membuat keputusan terburu-buru itu sungguh merisaukan Rizman. Sebagai teman baik Azim, dirasakan satu tanggungjawab besar sedang dipikul dibahunya selagi perkara sebenar tidak dijelaskan kepada Azim.

Imbas kembali
Rumah Azim di Ibu kota

Telefon Azim bergetar lagi. Entah untuk kali yang ke berapa. Dek kerana bunyi getaran yang membingitkan telinga itu, Azim mencapai telefonnya. Dinyalakan lampu tidur kecil disebelah katilnya. Bunyi itu ternyata menganggu tidurnya.

Hani ni tak abis-abis nak ganggu hidup aku. Dasar perempuan murahan. Azim merengus menzahirkan kebosanannya melayan karenah tak tahu malu Hani itu.

Dipandangnya sekilas skrin telefon. 10 missed calls dan 1 sms. Azim tahu 10 missed calls itu datangnya dari Hani dan dia malas benar untuk ambil kisah, namun sms yang satu itu menarik perhatiannya. Bukan dari Hani. Tapi dari seseorang yang pernah dia tumpangkan siang tadi.

Terima kasih banyak-banyak sebab tumpangkan saya tadi. Allah sahaja yang dapat membalas jasa Azim. Sebelum saya terlupa, hujung minggu ni ada talk dekat masjid. Speaker dijemput khas dari Madinah. Cuma nak inform, kalau-kalau Azim berminat. Salam.

Azim pelik mendengar perkataan talk digunakan oleh Naim, lebih tepat pertama kali didengarinya seumur hidup. Sedangkan selalunya perkataan seperti ceramah ke, kuliah ke, khutbah ke… mungkin ni cara Naim nak ajak aku kot. Kalau dia sebut ceramah agama, nak ke orang macam aku ni pergi? Bijak jugak si Naim ni. Dalam hati Azim memuji kepintaran dan daya kreativiti Naim dalam mengajak kearah kebaikan. Azim tersenyum sendiri. Cepat-cepat dia membalas sms Naim. Jarinya laju menaip di keypad Strawberrynya itu.

Minggu ni saya bercuti di kampung. Rasanya tak dapat ikut. Anyway, thanks ajak.

Selepas menekan send, Azim terus membaringkan kembali badannya dan mematikan suis lampu. Dia berkira-kira untuk menyambung semula tidurnya yang terganggu sebentar tadi. Puas dicuba lelapkan mata namun ternyata dia gagal. Terlayar-layar di skrin mindanya peristiwa siang tadi ketika pulang dari kerja bersama Naim. Mimpi yang meninggalkan seribu persoalan dalam kepalanya.

Azim bingung bagaimana dia boleh teresak-esak sebegitu rupa, sedangkan dia bukanlah jenis lelaki yang senang menitiskan air mata seperti sesetengah kawan-kawannya yang menangis tersedu-sedan hanya kerana sad ending dalam drama korea. Dia bukanlah lelaki yang mudah menangis kerana putus cinta atau sebagainya. Dia lelaki yang kononnya kuat, tidak pernah menangis tapi malam itu dia tumpas akhirnya. Dia kalah jua akhirnya kerana takutkan satu kuasa yang ternyata lebih besar dari keegoannya.

Azim masih ligat berfikir apakah yang ingin disampaikan kepadanya melalui mimpi tersebut. Dipandangnya kosong potret Monalisa dan beberapa lukisan lain yang tergantung di biliknya. Selalunya gambar-gambar itulah yang menenangkan jiwanya tatkala serabut memikirkan urusan pejabat dan sebagainya. Dan sepatutnya dia berehat seukupnya kerana esok dia perlu memandu jauh pulang ke kampung Opahnya. Puas dicari kesimpulan mimpinya itu hingga akhirnya Azim terlelap begitu sahaja.

Imbas kembali
Di Kafe Setabak, KL

Hari ini, Hani keluar lagi minum kopi bersama rakan baik teman lelakinya merangkap pendengar setia ceritera cintanya dengan Azim.  Banyak masa dihabiskan bertiga. Namun kebelakangan ini, Azim jarang sekali menyertai mereka. Dihambat kesibukan kerja barangkali. Berpelukan setiap kali berjumpa menjadi perkara biasa memandangkan mereka bertiga sahabat rapat semenjak menuntut di Korea lagi. Namun setelah bergelak tawa berkongsi cerita mengenai kehidupan seharian, Rizman memulakan perbualan yang agak serius.

“Hani, baik kau hentikan perangai buruk kau ni. Aku bukan apa, Cuma aku kesian dengan Azim tu. Dia tu kawan baik aku tau, aku tak nak belakang hari nanti dia susah. Lagipun, tak baik kau mainkan perasaan orang ni, Hani.” Rizman cuba menasihati Hani dengan cara baik.

“Mana ada aku mainkan perasaan sapa-sapa. Lagipun jangan nak nasihat orang la, Riz. Kau tu baik sangat ka? Ke hulu ke hilir berkepit dengan perempuan entah sapa-sapa. Aku okey apa. At least, aku tak minum, mabuk macam kau sampai tak ingat dunia. Azim tak cakap apa-apa, kau pulak yang over. Heh, cool la.” Hani membela dirinya.

“Aku sedar aku jahat. tapi kau pun kena sedar,Hani yang kau tu tak lama dah nak bertunang. Sikit hari lagi jadi isteri orang tau. Be serious la sket. Benda camni kau tak leh wat main-main.” Nasihat Rizman didengari acuh tak acuh sahaja. 

“So what? Lepas aku kahwin pun, Azim tak boleh nak paksa-paksa aku tinggalkan semua ni. I want to be free. Aku nak hidup cara aku. Dia tak ada hak nak tentukan hidup aku.” Ujar Hani bernada tidak puas hati.

“Eh Cik Hani, sejahat-jahat aku ni pun. Kalau aku nak berkahwin nanti, aku mesti cari yang baik tau. yang bertudung paling kurang, sedap mata memandang. Aku akan pilih yang bersopan, baik, lemah lembut ala-ala perempuan melayu terakhir tu.” Rizman melontarkan pendapat peribadinya sambil tersenyum macam kerang busuk.

“Orang lelaki ni semua sama ja. Nak perempuan yang baik-baik tapi diri tu? Sedarlah diri tu. Eh Encik Rizman anak Dato’ Malik, perempuan baik idaman kau tu pandang ka lelaki yang keluar masuk kelab malam macam kau ni? Lelaki jahat macam kau sesuai dengan perempuan yang macam kau jugak la. Cermin diri tu dulu. Cakap tu biar ada logik siket, bro.” Hani memulangkan paku buah kerasnya.

“Setidak-tidaknya bila dah kahwin nanti perempuan tu boleh la bimbing aku ke apa ka. Lagipun takkan selamanya nak hidup macam ni? Aku pun sebenarnya rimas dengan dunia macam ni tapi tulah susah jugak nak tinggal benda-benda macam ni sekali dah masuk. Tapi memandangkan korang berdua dah nak berkahwin, sepatutnya salah seorang tu mesti dah bersedia untuk pikul tanggungjawab ni. Ish, besar tanggungjawab tu. Ni yang aku membujang sampai sekarang ni.Tak sangguuup gua.” Rizman sengaja menekan suara di hujung percakapannya. Dia masih berlagak tenang walaupun Hani kelihatannya seperti akan meletus bila-bila masa dengan statements panas yang dikeluarkan Rizman.

“Dah la, aku nak balik nih.” hani memutuskan perbualan mereka di situ. Dia malas lagi memikirkan perkara itu. Sudahlah sekarang jarang sekali dia berjumpa dengan bakal tunangnya itu, Rizman pulak tak habis-habis nak menyakitkan hatinya.

“Suka hati kau la Hani.Aku ni sebagai kawan cuma nasihat ja. Jangan nanti si Azim tu merana disebabkan kau sudah. aku ni tak suka tengok kawan baik aku tu susah. Lagi satu, hati ni bila-bila ja boleh berubah tau. Hati-hati, Hani. Jangan nanti nasi dah jadi bubur, masa tu….abeh.” ujar Rizman sambil menggeleng-geleng tangannya.

“Dah lah, jom aku hantar kau balik. Teksi pon tak banyak area ni. ” Hani hanya mengangguk tanpa bersuara lagi. Malas dia melayan leteran Rizman.

Azim hanya memandang gelagat mereka berdua. Bermula dengan berpelukan, lepas itu ketawa manja. Nampak benar seperti pasangan yang melepaskan rindu selepas berabad lamanya tidak bersua. Hati Azim mula panas hinggakan penghawa dingin keretanya yang dipasang maksima itu pun tidak mampu menyejukkannya tika itu. Setelah puas bermadu asmara, siap tumpangkan kereta lagi. Pelbagai andaian buruk bermain di kepala Azim, ditambah syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan menyesatkan anak cucu adam.

Azim menghentakkan stereng dihadapannya. Mereka berdua seolah-olah telah lama membuat onar di belakang Azim. Cuma dia yang tertipu dengan muslihat mereka yang kononnya cuma bersahabat baik. Benarlah telahannya selama ini. Mereka memang ada skandal. Patutlah selama ini Hani tidak pernah kisah walaupun dia kerap menolak ajakannya untuk keluar bersama. Rupa-rupanya dah ada yang lain. Ini belum berkahwin, kalau dah kahwin esok entah macam mana jadinya nanti.

Harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan kawan, kawan makan kawan. Sampai hati kau Rizman. Selama ini, dia percaya pada Rizman sepenuhnya. Tanpa curiga dia membenarkan mereka berdua menghabiskan masa bersama kerana dia terlalu sibuk dengan rutin kerjanya yang baru dinaikkan pangkat sebagai Assistant Manager untuk menemani Hani. Hampir saban minggu dia melihat sahaja kelakuan jijik mereka berdua. Kadang-kadang memang sengaja dia memberi alasan untuk tidak turut serta dalam ‘dating’ mereka. Hendak dilihat dan dipastikan kelakuan sebenar mereka dengan mata kepalanya sendiri.

Apakah yang bakal dilakukan Azim Selepas melihat kejadian di Kafe Setabak itu?

Cerita cintaku 3

Bahagian 3

“Azim! Azim! Pak cik nak mintak tolong sikit ni. Boleh? kata Pak Said dengan wajah bersih tersenyum tenang.

“Ada apa Pak Said? Nak saya tolong apa?” Azim terus bangun dari duduknya.

“Nih, pak cik nak mintak kamu tolong imamkan solat zuhur. Nak juga merasa aura imam muda. Kebetulan Imam Majid tak sihat hari ini. Boleh ke? ” ujar Pak Said, bilal masjid yang baru sahaja selesai melaungkan azan.

“Err…saayaaa….ermmm…saayaaa sebenarnya…” Azim jadi gelabah dengan permintaan itu. Masakan tidak, kali terakhir dia mengimamkan solat adalah semasa darjah 6. Itu pun kerana disuruh ustaznya semasa menghadiri kelas KAFA. Ketika di Korea dulu pun, acap kali dia menolak dengan memberikan macam-macam alasan.

“Saya…..”Azim menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Puas difikir cara terbaik untuk menolak permintaan tersebut. Cara yang paling selamat dan yang paling penting tidak menampakkan kejahilannya dalam perkara tersebut.

Hurmmm….. Puas difikir namun otaknya yang selalu sahaja cepat memberi alasan itu seolah-olah dibius dan tidak berfungsi saat itu. Dia kebingungan. Dalam hati Azim bermonolog.

Alamak! Macam mana ni? Time camni la pulak Imam Majid sakit. Aduh, parah ni. Apa aku nak buat ni? Parah…

Azim merasa cemas. Peluh sedikit memercik di dahi. Tangannya juga sedikit menggeletar menggambarkan perasaannya ketika itu. Namun selepas beberapa ketika, Azim tersenyum nipis. Idea untuk mengelat dari menjadi imam muncul di kepalanya.

“Pak Said, saa….” Baru Azim hendak memulakan bicara, tiba-tiba Pak Said memotong percakapannya.

“Eh, Imam! Kata tak sihat?”  tegur Pak Said memandang ke arah pintu masjid. Azim pun segera berpaling ke arah yang sama.

Dilihatnya Imam Majid berjalan masuk ke dalam masjid. Wajahnya kelihatan sedikit pucat.

“Imam, boleh ka ni?” Tanya Pak Said bernada bimbang.

“Aku ni dah tua, Said. Sakit-sakit ni dah biasa. Kalau dilayan makin menjadi pulak nanti. Lagipun, umur aku ni rumah kata pergi kubur kata mari, Said. Rugi kalau aku tak guna betul-betul masa yang bersisa ni. Sementara Allah masih bagi peluang.” kata Imam Majid sambil menepuk bahu Pak Said. Ditenung juga Azim dengan pandangan yang redup. Seolah-olah berpesan agar tidakmensia-siakan setiap peluang yang diberi. Kata-kata itu benar-benar meruntun kalbu dan penuh maksud tersirat bagi Azim. Seolah-olah….

Dia masih teringat khutbah jumaat minggu lepas yang disampaikan oleh Imam Majid walaupun hanya sempat didengari separuh sahaja. Betapa ditekankan bahawa mati itu, tidak mengira muda atau tua. Dipesannya agar anak-anak muda yang berada dihadapannya sentiasa mencontohi para Sahabat, menjadi pemuda yang sehebat Saidina Ali dan segagah Saidina Umar, memiliki  pekerti semulia Saidina Uthman dan berjiwa besar serta pemurah seperti Saidina Abu Bakar. Biarpun kebanyakan anak-anak muda saf-saf hadapan semua sudah masuk ke alam mimpi, tersengguk-sengguk bagai nak menyembah lantai, Azim yang berada di bahagian belakang tetap mencuba untuk fokus dan mendengar setiap patah kata Imam Majid dengan teliti.

"Kedua-dua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri dihadapan tuhannya tanpa berganjak sedikit pun pada hari kiamat sehingga ditanya tentang 4 perkara iaitu tentang umur, bagaimana ia habiskan,tentang masa muda kearah mana ia pergunakan,tentang hartanya, dari mana diperolehi dan bagaimana dihabiskan dan tentang ilmunya, apakah yang dibuat dengannya"(Riwayat At-Tarmizi)

Azim berasa terpukul apabila matanya terpandang poster hadis tersebut ketika hendak berlalu ke tandas selepas solat tadi. Dia teringat tadi baru sahaja dia mensia-siakan peluang yang Allah berikan kepadanya untuk menggunakan usia mudanya sebaik mungkin. Bukan dia tak tahu betapa besarnya ganjaran mengimami solat namun disebabkan tiada keberanian dan sikapnya yang suka  mencari seribu alasan itu menyebabkan dia melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja.

Sedang Azim duduk bersandar di tiang masjid, dia terlihat kelibat Imam Majid yang sedang bangkit dari duduknya perlahan-lahan dan berjalan menuju ke rak Al-Quran dibahagian depan masjid. Diperhati tubuh kecil Imam Majid dari jauh, entah kenapa Azim mula berasa sebak. Mengenangkan yang suatu hari nanti dia juga akan melalui usia itu, itupun kalau dipanjangkan umurnya.

Azim masih ingat raut wajah Imam Majid ketika beliau masih muda. Penduduk kampung semua mengaguminya. Masakan tidak, dalam usia beliau semuda Azim sudah menjadi imam besar di masjid. Penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jin dan makhluk halus juga mampu dirawatinya. Berbeza benar dengan diri Azim, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa jahat dan jahilnya diri.

Imam Majid menjadi orang penting dalam hidup Azim. Imamlah yang menjadi tempat Azim merungkaikan kekusutan hidupnya. Nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan dengan penuh kasih sayang akhirnya berjaya mencairkan hati keras Azim. Lama Azim termenung hingga dia terlupa yang dia ada banyak soalan untuk dibincangkan bersama Imam Majid. Azim tersentak apabila tiba-tiba angin kuat bertiup dan pintu terhempas dengan kuat. Segera Azim bangun mencari Imam Majid namun tiada siapa pun yang dilihatnya di dalam masjid ketika itu.

Mungkin lain kali. Tak ada rezeki nak jumpa Imam hari ini. Bisik Azim kepada hati kecilnya.

Azim menapak ke luar masjid. Sedang dia berkira-kira hendak menutup pintu pagar masjid, dilihatnya seorang gadis memakai tudung litup berjalan melintasi perkarangan masjid. Azim kenal benar dengan gadis itu.

“Nurul! Nurul! Tunggu kejap!” Azim memanggil dengan sekuat hatinya.

Namun gadis tersebut langsung tidak berpaling malah mempercepatkan lagi langkahnya.

Azim bingung. Tidak mungkin dia salah orang sebab dia kenal benar dengan gadis tersebut. Semasa kecil mereka tidak pernah berpisah. Kemana pun mesti berdua. Tapi hubungan mereka semakin renggang bila Azim menerima tawaran ke sekolah berasrama.

“Nuruuuul!!!” sekuat hati dijerit nama gadis tersebut. Kali ini, bayangan gadis tersebut terus hilang dari pandangannya. Baru sahaja tadi dia nampak Nurul menyeberangi titi di depan sana.
Azim bingung dengan situasi itu. Kenapa Nurul melarikan diri darinya?

Takkan Nurul takut dengan aku pulak ? Malu? Takkan pulak… Apa kes? Hairan bin pelik ni..tak pa..nanti aku akan selongkar..

Azim berjalan perlahan menyeberangi titi kecil itu. Dibawahnya mengalir sebatang sungai. Dia Teringat disitulah tempat dia dan Nurul bermain ketika kecil dulu. Langkahnya terhenti disitu. Masih terpahat di kotak ingatannya segaris parut di kening Nurul akibat perbuatannya. Risau betul dia ketika itu. Mujurlah ada orang kampung disekitar situ ketika dia menjerit meminta tolong.

“Saya tak suka lah awak kawan dengan budak Aqasha tu. Saya benci la tengok dia. Berlagak bagus ja depan orang.” Azim meluahkan marahnya kepada Nurul.

“Suka hati saya la nak berkawan dengan sapa pun. Awak ni kenapa nak marah-marah saya?”luah Nurul tidak puas hati.

“Lagipun Naim tu pandai, semua cikgu kat sekolah puji dia awak tahu tak. Dia baik bukan macam awak pandai tapi suka sangat cari pasal dengan orang. Sebab tu tak da orang nak kawan dengan awak.” tambah Nurul lagi.

“Blah la awak ni. Pergi la kawan dengan si Aqasha  perasan bagus tu. Saya pun tak teringin sangat pun ada kawan macam awak!” ujar Azim sambil menolak kasar bahu Nurul dan berlalu pergi.

Tiba-tiba, terdengar bunyi hentakan diikuti satu jeritan kecil. Suara Nurul. Kedengaran Nurul menangis kesakitan sambil memegang dahinya. Azim segera menoleh ke belakang. Dilihatnya Nurul terduduk dengan tangan didahinya dipenuhi darah. Azim cemas. Apalah yang mampu dilakukan oleh kanak-kanak sebaya Azim selain menjerit meminta tolong.

Namun tiada sesiapa pun yang melalui kawasan tersebut saat itu. Azim bertambah cemas. Darah di dahi Nurul semakin deras mengalir. Lantas Azim menbuka t-shirt putih yang dipakainya dan ditekapkan ke dahi Nurul. Hanya itu yang terlintas difikirannya saat itu. Mujurlah selepas beberapa ketika, Imam Majid muncul menyelamatkan keadaan. Diangkatnya Nurul dan dibawa ke klinik. Mujurlah.

Peristiwa itu pasti meninggalkan kesan mendalam terhadap Nurul. Semuanya salah dia. Beberapa hari selepas peristiwa itu, Azim berpindah ke sekolah asrama tanpa sempat meminta maaf terlebih dahulu. Perasaan malu yang menebal untuk berjumpa Nurul menyebabkan dia menyimpan sahaja maafnya itu. Sehinggalah saat tadi baru dia berjumpa semula dengan Nurul.

Mungkin Nurul masih marah dengan aku kot. Maafkan Azim, Nurul. Azim bertekad suatu masa nanti dia akan menemui Nurul  dan meminta maaf dengannya. Tapi mungkin bukan sekarang. Belum tiba masa yang sesuai, getus hati Azim.

Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar di dalam kocek seluarnya. Dipandangnya skrin yang tertera nama Hani. Satu keluhan berat dilepaskan seraya mengangkat panggilan tersebut.

“Hello. Awak nak apa?” Azim bersuara bosan. Kedengaran suara Hani merengek meminta maaf dan memujuk supaya Azim segera kembali ke Kuala Lumpur. Rindu kononnya.

“Nampaknya awak ni tak faham apa yang saya cakap hari tu. Awak dengar sini baik-baik. Saya dengan awak dah habis, kosong, tamat. Jadi awak jangan nak call atau mesej saya lagi. Saya dah serik dengan perempuan murah macam awak ni.” Azim berkira-kira hendak memutuskan panggilan tersebut.

Namun, kedengaran suara Hani menghalangnya dari memutuskan talian. Azim diam memasang telinga. Terbeliak mata Azim mendengar berita yang dikhabarkan oleh Hani.

“Awak tipu, Hani! Saya tak percaya! Apa yang awak merepek ni?” Azim terus memutuskan talian. Ditarik nafas sedalm-dalamnya. Hatinya mula resah.

Mengapakah Nurul melarikan diri sebaik sahaja terlihat kelibat Azam?

Apakah berita yang disampaikan Hani sehingga mengejutkan Azim?

Cerita cintaku 2

Bahagian 2

Di dapur, kelihatan Opah sedang tekun memasak sesuatu. Dari aroma masakan, Azim dapat mengagak ikan tenggiri masak lemak cili api pasti menjadi juadah makan tengaharinya. Dahulu ketika berada di Korea, pernah juga dia mencuba resepi Opahnya itu untuk santapan bersama kawan-kawan, berkali-kali Azim mencuba, namun barangkali kerana air tangan yang berbeza, puas dicuba rasanya tetap lain juga.

“Opah, Atuk mana? Dari pagi dah menghilang?

“Atuk kamu tu, kalau tak da mengaji di masjid, biasanya di ke kebun tu. Tak pon, dia ke rumah Imam Harun. Biasa la tu, mengajar agama dekat budak-budak muda di kampung ni, sebelum zohor balik la tu,” ujar Opah sambil mematikan api di dapur.

“Azim. Ni kamu balik ni, bercuti sampai bila? Jarang-jarang kamu balik, alang-alang bermalam la lama sikit kat sini. Terubat sikit sunyi kami ni. Nak mengharap yang lain…” Opah mematikan bicaranya disitu.

Sayu pandangan Opah mengharapkan Azim mengerti maksud pandangan itu. Dan bukan susah juga untuk Azim mentafsir maksud di sebalik redup pandangan mata Opah itu. Tersembunyi seribu rahsia bercampuk aduk antara suka dan duka, tangis dan tawa sepanjang kehidupannya. Azim memahami kesunyian dan kerinduan mereka mengharungi hidup ini. Sekadar termampu, akan cuba diubati kesunyian mereka.

“Azim ambik cuti seminggu, Opah. Azim ingat nak tolong atuk kat kebun tu. Ya la, teringin jugak nak rasa kerja luar ni. Biar berpeluh siket. Kat KL tu asyik terperuk ja dalam bilik. Sakit kepala ni, Opah.” Bicara Azim bersungguh dengan kedua tangan memicit kepalanya.

“Bagus la tu. Opah terdengar jugak iklan dalam tv tu, apa? Badan sihat, otak cerdas? Ha, kerja tu kerja jugak..” ujar Opah.

Plannya memang macam tu pon Opah. Azim pon dah lama tak duduk bersembang dengan Opah, macam dulu-dulu, sambil minum kopi petang – petang, sambil makan cekodok, sambil korek kisah cinta Opah dengan Atuk, hehe. Rindu betul Azim dengan cekodok yang Opah masak. Esok – esok kalau dah kahwin, isteri Azim mesti kena pandai buat cekodok macam Opah. Hehehe…”ujar Azim seolah – olah sudah punya calon.

Senang hati Azim melihat Opahnya tersenyum. Walaupun usaha yang kecil, ini sahaja yang mampu dia lakukan untuk membahagiakan Opah dan Atuknya yang telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Nak dihitung dan dibalas jasa mereka, mungkin segunung intan pon belum tentu memadai.

“Macam-macam kamu ni Azim. Dah, jom masuk. Dah terik ni. Kejap lagi zohor la tu. Nanti Atuk balik kita makan sama-sama. Opah nak masuk dulu,” ujar Opah sambil berlalu pergi.
Azim mengangguk dan mula mengorak langkahnya ke bilik air. Selangkah dia berjalan, telefon ditangan bergetar menandakan mesej masuk.

Kemana u menghilang ni? I call pon u x angkat? U masih marahkan I lagi ke? Come on, babe. Jangan diam mcm ni je. Call me back, please! –honey-

You have 15 missed calls.

Sms itu dipandangnya sepi. Notification untuk missed calls pon dibiarkan sahaja. Ikutkan hati mahu sahaja Azim offkan telefon, rimas dia dengan sikap Hani yang suka mendesak itu. Namun risau juga kalau-kalau ada panggilan penting dari pejabat, dibiarkan telefonnya hidup. Tiada mood untuk dia melayan perempuan itu. Buat sementara waktu ini, biarlah mereka mengikut haluan masing – masing.

Dia sudah tekad walaupun berat sebenarnya untuk dia menjauhkan diri dari Hani yang dikenali semenjak menuntut di Korea lagi. Kasih dan cintanya terhadap perempuan itu pernah membuatkan dia bergaduh dengan rakan baiknya. Sayangnya kepada Hani melebihi segala-galanya. Namun perbuatan Hani tempoh hari betul – betul menyesakkan dadanya. Semenjak peristiwa itu, dia banyak berfikir. Semenjak itu juga, dia mula belajar untuk hidup dengan lebih serius.

Dia bercadang untuk menemui Imam Harun selepas selesai jemaah zohor di masjid nanti. Banyak soalan yang masih terbuku di benaknya. Dek kerana kekangan masa dan dihambat kesibukan kerja, semua persoalan itu disimpannya hingga ke hari ini. Dia perlukan jawapan kepada setiap kekusutan tersebut. Bila semuanya terungkai, barulah hatinya akan menjadi tenang.

Azim melangkah masuk ke masjid. Dilihat jemaah tidak ramai. Hanya golongan warga tua sebaya Atuk kelihatan di saf hadapan. Kemana- manalah perginya anak-anak muda yang sepatutnya mengimarahkan masjid, menjadi makmum memenuhi saf-saf di rumah Allah ini? Dia terkilan melihat suasana itu, lebih tepatnya rasa bersalah. Kerana dia juga pernah meninggalkan seruan itu. Semakin dia sedar betapa ruginya usia muda yang tidak pernah dihabiskan untuk mencari hidayah,mencari tuhannya. Usia muda yang dihabiskan dengan keseronokan dan kelalaian dunia.

Usainya azan disambut dengan doa. Azim mengusap wajah seraya mengaminkan doa tersebut.

Bila azan berkumandang, maka berdiamlah kamu..segeralah bersolat agar kamu mudah menyebut kalimah 'la ilaha illAllah' kala maut menjemputmu…

Masih terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Eliyas dalam ceramah yang diikutinya minggu lepas. Syukur pada tuhan kerana menggerakkan hatinya untuk menumpangkan Naim malam itu. Naim rakan sepejabatnya itu meminta ditumpangkan kerana keretanya rosak dan terpaksa dihantar ke bengkel. Kebetulan mereka memang tinggal di taman yang sama. Azim memang kenal dengan Naim tapi sekadar mengenali nama dan wajah sahaja. Tidak pernah dia berbual dengan Naim. Cuma sering terdengar rakan sepejabat memuji kebaikan Naim.

Takda salahnya pon tumpangkan dia, hari ni dia susah aku tolong, besok-besok mana tau hari aku pulak…monolog Azim sendirian.

Sedang dia memandu, Azim berkata-kata dalam hatinya. Sesekali dia mencuri pandang Naim disebelahnya. Puas dia berfikir bagaimana nak memulakan bicara.

Baik sangat ke Naim ni? Sampaikan Mak Cik Limah tukang cuci tu pon asyik puji si Naim ni. Nampak biasa je. Yelah, dari segi luaran memang nampak la si Naim ni bukan jenis playboy macam aku. Nampak skema je. Boring pon ada. Bahasa apa aku nak guna ni? Blabla…

Tiba-tiba Naim bersuara.

“Kalau tak keberatan, boleh Azim berhenti kejap kat masjid depan tu. Lagipun dah azan ni. Takut tak sempat pulak kalau balik terus. Selalu jammedkan jalan waktu-waktu camni.”

Azim yang sedang mengata Naim dalam hatinya sedikit terperanjat bila Naim tiba-tiba bersuara.

Bila pulak azan? tak dengar pon. Hurmm…yelah ak asyik mengelamun pasal si Naim ni, mana nak dengar…

Tanpa sempat mulutnya menjawab, tangannya terlebih dahulu memulas stereng membelok masuk ke kawasan masjid. Dia pun hairan bagaimana dia boleh hanya menurut sahaja. Lagipun dia tiada sebab untuk menolak permintaan Naim itu.

“Tak nak join skali ke?” ajak Naim.

“Tak pe lah. Awak pergi dulu. Sempat lagi kalau saya buat kat rumah ni. Badan saya rasa tak berasa sihat la,” Azim cuba memberi alasan.

“Betul ni? kalau macam tu, saya pergi dulu.” Naim terus mengorak langkah menuju ke masjid.

Dari dalam kereta, Azim melihat beberapa orang berjalan menuju ke masjid. Dalam kelompok manusia itu, Azim seolah-olah terpandang seseorang yang dikenalinya.

Tak mungkinlah dia. Dia?? pergi masjid?? kiamat la jawabnya. Solat pon tak pernah. Orang lain tu. Pelanduk dua serupa kot.

Azim cuba meyakinkan dirinya kelibat yang dia nampak tadi tu bukanlah seseorang yang sedang bermain di fikirannya saat itu. Disandarkan kembali kepalanya di kusyen kereta. Sedang azan Maghrib sayup berkumandang dari masjid, Azim mematikan radio dan hanya menunggu dalam keretanya. Entah kenapa dia berasa terpanggil untuk mendengar seruan itu, walaupun itu bukanlah kali pertama didengarinya. Suara azan itu sungguh syahdu, begitu membuaikan sehingga membuatkan Azim terlelap.

Berat untuk menolak ajakan Naim, dia pun mengikut Naim masuk ke dalam masjid. Ringan sahaja langkah kakinya menuruti Naim. Itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke masjid setelah sekian lama dan ternyata perasaan yang lahir ketika itu sangatlah berbeza. Seolah-olah ditiupkan suatu ketenangan ke dalam jiwanya. Terlalu damai sehingga sukar untuk ditafsirkan melalui kata-kata.

Di hadapan kelihatan seorang ustaz sedang duduk dikelilingi oleh beberapa orang lelaki. Semuanya berpakaian serba putih. Sungguh bersih dan suci, tenang sesiapa sahaja yang melihatnya. Azim berasa terpanggil untuk duduk bersama mereka. Kelibat Naim langsung tidak kelihatan. Dia terus duduk di sebelah seorang pak cik tua, betul-betul bertentangan dengan ustaz yang berceramah dihadapan.

“Anak ni orang baru kat sini ka? Tak pernah pak cik nampak sebelum ni.” sapa pak cik tua itu.

Azim hanya mengangguk sambil tersenyum. Kemudian fokusnya cuba dialihkan kepada ustaz di hadapan.

Bila azan berkumandang, maka berdiamlah kamu..segeralah bersolat agar kamu mudah menyebut kalimah 'la ilaha illAllah' kala maut menjemputmu. Ingatlah bahawa solat itu tiang agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, samalah seperti dia meruntuhkan agamanya. Maut itu datang tidak terawal tidak juga terlewat walaupun sesaat. Tunaikanlah solat wahai saudaraku Azim!

Pandangan mata ustaz itu tepat kearahnya. Tidak tersasar walau seinci. Redup mata ustaz itu langsung tidak menggerunkan Azim bahkan menyebabkan dia sebak. Menyedari kewajipannya untuk menunaikan hak Allah yang selama ini sengaja ditinggalnya. Azim menangis teresak-esak. Sendu tangisnya kedengaran seperti anak kecil. Air mata lelakinya tumpah jua.

“Azim! Azim! Bangun! Kenapa awak teresak-esak ni?”

Azim terkejut lalu bingkas bangun. Dilihat wajahnya basah dengan air mata. Bingkas disapunya air mata yang bersisa. Malu dia apabila menyedari Naim masih memerhatinya dengan wajah risau.

“teruk sangat ke sakit awak? Kena pergi klinik ni. Esok awak ambik cuti la. Nanti saya bagitau bos awak. Biar saya pandu,” ujar Naim lalu keluar dari tempat duduknya dan berjalan kearah tempat duduk pemandu.

Azim masih keliru dengan apa yang dialaminya sebentar tadi. Masih terbayang-bayang redup pandangan ustaz dalam mimpinya tadi. Fikirannya terlalu serabut. Dia menyerahkan kepada Naim untuk memandu. Dia cuma mahu tidur dan lupakan semuanya.

Milik siapakah kelibat yang dilihat Azim semasa menunggu di dalam kereta?



Siapakah Naim sebenarnya?