Jumaat, 28 November 2014

Persona Nan Grata

Batuknya semakin menjadi-jadi. Cuma apabila di hadapan orang, Kamila akan cuba mengawal nafasnya. Kadangkala terlepas juga batuknya.

Dari rumah dia terus menaiki bas ke stesyen tren berdekatan. Tadi usai kelas, Kamila terus pulang ke rumah, menunaikan solat asar dan bergerak meninggalkan rumah.

Buku nota di dalam beg diambil. Hari ini topik yang dia akan kongsi ialah tentang kepentingan beribadah hanya pada Allah. Tajuk yang ringkas tapi cukup membuatkan Kamila menitikkan air mata ketika membaca karya Fathi Yakan, Apa ertinya saya menganut islam.

Nota ringkas itu dicatat setelah membaca bab 'saya mestilah muslim dari sudut ibadah' beberapa hari yang lalu.

Dia belum sempat rehat.
Tahun akhir di bidang kejuruteraan begitu mencabar. Kamila tidak mengeluh cuma kadang-kadang kudratnya terbatas.
Biasanya walau sesibuk mana, penatnya tidaklah terasa seperti hari ini.
Dia biasa berulang-alik setiap minggu untuk berdiskusi dengan adik-adik. Tidak sepatutnya itu menjadi penyebab kepada penatnya yang terasa luar biasa berganda hari ini.

Janji Kamila dengan adik-adik untuk berjumpa pukul 8 malam sentiasa di kepalanya. Dilihat jam di tangan.

Ah sudah lambat ni. Aku perlu sampai awal sebelum Husna dan yang lain sampai.

Maka Kamila pun berlari anak. Dari exit 5 stesyen tren, Kamila berlari untuk mengejar bas yang baru sampai.
Dek kerana sakit yang terasa di bahagian perut, Kamila berhenti dan mengusap perutnya.

Ya Allah, kenapa akhir-akhir ini dadaku begitu sesak, perutku terasa pedih.
Mungkin sebab cuaca sejuk tu. Tak ada apalah, Kamila.
Tapi sakitnya terasa menusuk.
Jangan difikir yang bukan-bukan, Kamila.
Dialog kecil bermain di fikiran Kamila. Yang satu sedang mengadu,yang satu lagi sedang menenangkan.

Dia pasti akan terlambat kerana terlepas bas tadi. Bas berikutnya hanya akan tiba 15 minit kemudian.
Langkahnya perlahan menuju ke hentian bas di hadapan.
Rasa bersalahnya menggunung.
Husna dan rakannya pasti sudah menunggu.
Fon pula sudah kehabisan bateri kerana seharian dia di kampus dan tidak sempat mengecas. Jadi dia tidak dapat memaklumkan terlebih dahulu pada mereka tentang kelewatannya.

Walaupun ini kali pertama dia terlewat untuk ke perjumpaan dengan adik-adik, sebagai orang yang beriman, tidak menepati janji adalah satu kesalahan besar baginya. Adik-adik begitu teruja, mana mungkin dia hampakan mereka.

Sementara menunggu bas sampai, Kamila membuka aplikasi quran. Headphone dipakai lalu berkumandang suara merdu Rashid AlMisyari membacakan surah Ar Rahman. Kekusutannya seakan terlerai. Sungguh dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenang.

Tiba-tiba perutnya berbunyi. Baru dia teringat. Semenjak siang dia belum pun menjamah apa-apa. Tadi waktu tengahari, dia hanya sempat membancuh segelas oat dan diminum sambil-sambil mendengar kuliah. Sungguh, hari ini begitu padat jadual. Hingga dia terlupa yang perutnya juga perlu diisi.

Tangannya mengusap perut sambil mulutnya berzikir.

Subhanallah, alhamdulillah, la ilaha illallah, allahu akbar.
Subhanaka inni kuntu minazzolimin.

Diulang-ulang sehingga perutnya terasa sedikit lega. Dalam keadaan ini, Kamila teringat kisah Fatimah yang mengadu keletihan pada baginda nabi, dan meminta pembantu rumah untuk meringankan kerjanya. Tatkala itu, baginda begitu kasihan pada puterinya itu. Namun diajar kepada puterinya itu ubat kepada segala kelelahan dunia iaitu zikir mengingati Allah.

Sungguh, tiap kali Kamila mengamalkan ajaran nabi itu, pedih perutnya terasa hilang.
Nanti selesai urusan, baru dia akan fikir untuk makan. Pasti ada rezeki yang Allah simpan untuknya.

Mendengar pengumuman dari pemandu bas, Kamila menekan butang loceng. Sejurus bas berhenti, Kamila melalukan kad transportnya dan segera turun.

Dia menjenguk ke dalam cafe itu. Tiada kelibat perempuan bertudung. Maknanya Husna dan yang lain belum sampai. Jam sudah pun menunjukkan lewat 10 minit dari waktu yang dijanjikan. Kamila tetap sabar menunggu.

Sambil itu, dibukanya buku kelas ekonomi. Ujian akhir semester akan berlangsung tidak lama lagi. Setiap waktu harus digunakan sebaiknya. Sambil menunggu Husna dan yang lain sampai, Kamila menelaah subjek kegemaranya itu sambil mencatat nota penting. Walaupun dia seorang pelajar kejuruteraan, Kamila mahu belajar lebih tentang ekonomi. Dia rasa bertanggujawab untuk melengkapkan usia mudanya dengan sebanyak mungkin ilmu.

Trit. Trit.
Ada mesej masuk.
Husna: Kak, saya lupa nak bagitahu. Tadi kami keluar dengan kawan. Sekarang baru sampai rumah. Kak di mana sekarang?

Jari Kamila laju menaip.

Kamila: Akk dah sampai cafe bano ni.
Husna: Ohh ye ke, kejap yer akk,saya text yang lain. Sorry akak, saya betul-betul lupa. :(
Kamila: Takpe, Husna. Nanti apa-apa, text akk balik yer.
Husna: Baik kak. Kejap yer.

Kamila kembali menumpukan pada pembacaannya.
The Gross Domestic Product (GDP) in Turkey was worth 820.21 billion US dollars in 2013. The GDP value of turkey represents 1.32 percent of the world economy. GDP in Turkey averaged 197.27 USD billion from 1960 until 2013, reaching an all time high of 820.20 USD billion in 2013 and a record low of 8 USD billion in 1961.

Trit. Trit.
Ada mesej dari Husna.
Husna: Kak saya otw.. :)
Kamila: Alright, dear. Take your time :)

Husna memberikan salam. Kamila berpaling dan menyambut dengan senyuman mesra.

"Maaf kak, yang lain tak dapat datang. Anis nak berehat, penat katanya. Zahidah nak study. Yang lain tak reply mesej saya." Husna tersenyum seperti biasa.

"Terima kasih yer datang, Husna." Kamila sekali lagi memeluk Husna. Pelukan seorang kakak kepada adik yang dikasihi walaupun tiada ikatan darah.

"Akak nampak pucat ni. Akak tak sihat ke?" Husna memandang tepat ke muka Kamila.

"Akak ok je, Husna. Ye ke muka akak pucat? Maybe sebab akak tak mekap kut. Hehe." Kamila berseloroh untuk menutup cerita sebenar.

Mereka memulakan diskusi berdua.
Kamila menceritakan apakah aspek-aspek penting dalam beribadah yang boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai adakah kita telah menjadi muslim yang baik. Apakah kita telah beriman kepada Allah dari sudut ibadah dengan sempurna.

Sesekali suara Kamila tersekat kerana batuknya. Namun tiap kali itulah Kamila akan tersenyum dan kembali bercerita dengan penuh semangat.

Husna kelihatan begitu terpegun dengan isi yang dikemukakan oleh Kamila.
Di mata Husna, Kamila adalah seorang yang petah bercakap dengan hujah yang mantap.
Semua pertanyaan yang terbuku di minda Husna akan dijawab dengan isi dan hujah yang bernas oleh Kamila. Husna rasa sedikit terkilan kerana rakan-rakannya terlepas sesi diskusi yang sungguh menarik ini.

Satu persoalan dilontarkan oleh Kamila.
"Jadi selepas Husna tahu semua ni, apa tindakan Husna selepas ini?"

Husna diam sejenak untuk berfikir sebelum menjawab.
Kamila perasan Husna seringkali diam sebelum menjawab sebarang pertanyaan. Sama seperti dirinya. Husna kini seolah-olah cuba untuk meniru perwatakan Kamila. Kamila hanya tersenyum kecil apabila teringatkan gelagat Husna.

"Pada pendapat saya, manusia kena lebih tekun belajar supaya dia dapat mendalami dan memahami, apa makna sebenar erti memeluk islam. Saya berazam untuk permulaan, saya akan pastikan ibadah solat saya di awal waktu. Yang lain tu, saya tak berani janji lagi, kak. Hehe. Sikit-sikit dulu berubah, boleh ke kak?" Husna tersengih.

"Bagus Husna. Tak apa sedikit tapi biar berterusan. Buat apa banyak-banyak tapi hangat tahi ayam. Sekejap je berkobar-kobar, lepas tu kembali tabiat lama." Kamila menasihati seikhlas hati sambil mengingatkan juga pada dirinya.

Orang yang banyak bercakap, banyak pula dosanya, banyak dosa, lagi besar chance nak masuk neraka.

Dalam hati, Kamila beristighfar. Semoga dirinya terlepas dari menjadi orang munafik.

Tiba-tiba kepala Kamila berdenyut. Pandangannya seakan berpusing.
"Ehmm.. akak rasa sampai sini dulu ya untuk minggu ini." Kamila menyembunyikan kesakitannya dan tetap tersenyum.
"Kirim salam pada yang lain,ya! Jumpa nanti minggu depan insyaallah."
Mereka bersalaman dan masing-masing berpisah.

Perjalanan satu jam setengah pulang ke rumah terasa sekejap kerana dia terlelap hampir separuh perjalanan. Mujur tak terlepas stesyen.

Sampai di rumah, dia terus berwudhu dan bersiap untuk tidur.

Ya Allah, saksikanlah amalanku yang sedikit itu. Semoga benih yang ku tanam di hati manusia itu, akan menumbuhkan akar kecintaan yang kuat kepadaMu.

Disebut satu persatu nama adik-adik kumpulan diskusinya itu sambil membayangkan wajah mereka. Doanya qudus supaya hati mereka terikat semata-mata kerana mengharapkan redha Allah.Semoga Allah terus memberikan petunjuk kepada semua termasuk dirinya.

Ya muqollibal qulub, thabbit qulubana ala dinik, wa'ala toatik....
Mata pun terpejam. Lelahnya terasa seperti diangkat ke langit. Tenang tidurnya malam itu.

Pintu bilik diketuk. Lagi 15 minit masuk waktu subuh.
Biasanya Kamila sudah bangun dan bersiap untuk berjemaah. Malah dia sempat untuk bertahajud dua rakaat sebelum subuh berjemaah.

Tok. Tok.
Tiada sahutan.
Nabila memulas tombol pintu bilik Kamila.
Dia mendekati katil Kamila. Terkejutnya bukan kepalang.

Dahi Kamila basah dengan titik peluh.
Digoyangnya tubuh Kamila namun longlai.
Dia segera mengucap panjang dan menghubungi rakan lain yang tinggal berdekatan.
Kamila, bangun! Ya Allah....

Husna berlari menaiki bas ke hospital. Sejurus mendapat berita itu melalui mesej dari Nabila, kawan serumah Kamila, Husna terus meminta izin dari pensyarah dan segera keluar dari dewan kuliah. Dia mahu cepat sampai. Dia sudah agak ada yang tak kena dengan kak Kamila. Dia seringkali batuk. Wajahnya kusam dan pucat. Husna terasa begitu berat. Berat dengan perasaan sendu.
Akak..........

Husna tidak menunggu rakan-rakan diskusi yang lain. Dia cuma mengirim mesej kepada mereka mengkhabarkan tentang berita yang menimpa kak Kamila. Kali ini, dia harap dia sempat dan bukan pertemuan yang terakhir.

"Boleh saya jumpa dengan waris Kamila binti Arshad?"

"Maaf doktor. Ibu dan ayahnya sedang dalam perjalanan. Ada apa doktor?"

Nabila menjaga Kamila sejak semalam. Dia juga sudah memaklumkan kepada pensyarah bahawa dia tidak dapat hadir ke kuliah hari ini dan mungkin besok juga.

"Mari masuk ke bilik saya. Ada hal penting yang perlu kita bincangkan."

Nabila hanya mengikut langkah doktor. Fikirannya kusut saat ini. Hatinya berasa kurang senang dengan riak wajah doktor muda itu. Dia berharap agar keluarga Kamila cepat sampai untuk menemani Kamila yang terbaring kaku di dalam bilik.

Nabila keluar dari bilik doktor dalam keadaan masih terkejut dengan berita yang diterimanya. Sangkaannya selama ini Kamila hanya gastrik biasa. Masih terngiang-ngiang butir perkataan yang keluar dari mulut doktor itu.

Barah perut boleh jadi sukar dikesan. Selalunya tidak terdapat tanda pada tahap awal dan, dalam kebanyakan kes, barah tersebut telah merebak sebelum ia disedari. Apabila gejala berlaku, ia begitu kabur sehinggakan pesakit tidak mengindahkannya. Barah perut boleh menyebabkan ketidakhadaman atau pedih ulu hati, sakit di bahagian perut, lemah dan letih.

Buat masa ini, saya nasihatkan ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan sentiasa berada di sisi Kamila. Kita berdoa pada Allah, Dia maha penyembuh segala penyakit dan semoga ada keajaiban berlaku.

Nabila tersentak apabila Husna tiba-tiba memeluknya.

"Kak Kamila tak apa-apa kan?"

Pertanyaan Husna tidak dijawab malah dakapan mereka semakin kuat. Mengisyaratkan bahawa masing-masing perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Tidak berapa selepas itu, rakan diskusi Husna datang. Anis, Zahidah dan beberapa orang lain yang tidak dikenali Nabila.  Mereka duduk di sisi katil. Husna erat menggenggam tangan Kamila.

Saya masih banyak nak belajar tentang agama dari akak. Bangunlah akak. Lepas ni saya janji akan ajak semua kawan diskusi untuk turun setiap minggu. Mesti akak kecewa kan dengan kami. Penat akak datang jauh-jauh, tapi kami tak datang pun diskusi.

Anis dan Zahidah diam. Tapi dalam hati masing-masing terbungkam perasaan bersalah. Ya, mereka akui. Ketika kak Kamila masih sihat, mereka mensia-siakan peluang untuk mengutip permata ilmu darinya, sekarang Kamila hanya bergantung pada alat pernafasan.

Tiada lagi mesej setiap minggu, mengajak mereka datang berdiskusi. Tiada lagi kakak yang selalu masakkan mereka makanan, terutama waktu mereka tengah kekurangan duit. Tiada lagi ucapan all the best, may Allah ease setiap kali menjelang peperiksaan. Akhirnya menitik juga air mata Anis dan Zahidah yang ditahan sejak tadi.

Masing-masing telah pulang apabila tamat waktu melawat. Husna berkeras untuk bermalam di hospital sementara menunggu keluarga Kamila datang. Maka Nabila terpaksa mengalah dan akan datang semula keesokannya. Dia tahu, Husna sayang benar pada Kamila. Malam ini, dia akan mengumpulkan semua mahasiswi lokaliti untuk menunaikan solat hajat untuk kesembuhan Kamila.

Bilik itu sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi dari alat bantuan pernafasan. Husna terbaring di sofa, namun badannya di halakan ke katil Kamila. Penat seharian membuatkan dia mudah sekali terlelap.

Husna nampak ramai sekali yang datang melawat. Tapi seorang pun tidak dikenalinya. Setahunya, kak Kamila tidaklah mempunyai ramai kawan kerana sifatnya yang pemalu itu. Hanya akan benar-benar menjadi kawan sekiranya sudah kenal lama.  Masing-masing tersenyum dan berkumpul di keliling katil kak Kamila. Wajah mereka begitu bersih. Husna bangun dari sofa dan menyertai mereka.

"Kamu semua siapa?" Husna memulakan sapaan dengan seraut senyuman.

"Kami semua sahabat Kamila. Sudah lama kami menunggu untuk bertemu Kamila, penghulu kami." Seorang yang berdiri di hujung kepala kak Kamila menjelaskan sambil mengusap lembut ubun-ubun kak Kamila.

Kemudian yang berdiri disebelah hujung kaki pula berkata, "Kamila telah menghabiskan sisa umurnya untuk berjasa pada manusia lain. Kini tiba dia menerima sebaik-baik balasan."

Kemudian kak Kamila terjaga. Dia kelihatan begitu gembira sekali. Wajahnya yang pucat berona merah. Dia memeluk setiap seorang dari tetamu yang hadir. Pandangan Kamila dan Husna bertemu, namun Kamila seolah-olah tidak mengenalinya. Dia hanya asyik berpelukan dengan yang lain seolah-olah sahabat lama yang berpuluh tahun tidak berjumpa.

Kemudian, wanita-wanita bermata jeli itu memimpin tangan kak Kamila dan membawanya pergi. Husna cuba menjerit memanggil, namun suaranya tersekat di tekak.

Dia terkejut. Lantas bangun duduk. ASTAGHFIRULLAH...
Diraup wajahnya berulang kali. Langkah kaki diatur ke bilik air.
Sempat dia menjengah ke katil Kamila. Kamila seperti sedang nyenyak tidur. Wajahnya setenang dalam mimpinya tadi.

Bau wangian tadi masih bersisa, wangian dari tubuh wanita bermata jeli memenuhi ruang kamar.

Lantas sejadah di hampar. Sujudnya kali ini lama beserta esakan.
Husna akur. Dirinya sudah mula merasakan ketenangan semenjak bersahabat dengan kak Kamila. Dia seolah-olah terasa dibimbing ke jalan yang terang. Teringat saat pertama kali bertemu kak Kamila.

Waktu itu musim pendaftaran pelajar baru. Kamila membawa sekotak kek coklat semasa menziarahi bilik Husna dan rakannya. Husna terasa begitu terhutang budi kerana Kamila banyak membantunya menyesuaikan diri dengan suasana belajar di kampus itu.

Setiap kali, Kamila akan datang ziarah beberapa minit sebelum masuk waktu solat. Masuk waktu, Kamila akan mengajak Husna dan rakan sebiliknya untuk solat berjemaah. Kamila juga pernah mengajak Husna,Anis, Zahidah dan yang lain makan di luar kemudian mereka akan berjalan-jalan di sekitar ibu kota. Yang seronoknya, setiap kali Kamila akan membawa makanan yang dimasak sendiri olehnya di rumah sewa untuk dikongsi bersama adik-adik diskusinya.

Dalam sujudnya itu, Husna berdoa supaya Allah memanjangkan usia Kamila. Dia masih muda. Masih ramai yang mahu mendengar celoteh ilmiahnya. Hujahnya begitu santai namun berbekas. Kalamnya ringkas tapi padat. Lidahnya fasih menuturkan ilmu dunia namun akhirnya ilmu itu dikaitkan dengan kehidupan dan kewajiban seorang muslim. Sejadah basah dek air mata Husna.

Usai mengelap badan Kamila dengan tuala basah, Husna mengemaskan meja di ruangan tepi katil. Banyak sekali ucapan mendoakan kesembuhan Kamila. Husna kadangkala hairan, benarkah seramai itu kawan kak Kamila?

Ibu dan bapa Kamila sampai awal pagi waktu subuh. Mereka berdua kelihatan tenang. Seolah-olah sudah bersedia dengan apa jua kemungkinan. Namun saat Husna memeluk ibu Kamila, ibu Kamila sempat berpesan sambil menyerahkan beberapa sampul surat, setiap satu ada penerimanya. Satu untuk Husna, satu untuk Anis, satu untuk Zahidah dan setiap satu untuk rakan diskusi yang lainnya.

Tatkala Husna sedang mengoyakkan sampul surat itu, tiba-tiba Kamila tersedak. Batuknya tidak berhenti. Nafasnya tercungap.

Mereka segera memanggil doktor. Masing-masing diminta keluar dari bilik itu.

Husna dan yang lain mundar-mandir di hadapan bilik Kamila.
Sejurus kemudian, pintu dibuka dari dalam.
Doktor dan jururawat keluar dan doktor sekadar menggelengkan kepala.

Serentak itu, masing-masing menangis hiba.
Mereka telah kehilangan satu jiwa yang begitu dekat di hati mereka.

Mimpinya semalam itu bukan mainan tidur.
Wanita-wanita bermata jeli itu bukan rekaan mindanya.
Subhanallah. Aku akur dengan kuasaMu.
Sesiapa yang menjaga agama Allah, tentulah Allah akan menjaga dirinya.

Anis dan Zahidah bertemu Husna ketika majlis tahlil di rumah sewa arwah Kamila. Masing-masing terharu kerana tertanya setiap seorang dari mereka ada tempat masing-masing dalam hati Kamila. Surat yang ditulis menggambarkan hatinya yang begitu ikhlas mahukan yang terbaik untuk setiap adik-adik diskusinya. Rupanya selain sibuk dengan urusan belajar, Kamila juga memperuntukkan masa untuk memikirkan tentang adik-adik diskusinya.

Kereta Avanza diparkir di bahu jalan. Bersama Husna kini adik-adik kumpulan diskusinya.
Masing-masing masih tertanya-tanya kenapa mereka di bawa ke tanah perkuburan itu.
Husna hanya tersenyum dan mengajak mereka mengaji Yasin di satu kuburan yang merendang pohon kemboja.

Dia kini tidak lagi seperti 4 tahun yang lalu.
Masa berlalu, pemergian kak Kamila bukan lagi untuk ditangisi tapi untuk diambil semangatnya. Sudah tiba masanya untuk diceritakan pada adik-adik diskusinya kisah pahit dan manis yang telah mengubah hidupnya itu.

4 ulasan:

wani berkata...

Terbaik lehaa. Kusyuk kami baca. Cerita leha ni mengingatkan kmi usrah kita dulu. Best cita leha. 👍 -wani-

Unknown berkata...

Akan ku hargai naqibah yang dihantar olehNya buatku~

Tanpa Nama berkata...

MasyaALLAH akak. Terima kasih utk cerita ni. Best sangat2.

Unknown berkata...

Masyaallah... semoga allah beri ilham untuk terus menulis yg baik2 saja..