Kota
Seoul menyajikan panorama indah senja itu. Langkah kaki diayun perlahan. Kawasan penuh sesak itu tetap
tidak menghilangkan keluh kesah Azhan. Malah, semakin kusut otaknya. Kalau
tidak kerana menemani
Rozita yang meminta supaya Azhan membantunya memilih kasut untuk hadiah hari
lahir abangnya, tentu dia tidak akan ke sini, terutamanya di hujung minggu
begini. Myeongdong memang terkenal dengan kemeriahannya sebagai shopping street
paling sibuk di hujung minggu.
Sementara
Rozita memilih kasut, Azhan melangkah ke jalan besar. Mata meliar mencari
bangunan yang tertera M Plaza. Langkahnya laju menuju ke sana. Wudhu asar tadi
masih berbaki. Punat lif di tekan, membawa Azhan ke bumbung bangunan. Sejadah
kecil dalam kocek seluar dikeluarkan. Tanpa menghiraukan beberapa orang korea
yang sedang merokok di satu sudut kawasan bumbung itu, Azhan segera
melaksanakan solat. Di negara bukan islam ini, sangat susah untuk mencari
tempat yang selesa untuk bersolat, apatah lagi surau. Azhan jadi rindu pada
Malaysia, rata-rata bangunan pasti disediakan surau untuk pengunjung bersolat.
“An,
corak ni okay tak? Ke macam terlalu serabut? Warna macam dah okay,
kan? Harga pun….” bertalu soalan dari Rozita. Kakinya pun sudah lenguh. LesMore,
ABC Mart, Adidas, termasuk kali ini, Lotte Mart
adalah kedai kasut yang ke sepuluh dikunjungi Rozita.
“Yang
ni okay. Corak okay. Warna okay. Harga okay. Semua okay. Cuma aku yang tak berapa okay.
Ita, lepas ni balik terus ya.” Laju jawapan Azhan lalu duduk di kerusi yang disediakan.
Jelas muka kusutnya tapi cuba disembunyikan dengan sebaris senyuman.
Azhan
membantu Rozita menjinjit beg kasut tadi. Langkah mereka laju menuju ke stesen
tren bawah tanah berhampiran. Kad transit disentuhkan pada alat pengimbas, dan
mereka melepasi mesin itu menuju ke tingkat bawah untuk mengambil tren.
Walaupun mereka sudah biasa menaiki tren di bumi Seoul itu, namun kadangkala
masih tersalah laluan kerana banyaknya laluan pengangkutan awam itu. Di seoul
sahaja, jumlah laluan yang dibezakan dengan warna dan nombor itu hampir
mencapai 19 laluan dengan lebih 580 stesen. Disebabkan itu, rata-rata pelajar
Malaysia di Korea seperti Azhan dan Rozita akan memuat turun aplikasi peta
laluan tren Seoul dalam telefon masing-masing.
Lagi
info yang menarik mengenai sistem tren di Korea ialah, penumpang boleh menukar
laluan di mana-mana stesen transit tanpa dikenakan sebarang bayaran. Cas
tambang hanya dikenakan ketika penumpang mula-mula menaiki tren dengan harga
asas, 1050won untuk 10km pertama, kemudian ditambah 100won untuk 5km
berikutnya. Begitu juga apabila penumpang transit dari tren ke bas awam. Tiada
sebarang cas dikenakan melainkan cas tambahan untuk setiap 5km berikutnya.
Kecekapan tren laju itu diiktiraf dunia sehinggakan diberi nama ‘super highway’
oleh British Broadcasting Channel, BBC. Semenjak kali pertama Azhan menaiki
tren laju bawah tanah itu, dia memasang angan untuk menjadi salah seorang
jurutera peneraju untuk membina tren sebegitu di Malaysia kelak.
Bagi
membalas budi baik Azhan, Rozita menghantar kupon hadiah melalui mesej
telefonnya. Kupon makan untuk dua orang itu sengaja dihantar melalui mesej atas
talian kerana dia tahu Azhan pasti akan menolak jika diberi melalui tangan.
Lagipun, dengan kupon itu Azhan boleh menggunakannya bila-bila masa sahaja
tanpa tarikh luput. Azhan pula bukan jenis yang duduk semeja makan bersama
mana-mana kawan perempuan. Itu prinsipnya. Mahu mengelak fitnah katanya. Tadi
pun ketika diajak ke Myeongdong, puas juga diajak. Hanya kerana di kawasan situ
tiada pelajar Malaysia melainkan mereka berdua. Azhan rasa bertanggungjawab
bila Rozita memberi alasan bahawa kawan seharusnya menjaga kebajikan sesama
kawan terutama di negara orang. Tersenyum Rozita bila memikirkan bahawa masih
ada lelaki baik sebegitu di zaman ini.
Kepala
Azhan terasa berat, sejak kebelakangan ini sesak di dadanya makin menjadi.
Nasihat doktor supaya dia banyak berehat dan elakkan penat yang keterlaluan
kadangkala diabaikan kerana tuntutan belajar. Sejurus menghantar Rozita pulang,
dia segera baring. Azhan terlelap. Kali ini tidurnya begitu nyenyak.
Nasi
goreng kampung dan air sirap bandung yang dipesan telah sampai. Akhirnya sampai
juga hajat dihati untuk menjamah makanan kegemarannya itu. Bertahun-tahun di
luar negara, gambar-gambar makanan tempatan hanya ditatap melalui laman sosial
seperti facebook dan instagram. Doa dibaca dan sudu di tangan mula menyuap nasi
ke mulut. Namun, sebelum sempat suapan pertama, bahunya dicuit.
“Seringgit
pun jadilah, nak. Pak cik ni dah tiga hari tak makan. Pak cik lapar.” Sekilas
pandang, raut wajah pak cik itu mirip arwah ayahnya, ada iras-iras. Bahunya
dioncang lagi hingga dia tersedar dari lamunan.
“Duduk,
pak cik.” Azhan mempelawa. “Pak cik makan dulu nasi ni, nanti saya pesan yang
lain untuk saya.” Azhan menghulurkan pinggan di depannya kepada pak cik tadi.
Dia melambai-lambai memanggil pelayan.
Tanpa sepatah kata, nasi goreng dijamah pak cik tadi sehingga habis. Azhan
hanya memerhati dengan sebaris senyuman. Ikhlas dan penuh kasihan.
Sebenarnya pak cik, itulah wang hasil gaji pertama saya,
Syukur, saya mampu menderma dengan hasil titik peluh pertama saya.
Usai
makan, pak cik tua tadi berlalu pergi tanpa sepatah kata. Namun, pak cik itu
tidak lagi kelihatan begitu kurus seperti pertama kali Azhan melihatnya. Bajunya
juga seolah-olah putih berseri berbanding tadi yang agak kotor. Matanya
digosok-gosok. Azhan segera bangun dari kerusinya mengejar pak cik tadi.
Kepelikan menyelubungi dirinya. Bayangan pak cik itu sudah hilang. Tiada siapa
pun di lorong itu walhal pak cik tadi langkahnya terlalu perlahan. Azhan
kembali ke meja. Nasi goreng kampung masih belum disentuh dan air sirap bandung
masih penuh dalam gelas.
Kemudian datang pelayan restoran menghantar menu yang
sama, katanya Azhan tadi memesan ditambah sepinggan lagi nasi goreng kampung
dan air sirap bandung.
Argh,
mungkin aku sudah gila. Semuanya macam betul-betul berlaku.
Azhan
hilang selera. Makanan minta dibungkus. Dia segera pulang. Fikirannya
menerawang ketika memandu. Teringat kelibat pak cik tua tadi.
Pedal minyak
terus ditekan. Kereta meluncur semakin laju. Tiba-tiba, kereta melanggar
sesuatu. Pangg!! Bunyinya begitu kuat. Azhan panik. Segera dia turun dari
kereta. Alangkahnya terkejutnya Azhan apabila yang dilanggarnya adalah dua
orang manusia. Mereka berlumuran darah.
Itu
pak cik yang makan bersama aku di restoran tadi. Yang seorang lagi wajahnya
mirip betul dengan…. Dengan AKU! Tak mungkin! Tak mungkin aku sudah mati!
Arghh!!! Azhan menjerit
seperti dirasuk.
Azhan
tersentak lalu bangun dari tidur. Astaghfirullah! Aku bermimpi. Mukanya digosok
berkali-kali. Ya, aku bermimpi dan aku masih hidup. Bingkas dia mencapai tuala.
Kaki diayun menuju ke bilik air untuk mandi dan bersolat. Dia perlu menenangkan
hatinya.
Tinggal
lagi satu semester untuk Azhan menamatkan pengajiannya dalam bidang
kejuruteraan mekanikal di Inha University, Incheon, South Korea. Bergelar
pelajar tahun akhir, Azhan perlu membahagikan masa dengan baik antara tugasan
kuliah dan tugasan peribadi di samping sibuk mencari peluang pekerjaan selepas
tamat graduasi nanti. Musim luruh yang biasanya jatuh pada bulan Ogos sehingga
November itu mewarnai kawasan kampus dengan kekuningan daun maple yang jatuh
berguguran.
Sebagai
pelajar tajaan, amanah yang terpikul di bahu harus dilaksanakan dengan sebaiknya.
Walaupun hampir 70 peratus subjek major diajar dalam bahasa Korea, baginya itu
adalah satu cabaran yang boleh diatasi dengan usaha yang kuat. Dia mahu
buktikan bahawa anak kampung sepertinya mampu mengharumkan nama negara di
tempat orang. Jauh di perantauan membuat dia sentiasa bersyukur punyai ibu yang
sanggup bersusah demi menyara dia dan 4 orang adiknya. Potret keluarga ditatap.
Wajah kecil ibu dalam gambar diusap lalu didakap erat. Entah kenapa rindunya
semakin hari semakin kuat.
Hujung
minggu Azhan akan menghantar skrip drama terjemahannya ke stesen tv korea. Dia
mengumpul wang tambahan melalui penterjemahan buku-buku atau skrip drama tv
korea ke bahasa inggeris dan bahasa melayu. Duit itu di simpan di akaun
berasingan. Hujung tahun ini, duit itu akan mencapai jumlah yang ditarget. Duit
itu dikumpul demi satu impian yang lama terbuku di hatinya. Diari biru dicapai.
Dicoret isi hatinya yang keriangan kerana sedikit masa sahaja lagi impiannya
akan terlaksana.
"Kau
pakai je duit aku ni dulu, Ita. Beli tiket sekarang, mak kau tengah sakit kan.
Tak apa aku boleh kumpul lagi nanti. Buat masa ni memang kau yang lebih
memerlukan. Boleh beli tiket dan tampung belanja hospital, mesti nak pakai duit
banyak kan." Luah Azhan agar Rozita menerima tawarannya.
"Okay,
Azhan. Suatu hari nanti aku janji aku akan balas budi baik kau ni. Terima kasih
Azhan kerana menjadi sahabat yang sangat baik. Semoga Allah balas kebaikan kau
ni dengan sebaik-baik balasan." Mereka hanya berjumpa sekejap di depan
fakulti kejuruteraan kerana masing-masing ada kuliah.
Baginya
menjadi seolah-olah satu kewajipan untuk dia menolong semampu mungkin. Pagi
tadi Rozita menerima panggilan dari pihak kedutaan bahawa ibu Rozita dimasukkan
ke unit rawatan rapi kerana kemalangan. Lalu dihulur wang yang disimpan hasil
kerja menterjemah kepada Rozita.
Maafkan
An, ibu. Rozita lebih memerlukannya. An janji akan cuba ikhtiar cara lain, ibu.
An janji. Diari biru ditutup.
Dalam
perjalanan pulang, Rozita singgah sebentar ke bilik yang disediakan khas oleh
pihak universiti untuk aktiviti sesama pelajar dari negara luar. Bilik yang
berada di tingkat lima itu juga menjadi tempat solat mereka dan beberapa muslim
lain. Rozita terpandang satu diari biru di atas meja. Dia kenal benar dengan
pemilik diari itu. Azhan. Tapi jarang sekali dia cuai dan meninggalkan diari
biru itu di tempat sebegitu. Rozita mengambil diari biru itu dan membawanya ke
tepi tasik di tengah-tengah kampus. Hatinya berbelah bahagi antara rasa
bersalah hendak membaca rahsia peribadi orang lain dan antara rasa keterujaan
untuk mengetahui apa kandungan diari biru yang begitu menjadi rahsia Azhan.
Helaian
pertama dibuka. Diselak perlahan sambil mata Rozita lirik membaca setiap bait
patah perkataan yang tertulis.
Ibu
mengadu matanya semakin kabur dan kurang jelas. Pada peringkat awal, ibu enggan
ke hospital walaupun berkali diajak pak ngah kerana bimbang ditahan di wad.
Tiada siapa yang akan menjaga kami adik beradik.
Semakin hari semakin teruk.
Suatu hari, ibu bangun dari tidur dan menjerit-jerit namaku. Pantas aku bangun
dan berlari ke bilik ibu. Hampir bergegar rumah papan kami kerana larianku. Ibu
kata ibu tak nampak apa-apa. Aku lihat tangannya meraba-raba seolah berada
dalam kegelapan. Aku capai tangan ibu dan aku bawa ibu ke ruang tamu. Aku kejutkan
adik perempuanku untuk tolong tengokkan ibu sementara aku memanggil pak ngah.
Ibuku dibawa ke hospital menaiki kereta pak ngah.
"Berdasarkan
analisa dari ujian yang kami lakukan, Puan Rahimah sebenarnya menghidap katarak
mata. Suatu penyakit yang mungkin berpunca dari peningkatan usia, kecederaan
mata, keturunan dan banyak punca lain. Penyakit ini telah sampai ke tahap
bahaya sehingga akhirnya puan menjadi buta. Kalau dikesan dan dirawat di
peringkat awal, pasti ini semua dapat dielakkan."
Selepas
itu, tiada sebutir perkataan pun yang keluar dari mulut doktor masuk ke
telingaku. Yang ada di fikiranku sekarang ialah mengumpul wang sebanyak mungkin
untuk pembedahan agar ibu boleh melihat semula. Cuti terasa cepat berlalu. Dia
terpaksa pulang ke korea walaupun keadaan ibunya masih belum benar-benar pulih.
Mana
mungkin aku sanggup membiarkan insan yang telah sakit mengandung dan
melahirkanku tidak lagi dapat melihat. Erdaya mampu akan aku ikhtiar. Ku kucup
tangan yang telah menyuap ke mulutku makanan tatkala dirinya sendiri masih
kelaparan. Ku usap wajah tua ibu yang kedutannya jelas kerana kepenatan bekerja
membesarkan kami walaupun tanpa ayah. Aku tahu ibu menangis di tikar sejadah
saban malam mendoakan anaknya. Mungkin ibu menyangka aku sudah tidur ketika dia
datang dan mengucup dahi kami semua sebelum dia tidur. Kasih ibu terlalu utuh
sehingga aku tidak sanggup setitis pun air mata ibu mengalir kerana kesedihan.
Alhamdulillah
sejak dari hari pertama aku bekerja sebagai penterjemah sambilan, wang yang ku
kumpul kini sudah hampir mencukupi untuk ibu membuat pembedahan mata. Aku mahu
bawa ibu ke majlis graduasi aku nanti supaya ibu boleh melihat sendiri anak
yang dijaga dengan hasil titik peluhnya kini berada di puncak menara gading.
Tanpa
disedari, air mata Rozita menitik. Mulia
sungguh hati budimu, Azhan.
Tamat
graduasi, Azhan dan Rozita pulang ke Malaysia. Masing-masing telah lulus dengan
cemerlang. Setiba sahaja Azhan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Rozita
datang menyambut Azhan yang pulang lewat kerana menguruskan urusan kontrak
dengan syarikat tv korea.
"An,
ayah aku nak jumpa keluarga kau."
"Ish,
takda angin takda ribut, kenapa ni Ita?"
"Jangan
risau, ayah aku teringin nak berjumpa dengan wanita hebat yang berjaya didik anak
dia jadi hebat macam kau, An. Tu mak aku pun teruja sangat nak jumpa keluarga
kau sebab kau dah tolong aku dulu."
Kereta
dipandu membelah pekat malam. Hujan pula turun membasahi jalan sehingga
menyukarkan pemanduan. Hampir sahaja tadi lori besar melanggar mereka, mujur
sempat memberi hon dan mengelak. Dari cara memandu, jelas pemandu lori tersebut
mengantuk. Kilat sabung menyabung. Azhan yang duduk di kerusi depan kelihatan
terkumat-kamit membaca sesuatu. Keadaan jalan yang berliku memualkan tekak. Tiba-tiba
sejurus kilat menyambar, prakk!! Sebatang dahan besar menghempap bahagian depan
kereta. Asap berkepul dan kereta remuk. Sebuah lori besar yang melalui jalan
itu lekas berhenti dan menelefon ambulans.
Keadaan
hospital sunyi. Subuh-subuh begini hanya keluarga Rozita dan Ibu Azhan di situ.
Penumpang semua hanya cedera ringan kecuali Azhan dan pemandu.
"Mak
cik, ni saya pulangkan duit Azhan. Dia simpan duit ni hasil dia bekerja
sambilan masa belajar di Korea dulu. Masa tu ibu saya kemalangan, terus dia tawar
bantuan untuk pinjamkan saya duit. Saya tak tahu pulak dia simpan duit ni untuk
pembedahan mata mak cik. Selepas saya baca diari biru Azhan, baru saya tahu
kenapa dia sangat bersungguh untuk cemerlang dalam setiap subjek." Air mata diseka.
Sambil
menyerahkan sampul berisi duit dan diari biru Azhan, Rozita menceritakan
kebaikan Azhan sepanjang mereka berkawan.
"Kak,
kami akan bantu kak jalani pembedahan sebab itu adalah impian arwah." Ibu Rozita memeluk ibu Azhan. Betapa dia memahami perasaan
sakitnya kehilangan orang yang disayangi.
"Arwah
dah macam anak saya, masa di Korea, saya selalu jumpa dia, dia selalu cerita
pasal kak pada saya. Dia yang tolong Ita masa saya kemalangan, sekarang giliran
kami pulak membantu keluarga arwah." Sayu melingkari perkarangan hospital.
Rupanya
mimpi Azhan ada maksud yang ingin disampaikan olehNya. Amal yang baik akan
dibalas dengan kebaikan. Hanya sahaja kita yang tidak mahu mengambil iktibar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan