"Ayah, malam ni kami balik lambat. Angah dengan Dina nak bawak anak-anak dinner luar."
Mereka sekeluarga menyalami tangan Tuan Mokhtar dan memasuki perut kereta. Starex meluncur membelah pekat malam. Tuan Mokhtar hanya melambai sayu.
Trit. Trit.
Ayah. Adik tak dapat dinner sekali. Ikut kawan pergi birthday party dia. Ayah masuk tidur dulu yer. Tak perlu tunggu adik. Sayang ayah.
Mesej dari anak bongsu dibaca. Nampaknya Aliya pun lesap malam ini.
Dari bilik utama rumah agam itu, perlahan Tuan Mokhtar menuruni anak tangga. Dia mampir ke ruang makan.
"Tuan, jemputlah makan. Saya dah sediakan makan malam. Hari ni lauk kegemaran tuan, ketam masak lemak."
Mak Esah menyendukkan nasi ke pinggan Tuan Mokhtar. Air masak dituang ke dalam gelas. Kerjanya begitu cermat. Pengalaman menjadi pembantu rumah keluarga itu hampir 20 tahun membuatkan Mak Esah selesa dengan keluarga ini.
"Esah, marilah duduk sekali. Panggil Hamid kita makan sama-sama."
"Tuan makanlah, segan pulak saya. Takpa nanti saya makan dengan Hamid di dapur."
Setelah memastikan semua siap terhidang, Mak Esah terus bergerak ke dapur.
Nampaknya, sorang-sorang lagilah aku.
Ruang makan itu sunyi. Rumah besar itu sepi. Penghuninya hidup tapi suasananya mati. Setelah kematian Puan Azmah, kesepian Tuan Mokhtar berganda.
Tuan Moktar tidak berapa selera malam ni. Dia berharap sekurang-kurangnya hujung minggu begini, mereka sekeluarga dapat berkumpul.
Namun hampa.
Semua anaknya membawa haluan masing-masing tanpa memikirkan dirinya.
Usai beberapa suap nasi, Tuan Mokhtar bangun menuju ke kamarnya. Di situ tersimpan seribu rahsia, sejuta kenangan manis dia dan isteri.
Album lama ditatap. Dibelek satu persatu gambar hinggalah terjumpa satu gambar lama. Masih hitam putih. Gambar 30 yang lalu, saat di mana dia dan isteri diijabkabulkan.
................
Imbas kembali
"Abang minta maaf. Semenjak kita kahwin, abang hanya mampu cari tempat berteduh yang kecil dan sempit. Sedangkan kehidupan awak dengan ibu bapa awak jauh lebih sempurna."
Puan Azmah isteri yang solehah. Dia setia. Kesabarannya melayari keperitan hidup di awal berumah tangga menjadi pengikat cinta suami isteri itu.
Saban hari dia sentiasa memujuk Tuan Mokhtar agar jangan putus asa apabila setiap kali permohonan kerjanya ditolak. Hinggalah suatu hari, kehidupan mereka mula berubah menjadi senang seperti sekarang.
....................
"Angah, ayah takde dalam bilik. Aliya dah cari satu rumah."
Keadaan kalut. Mak Esah pun turut gusar. Tidak pernah Tuan Mokhtar pergi ke mana-mana tanpa memaklumkan padanya terlebih dahulu.
Aznan, anak kedua Tuan Mokhtar bersama Pak Hamid menghidupkan enjin kereta dan mula mencari di sekitar kawasan perumahan.
Dina dan anak-anak menunggu di rumah. Aliya dan Mak Esah menaiki kereta lain dan mula mencari Tuan Mokhtar.
Sudah lewat malam. Namun kelibat Tuan Mokhtar masih belum kelihatan. Masing-masing bimbang namun sudah kehabisan idea di mana lagi mahu mencari ayah mereka. Lalu mereka membuat keputusan untuk melaporkan pada pihak polis andai masih tidak diketemui sehingga esok.
............
"Ni semua salah angah. Mesti ayah terasa hati sebab angah selalu keluar dengan keluarga angah tapi tinggalkan ayah sorang-sorang kat rumah. Pergi bercuti tak ajak ayah. Pergi makan luar tinggal ayah kat rumah."
"Ehh, yang kau tu selalu sangat menghilang, kau ke mana? Kan bagus kalau kau duduk rumah teman ayah. Bukannya kau sibuk dengan urusan syarikat pun. Angah dengan kakak ni mana nak urus syarikat lagi."
"Angah penting diri." Aliya menuduh.
"Aliya kau jangan nak kurang ajar." Aznan meninggikan suaranya.
Tersentak Aliyah. Dia terus berlari menuju ke biliknya. Dia geram. Aznan tidak pernah berlembut dengannya.
"Sudahlah Tuan Aznan. Tak elok kalau jiran dengar." Mak Esah mencelah.
Kerana menghormati Mak Esah, Aznan tidak jadi meneruskan pertengkaran. Ikutkan hati, memang Aliyah makan penamparnya malam ni.
"Betul tu, abang. Abang cuba berlembut sikit dengan aliya. Dia bukan budak kecik abang nak tengking macam tu." Dina cuba mengendurkan suasana. Diurut dada suaminya perlahan. Orang tengah marah jangan disimbah api.
...............
"Pak cik... pak cik.."
'Pengsan ke tidur pak cik ni?'
Salima terus menggoncang bahu lelaki tua itu. Sejak tadi terbaring di atas bangku hentian bas.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia ternampak seorang lelaki tua tertidur di atas bangku. Pakaiannya nampak mahal. Berkot dan bertali leher.
'Kasihannya pak cik ni. Baik aku cuba kejut. Sejuk malam-malam kat luar.'
"Pak cik... bangun!" Kali ini goncangannya lebih kuat, sehingga lelaki tua tersebut tersedar.
"Pak cik nak ke mana, ni? Malam macam ni dah tak ada teksi."
"Pak cik tak tahu. Pak cik kat mana sekarang?"
"Pak cik, sini kawasan seksyen 17. Rumah pak cik kat mana?"
"Aaaa.... pak cik tak ingat."
Muka lelaki tua itu berkerut. Bingung.
"Kalau macam tu, malam ni pak cik tumpang rumah saya. Jom!"
Salima berjalan di hadapan, manakala lelaki tua tersebut hanya mengikut tanpa banyak bicara. Raut wajahnya begitu tertekan dan keliru.
Knok. Knok.
"Assalamualaikum, ayah! Salima dah balik ni."
Kelihatan lampu ruang tamu menyala. Tombol pintu dipulas dari dalam.
"Salima, lambat balik harini."
Salima lekas memimpin ayahnya duduk di sofa.
"Ayah, kita ada tetamu."
Salima memperkenalkan pak cik tadi pada ayahnya.
"Saya Zakaria. Maaf saya tak nampak."
Tangannya meraba-raba ingin bersalaman dgn tetamu tadi.
"Aku tak ingat nama aku, Zakaria."
Salima begitu kasihan pada lelaki tua tersebut. Keadaan emosi pak cik tersebut tidak stabil. Dari tadi, kelopak mata tuanya bertakung air.
"Kalau macam tu, kami panggil kau Ahmad. Sempena nama nabi kita."
Salam Zakaria bersambut. Biar matanya buta, hatinya celik. Dia tahu bahawa Ahmad dalam kesedihan.
"Janganlah bersedih, Ahmad. Kau tinggal saja dengan aku dan Salima. Rumah ni kami berdua sahaja."
"Terima kasih, Zakaria, Salima."
"Hah, Salima. Bawa pak cik masuk bilik ayah. Bagi baju dan kain ayah untuk pak cik tukar."
Salima segera berlalu ke bilik ayahnya.
"Zakaria, kau bertuah. Salima budak yang baik, anak yang solehah."
"Aku ni Ahmad terhutang nyawa, budi dengan Salima. Satu-satunya penyejuk mata aku."
"Ayah, pak cik, masuklah tidur. Dah lewat ni. Baju pak cik ada atas katil. Pak cik boleh guna tandas dalam bilik ayah. Seronoklah ayah sekarang, dah ada kawan baru."
Salima erat memeluk ayahnya.
Tuan Mokhtar hanya memandang dengan hiba. Mesranya anak dan ayah. Untungnya kau, Zakaria.
...................
"Ayah, pak cik sarapan dah siap. Jemaah subuh tadi ramai ke ayah?"
"Arini tak ramai, Salima. Ayah dengar waktu 'amin' tu sikit sangat suara orangnya."
"Sebelum ni, masa pak cik belum tinggal sini, ayah Salima pergi masjid sorang-sorang ke?"
"Haah, pak cik. Ayah dah biasa jalan ke masjid. Setiap hari tak pernah 'miss'."
Menu hari ini nasi lemak ayam. Berselera benar mereka bertiga menjamu selera.
"Ayah, Salima pergi kedai dulu ea. Ayah jaga diri baik-baik."
"Jangan risau, pak cik akan temankan ayah kamu. Jalan baik-baik, nak."
Salima segera berjalan ke hentian bas selepas menyalami ayahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan