Rabu, 30 Oktober 2013

CERPEN: Pemilik Hidup Ini_bahagian 2

Tombol pintu bilik air dibuka perlahan.
Terkejut semua mereka yang ada di situ.
Langsung bicara mereka tentang Balqis terhenti di situ. 

Sedari tadi Balqis diam sahaja mendengar mereka mempersoalkan tentang perlantikannya. Namun bila mereka memperkatakan tentang masa silamnya, dia malu dan dia enggan mereka membicarakan hal yang paling ingin dilupakan dalam hidupnya.

Sambil memohon izin mencuci tangan di sinki, Balqis cuba untuk senyum dan berlagak biasa di hadapan mereka.

jangan pernah mengungkit kisah silam seseorang yang sudah bertaubat. Anda tidak tahu betapa sukarnya dia cuba melupakan itu semua

«Adakah kamu tahu apa itu ghibah?”, mereka berkata : Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda berkata : “Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya“. Dikatakan : Beritahukanlah kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan? Baginda berkata : “Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya». (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ahmad dan Ibn Hibban)           

Langkah dipercepat. Dia harus segera sampai ke Korea Universiti sebelum masa menghantar borang pendaftaran tamat. 

"Kak Farhana, jom!
Bas dah sampai tu.."

Mereka segera berlari-lari anak melintasi jalan menuju ke bahagian tengah jalan raya yang dikhususkan untuk laluan bas. 

Disebabkan sistem khas yang seakan-akan sistem tram di negara eropah inilah, kemudahan pengangkutan awam di Korea adalah antara yang paling efisyen.

Kad t-money, sejenis kad tambang di sentuhkan pada mesin pengimbas di sebelah pemandu. Di mesin itu juga pengguna akan mengetahui baki kad dan juga harga tambang. Mereka mengambil tempat berdekatan pintu tengah bas.

Pandangan Balqis beralih ke luar tingkap. Berkali namanya dipanggil tiada sahutan. 

"Balqis kenapa ni? Dari tadi akak panggil tak bersahut, sampai kena goncang bahu baru perasan. kenapa ni? cuba cerita dengan akak."

"Apa akak akan buat kalau orang asyik ungkit kisah silam kita? Kisah masa lampau kita yang kita buat masa kita tengah jahil. Saya malu, kak."

Bahu diusap.

"Balqis ingat tak apa terjadi kat nabi masa baginda di Thaif? 

Masa tu kan nabi ditentang bila cuba nak ajak manusia supaya taat Allah. 
Ada pendapat yang cerita teruknya keadaan nabi masa tu, berdarah ni sampai bertakung darah di selipar. 

Lalu malaikat pun tanya, apakah nabi mahu Allah turunkan bala kepada penduduk thaif? 
Apa jawab nabi?
Ampunkanlah mereka, sesungguhnya mereka tidak tahu."

Balqis mengangguk.
Betul. Tiada siapa boleh menafikan kesabaran baginda.
Alangkahnya bahagianya kalau dirinya juga punyai kesabaran itu.

"Balqis kesal dengan masa lalu Balqis.
Masa tu apa yang ada dalam fikiran Balqis ialah kebebasan. Tak pernah terlintas di fikiran benda yang macam tu akan buat Balqis menyesal di kemudian hari."

Bas bertukar nombor dan warna. Kini mereka menaiki bas hijau yang khas untuk kegunaan kawasan dalam kampus. Sampai ke bangunan utama, loceng ditekan. Bas pun berhenti.

Walaupun sudah petang, kawasan lobi bangunan itu masih dipenuhi pelajar yang ingin mendaftar termasuk pelajar asing. 

Mujurlah ada kaunter khas dibuka untuk pelajar Malaysia. Selesai semua urusan, mereka mula bergerak meninggalkan lobi.

"Eh, Balqis. U pun daftar untuk Korea Universiti jugak ke? I ingat U nak masuk Yonsei University."

Sapaan itu membuatkan Balqis tersentak dan berpaling. Salman.

Balqis kemudian berpaling semula ke depan. 

"Maaf, saya dah lambat."

Balqis terus melangkah pergi dengan langkah yang semakin laju. Farhana turut mengikut langkah Balqis.

"Kak, saya ingat dengan memilih Korea Uni akan selesai semua masalah, rupanya masalah baru saja bermula,kak."

"Allah kan ada, Balqis. Selamanya Allah akan ada bersama hambanya. Dah, jom kita solat dulu. Nanti Balqis kena jelaskan pada akak kenapa dengan budak lelaki tadi."

Mereka berjalan beriringan ke tingkat lima bagunan sebelah, bangunan kejuruteraan mekanikal. 

Butang ditekan dan lif pun bergerak.
Tting! Pintu lif terbuka.

Langkah kaki disegerakan kerana waktu maghrib begitu cepat sekali berlalu terutamanya pada musim luruh dan sejuk nanti.


Selesai semua urusan pendaftaran, mereka bergerak pulang menaiki tren. 

"Siapa lelaki tadi, Balqis?
Kenapa dengan dia?"

"Dia okey je kak. Yang tak okeynya saya ni. Budak lelaki tu orang selalu panggil Salman. Dia.... err.... bekas couple saya"

Balqis tunduk sambil mengetap bibir.

"Dia masa lalu saya, akak.
Masa lalu yang saya kesali."

Nada suara Balqis berubah. Ada getaran.

"Saya cuba lari tapi rupanya Allah masih mahu menguji saya." Balqis duduk di bangku yang kosong.

"Lelaki tu saya kenal masa saya di kolej persediaan dulu. Dari situ kami berkenalan kemudian menjadi sangat rapat, macam belangkas. Tapi suatu hari tu, saya hantar mesej mintak putus."

This stop is Sindorim Station.

Kedengaran pengumuman di buat. 
Balqis dan Farhana segera keluar dari perut tren untuk mengambil bas ke rumah.

"Bila saya minta putus, berkali-kali dia call tapi saya tak angkat. Dari saat itu, kami mula renggang walaupun dia masih cuba menghubungi saya. Sampailah ke hari ini."

"Syukur, Balqis sedar sebelum terlambat. Tu tanda Allah sayang." Farhana memberi kata semangat.

"Tapi seumur hidup Balqis, Balqis takkan boleh lupakan apa dia buat kat Balqis."

Mereka berpisah di persimpangan antara convenience store dan kedai telefon.

"Jalan baik-baik Balqis. Kita jumpa nanti malam insyaallah".

Keduanya membawa haluan masing-masing. 
Meninggalkan persoalan di kepala Farhana, apa sebenarnya yang dilakukan si dia kepada Balqis?

bersambung....

Hambaanakdagang, 31102013, 0041. 

 

Isnin, 21 Oktober 2013

Cerita Sangat Berdebar!

KISAH BENAR

Berlaku pada kawan penulis, Malika (bukan nama dan jantina sebenar).

Hari berkenaan Malika diminta menghantar seorang kakak ni, orang Malaysia ke airport. Bukan tnt (travel and tour) yer, yang penting kakak ni stay dalam 3 minggu jugak dengan kami.

Bersama Malika dan kakak Malaysia ni ada seorang lagi kakak dengan baby yang cute.

Nak dijadikan cerita, hari berkenaan adalah hari terakhir untuk hantar assignment Malika. Tapi malangnya Malika terlupa, memang tak ingat langsung pasal kena hantar, walaupun da siap tinggal nak print dan hantar je depan bilik prof.

Flight kakak Malaysia tu dalam jam 4 petang lebih. Kalau dari rumah Malika dalam sejam jugak naik bas.

Rancang jam satu kena bertolak. Tapi nak dijadikan cerita lagi, dalam 1.30 jugak dyrg bertolak.

Maka naiklah bas mereka bertiga dan dua bagasi besar bersama seorang baby dalam carrier yang digalas ibu muda tadi. Bagasi besar satu Malika tarik, lagi satu kakak Malaysia tu tarik. Boleh bayang keadaan mereka masa tu?

Bas bawak agak laju dan brake terkejut banyak kali. Penat jugak la kalau kena berdiri. Terhuyung hayang macam orang mabuk rasanya.hehe. macam pernah mabuk je Malika ni, sakan bercerita. Suka lebih-lebih expression.

Then beberapa stop lepas tu, naik clasmate Malika.
Berlaku lah dialog simple Malika dan classmatenya.

`Malika, dah hantar assignment?`

Malika terus jawab tanpa berfikir.
`Dah.`

Kemudian Malika rasa berdebar. Bukan sebab classmate tu. tapi sebab dia baru teringat,

ASSIGNMENT BELUM HANTAR!!!!!
DUE DATE HARINI!!!!!

Apa kau buat sepanjang pagi tadi kat rumah, Malika?
Malika mengetuk kepala sambil bertanya pada dirinya.

Kakak baby tu suruh Malika patah balik.
Dia suruh Malika hantar assignment tu dulu.
Tapi takkan nak tinggal kakak-kakak ni dengan dua bagasi besar?
Ada baby lagi tu..

TAPI MUJUR....
Malika dah upload kat dropbox.

ALHAMDULILLAH..
Malika cakap, dia rasa macam nak sujud syukur time tu.
tapi mana bole, sebab atas bas. hehe.

Huu...
Malika terfikir nak whatsapp siapa mintak tolong.
OF COURSE bukan classmate tadi, nanti kantoi menipu!

Mujur housemate cepat je reply whatsapp Malika time tu.

Dan, cerita ni pun da sampai penghujungnya pun.
Malika pun dengan hati tenang pergi airport hantar kakak tu.

Housemate Malika lah yang jadi heroin cerita ini kerana telah membantu Malika menghantar assignmentnya.
THANKS housemate! (kata Malika kpd penulis, oppss! hehe)

Jadi apa pengajaran cerita ni?
1. Allah akan tolong U bila U tolong orang lain.
Saya sangat tersentuh bila tiba-tiba jer classmate Malika boleh pulak naik satu bas sama dengan Malika, dan tanya pasal assignment tu. Boleh je kot dia naik bas lain kan.. Allahuu

2. Banyakkan pergantungan pada Allah dari manusia.
Malika pasrah jer kalau ditakdirkan score sem ni kurang sebab tak hantar assignment tu, tapi Allah tolong sebelum kejadian ni terjadi lagi. Awal-awal Malika dah ready upload ke dropbox, macam tahu jer dia akan lupa untuk hantar. Kalau tak upload, serabut jugak housemate dia nak cari file tu dekat pc.

3. Insyaallah, ada hikmahnya (macam Maher Zain nyanyi tu).
Walaupun Malika dengan kakak-kakak tu lambat bertolak dari masa sepatutnya, tapi sangat banyak hikmahnya. Kalau lah dyrg tak naik bas lambat~takkan jumpa classmate dalam bas~takda orang tanya pasal assignment~terus lupa KOT!!!

OK.Sekian. Semoga ada pengajaran yang terselit. Hidup anda cantik, kalau perancangannya anda serahkan pada Dia :)

HAD(hamba anak dagang), 22102013,1216

Ahad, 20 Oktober 2013

Golongan manakah kita?

Ramai manusia menjadikan Allah sebagai alat untuk kehidupan dunianya.

Sedikit manusia menjadikan dunia sebagai alat untuk mendapatkan redha Allah.

Sabtu, 19 Oktober 2013

CERPEN: Pemilik Hidup ini_bahagian 1

"Kak, saya tak yakin boleh teruskan.
Sejak saya pegang jawatan ni, terlalu sibuk rasanya."
Air mata yang ditahan menitik perlahan. Dikesat dengan hujung tudung.
"Buktinya kak, saya dipanggil ke kedutaan. Surat amaran awal. Habis saya kak kalau mak ayah saya tahu."
Kali ini semakin kuat esakan Balqis.
Farhana, senior tahun akhir memeluk erat Balqis.
Diusap perlahan belakang Balqis, seperti kakak menguatkan adiknya.
________________________

imbas kembali
Cuaca yang sedikit hangat di musim luruh ini tidak melegakan Balqis. Seolah-olah bebanan di bahu makin lama makin berat terasa. Siapa sangka ketua Persatuan Wanita Islam(PWI) rupa-rupanya tidaklah sehebat mana pun. Gagal lagi dalam pelajaran.

Dia ingat lagi. Pertama kali dia menghadirkan diri di mesyuarat agung PWI. Hari itu, dia sibuk sekali menguruskan pendaftarannya untuk tahun pertama universiti tetapi kak Farhana beria benar mengajaknya untuk turut serta mesyuarat itu.

Memandangkan dia memang hormat dan sayang pada kak Farhana, digagahi juga langkah kakinya walau hati berat.

"Mesyuarat tu sekejap ja dik. Lepas tu nanti akak janji teman Balqis pergi Korea Universiti untuk daftar."

Tawaran yang menarik, kalau ada senior bertambah mudahlah kerjanya. Bahasa Korea pun merangkak-rangkak lagi, lain la kak Farhana, kalau tak tengok muka, memang dah macam orang Korea dah.

Rupanya kehadirannya ke mesyuarat agung itu sudah dirancang. Mereka ahli jawatankuasa bersepakat dan merancang agenda tersembunyi untuknya.

Semasa ucapan perpisahan dan perletakan jawatan sesi tahun itu, kak Farhana meluahkan rasa hatinya kepada hadirin yang hadir.

`Kita wanita muslimah, ada tanggungjawab dan beban amanah dipikul di bahu. Ada seribu tanggungjawab kita kendong selama ini. Tentunya yang banyak mengajar saya untuk terus kuat menerajui pimpinan ini ialah ajk sekalian dan ahli PWI yang disayangi. Berat rasanya melepaskan. Tapi yang patah tumbuh, yang hilang berganti.`

Dewan senyap. Kedengaran esak tangis beberapa ahli persatuan. Air mata dikesat. Ucapan diteruskan.

`Kalau persatuan ini mampu menjadikan saya manusia yang lebih matang, saya berharap persatuan ini juga mampu menjadikan kita semua hamba Allah yang paling diredhai. Saya sebenarnya menyimpan hasrat dan keinginan untuk melihat tampuk pimpinan persatuan ini dipegang oleh beliawanis berdarah muda.`

Kedengaran namanya disebut kak Farhana. Dia dipersilakan naik ke atas pentas.
Dewan bergema dengan tepukan. Setiap pasang mata di dalam dewan itu seolah-olah mencari sosok tubuh bergelar Balqis binti Khalid.

Dia panik. Ini diluar jangkaan. Terpaku dia berdiri di tempat duduknya. Tidak bergerak walau seinci.
Apabila namanya dipanggil buat kali kedua, dia tersentak. Nafas seolah berhenti. Fikiran terasa kosong. Gemuruh jiwanya semakin menjadi-jadi.

`Apa ini, Ya Allah. Sungguh apakah ini nikmat atau cubaanMu?` Balqis menahan rasa.

`Hadirin sekalian, saya mencadangkan Balqis binti Khalid dilantik menjadi pengerusi Persatuan Wanita Islam yang baru.` Balqis hanya memandang kosong wajah kak Farhana di sebelahnya. Gagal memberi reaksi terbaik kerana masih terkejut dengan semua ini.

Seluruh dewan bertepuk dan menyatakan sokongan.

Mesyuarat hari itu tamat setelah sesi penggulungan dan ucapan oleh barisan ajk baru yang dilantik memberi ucapan aluan.
Selesai mesyuarat mereka berdua mengambil makanan yang disediakan dan duduk bersama.

"Kak, apa semua ni?
Kenapa saya? Kak! Ni tugas besar.
Ramai lagi yang lebih layak."

"Yakinlah pada diri. Kalau akk boleh yakin pada Balqis, kenapa Balqis tidak yakin pada diri sendiri? Bukankah Balqis lebih mengenali diri Balqis?"

Dengan senyuman, kak Farhana memotong semua pertanyaan di kepalanya. Y.A.K.I.N. Itulah jawapan kepada keresahan ini.
"Walau macammana pun, kak masih perlu bimbing saya. Persatuan Wanita Islam persatuan yang besar. Semua orang kenal. Dan semua orang sangat hormat pada persatuan ini kerana pembawakannya yang begitu dekat di hati. Tentunya saya tidak mahu menjatuhkan semua itu."

"Akak lebih dari yakin. Bukan akak yang pilih Balqis tapi Allah. Berhari-hari akak runsing, akhirnya Allah beri jawapan kepada keresahan akk tu. Jawapannya ialah Balqis."

"Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya." (QS. al-Mu`minuun: 62)

"Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni surga; mereka kekal di dalamnya." (QS. al-A'raaf: 42)

Mendengarkan dalil itu dibacakan terus kepadanya,
Balqis mati akal untuk melawan.
Semoga Allah beri kekuatan.
Dia yakin Allah sebaik-baik perancang.
Selesai makan, Balqis meminta izin untuk ke tandas sebelum pulang.
Ketika dia di dalam tandas, dia terdengar sekumpulan ahli persatuan berbicara tentang dirinya.

"Kau rasa kenapa kak Farhana buat keputusan macam tu eh?"

"Tu laa.. kau tahu tak sebenarnya kan...."

Balqis mula tak sedap hati.
Dirinya kini mula menjadi topik hangat perbualan semua orang.
Semua bercakap tentang dirinya, diungkit lagi kisah silamnya.
bersambung.......

HAD (hamba anak dagang), 20102013, 0133

Isnin, 7 Oktober 2013

Cerpen: Kerana 100 won



Kerana 100 won
Oleh: (HAD) Hamba Anak Dagang


“Mat, aku lapar. Jom pekena ttobukki Mak Limah.”
“Boleh makan ke Lah? Aku dengar ada meat stock (다시다).”
“Yang ni kau jangan risau, aku dah tanya. Dia guna stok ikan bilis.”
“Okay Lah, aku yakin dengan kau. Jom, dah tarian zapin dah perut aku ni”

Petang yang sedikit dingin itu memang sangat sesuai untuk mengisi perut dengan makanan panas korea itu. Selalunya ia dimakan pada musim luruh dan sejuk. Sejenis ‘rice cake’ berkuah pedas.
Hari ini yang menjaga kedai bukan Mak Limah. 

Anak perempuannya yang aku kira mungkin sebaya kakak aku. Namun wajahnya kelihatan begitu muda. Biasalah perempuan Korea memang awet muda. Sekali ja aku pandang wajah dia, itupun ketika membuat pesanan. 
Jaga pandangan, Lah!
Bicaranya tidak banyak. Pakaiannya juga begitu sopan. Aku kira kalau dipakaikan hijab, sesudah sempurna auratnya ditutup. Pelanggan petang itu tidak ramai. 
Mungkin kerana bukan waktu makan tengahari. Jam sekarang pun sudah pukul 3.00 petang. Zuhur sudah hampir ke penghujung. Mujur tadi masa rehat 10 minit antara kelas, kami sempat keluar untuk solat.
Penat masih bersisa. Semalam hari sukan anjuran persatuan pelajar di universiti kami. Ahli batch yang tidak ramai membuatkan kami cepat ‘pancit’. Terpaksa menghabiskan semua ‘game’. 
Takpa, Muslim yang kuat kan lebih disayangi Allah.

“Mat, aku tak jadi tau lepak main game kat rumah kau. Aku nak rehat. Lutut aku dah nak tercabut ni.”
“Jalan bebaik Lah. Jalan tidur sambil berjalan pulak. Tiang lampu tu bukan tempat langgar kepala kau.”

Lah segera berlalu ke kaunter membuat bayaran.

“Ini bakinya encik.”
“Terima Kasih. Datang lagi.”

Mat dan Lah masing-masing pulang ke rumah.
Dalam perjalanan Lah menyeluk sakunya.

Aik, ni ada lebih 100 won ni?
Kakak tu salah bagi ke?

‘Takpalah Lah, 100 won ja pun. Tak bankrap pun kedai Mak Limah tu kalau kau tak pulangkan.’ Suara kecil berbisik.

Hati kecil dan akal Lah berperang. Mahu diikut yang mana satu?
Akal mengajak pulang, dia mahu tidur. Terlalu lenguh kakinya.       

‘Kalau dekat okay la, ni dah sampai depan pintu rumah kot.’

Hati mula berbolak balik.

‘Argh, muslim kena tunjukkan akhlak baik. Jadi contoh. Hak orang lain tak boleh diambil, itu zalim namanya. Aku kena pulangkan jugak.’

Dengan badan yang lenguh, langkah tetap digagahi. Kudrat berbaki memacu langkahnya.

“Kak ini bakinya. Rasanya tadi terlebih bagi”

Kakak Korea itu menitiskan air matanya.
“Sebenarnya saya sudah lama tertarik dengan Islam.”
“Cuma saya perlukan bukti yang lebih menguatkan hati saya.”
“Ibaratnya saya sedang berdiri di tebing tinggi, saya mahu terjun ke dalam islam, cuma saya perlukan sedikit tolakan.”
“Alhamdulillah, kini saya yakin Islam ialah cara hidup yang paling benar. Akhlak islam sangat menggugah hati saya.” Air mata mengalir di pipi diseka. Bibir mengukir senyum.

Dengan tenang dan lancar, kalimat suci itu meluncur laju dari lidahnya.
“Aku naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah, Muhammad adalah rasul Allah.”

Jantung aku seolah-olah berhenti sedetik. 
Ya Allah, aku hampir menjual agamaMu dengan meninggalkan kejujuran. Walau harganya cuma 100won.
Mata dipejam. Hati terkesima. Air mata bertakung segera dikesat.
Allah.. Allah.. aku janji. Aku akan berubah.
Apakah belum cukup bukti kekuasaanMu untuk aku lebih beriman?

“Err.. encik orang Malaysia kan?”
“Nanti boleh kenalkan kawan perempuan Malaysia untuk ajar saya ISLAM?