Rabu, 19 Ogos 2015

PROMO 3: Bab 2

Selesai urusan imigresen, bagasi dan kastam kami berlima menolak troli menuju ke pintu ketibaan. Ramai orang sedang menunggu.

Ada beberapa orang memegang kertas yang ditulis nama tetamu. Sempat juga aku mengeja satu persatu. Mana tahu nama kami ada. Huh, bajet famous kononnya.

‘Sufiah binti Megat’

Eh, itu nama aku!

Wah, tak sangka! Famous juga ya aku, heh.

Sebenarnya aku ini bolehlah dikira wakil kepada rombongan yang sampai hari ini. Semasa di kampus persediaan memang aku pun yang selalu berjumpa dengan Pn. Zarith, pegawai yang menguruskan kami berkenaan sebarang isu akademik. Melalui Pn. Zarith, aku berkenalan pula dengan seorang pensyarah di Korea. 

Terutamanya bila tarikh penerbangan kami ke Korea semakin hampir. Lewat emel aku bertanya pelbagai soalan kepada Prof. Lee yang berada di Korea. Prof. Lee adalah pensyarah yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan kami di Korea. Agaknya sebab itulah, namaku terpampang besar di lapangan terbang ini.

“Fuyoo.. tengok tu. Ramainya oppa (abang).”

Hanis menjerit apabila terpandang kertas yang ditulis namaku.

“Hanis, behave sikit. Mana ada perempuan Melayu terjerit-jerit macam ni. Malu la.”
Seri mula bertikam lidah dengan Hanis.

“Kau ni kan Seri. Tak pernah nak puas hati dengan aku. Aku cakap je. Bukan buat apa-apa pun.”
Hanis mula menarik muka.

Okay, I’m sorry. Tapi please lah Hanis. Kita ni datang nak belajar, bukan nak mengorat orang Korea. Jangan tunjuk sangat muka excited tu.”

Seri mengendurkan suara membuka ruang rundingan.

“Korang, jom selfie. Kenangan ni.”

Aku mula mencelah. Menutup pintu perbalahan. Syifa dan Nurul pun turut serta. Inilah gambar pertama kami berlima di bumi Korea.

“Welcome to Korea! Hwan-yong-hamnida (selamat datang).”

Kami disambut oleh Prof. Lee dan sekumpulan pelajar Korea. Kami diterpa bagai artis yang bertemu peminat. Aku kira mereka sebaya dengan kami. Awal 20-an.

Mereka bersungguh-sungguh mahu membantu kami. Hanis seperti orang angau apabila pelajar lelaki Korea mendekati dan menawarkan pertolongan untuk mengangkat bagasi. Aku tidak sempat memandang gelagat rakan yang lain kerana perhatianku terarah pada rakan-rakan Korea di hadapanku ini.

“Chega towajulkaeyo (mari saya bantu).”

Aku hanya mengikut. Yang aku dengar hanya yo-yo...

Kesemua beg aku mereka yang bawa. Aku cuma melenggang. Antara faham dan tidak, aku mengangguk sahaja. Mengiyakan.

Maklumlah mereka bercakap begitu laju. Aku jadi terpana seolah-olah tidak pernah langsung mempelajari bahasa Korea. Walhal sebelum ini, sudah beribu kali aku hafal dialog-dialog penting untuk digunakan dalam situasi seperti ini.

“choneun Supi rago hamnida.”
(Nama saya Sufi)

“choneun yol ahop sal imnida.”
(Saya berumur 19 tahun)

“choneun Malaysia saram imnida.”
(Saya orang Malaysia)

Dialog-dialog inilah yang aku ulang-ulang. Ketika mandi. Ketika iron baju. Sebelum tidur. Huh, kerana gelabah bercampur teruja aku jadi lupa semuanya!

Suasana di luar lapangan terbang ternyata berbeza sekali. Terus aku tarik zip baju sejuk yang dipakai. Aku memperbetul duduk letak mafla di leher. Tangan ku masukkan dalam poket baju. Berapa agaknya ya suhu sekarang? Terasa mencucuk betul kesejukannya.

Langkah kami pantas membontoti pelajar Korea di hadapan kami. Terasa seperti berlari anak pun ada juga. Kenapa langkah mereka begitu cepat? Seperti mengejar sesuatu. Kami berlima tertinggal jauh di belakang walaupun tanpa bagasi di tangan.

Dengan baju yang membalut tubuh, rasa rimas dan susah bergerak. Pernah tengok tak penguin berjalan? Haa.. macam itulah perasanku semasa berjalan dalam baju sejuk yang tebal ini. Rimas!
Dari jauh aku mendengar pelajar-pelajar Korea tersebut menyebut satu perkataan ini sambil menggamit-gamit pada kami.

“Palli-palli. Chuwoyo!” Aku tidak tahu maksudnya apa. Dari gaya mereka, aku mengagak mungkin mereka suruh kami berjalan cepat sedikit.

Kami dibawa menaiki bas universiti ke Saemyung Universiti yang terletak di daerah Jaechon. Bas berwarna merah yang terpampang besar tulisan SMU, singkatan kepada SaeMyung University.
Setahu aku, mengikut apa yang diberitahu Pn. Zarith ada seorang pelajar Malaysia di situ yang sedang menyambung master dan PhD, fast track. Tapi tak nampak pulak dia datang menyambut kami hari ini.


Kami diberi air mineral seorang sebotol dan sebiji muffin. Mulanya aku teragak-agak untuk makan muffin itu. Aku sekadar meneguk air. Yalah, menurut blog yang aku baca apa sahaja makanan di Korea harus diteliti bahan kandungan terlebih dahulu. 

Tiada ulasan: