Cuaca mendung. Agak kelam berbanding hari biasa. Musim panas
di bumi sonata bukanlah sesuatu yang begitu menyeronokkan. Alhamdulillah,
kadang-kadang angin bertiup lembut meredakan sedikit bahang kering yang
menyengat. Mungkin bagi yang ingin mencuci mata, bumi sonata menyediakan
pencuci mata yang lebih hebat dari eyeMo. Malu rasanya hendak berkongsi di
sini. Wanita-wanita berpakaian seolah-olah hanya mempunyai semeter kain untuk
dibuat baju dan seluar.
Hari ini misiku hanya satu iaitu menawan sebuah bukit dibelakang
rumahku. Usai solat asar aku berjalan laju menuju ke kaki bukit. Dua hari yang
lepas, aku pernah ke sini bersama seorang seniorku. Kami mendaki hingga ke
puncak yang pertama, Puncak yang jaraknya hanya 0.28km tapi subhanAllah, aku
perlu memanjat dengan tangga yang anak tangganya aku kira mungkin seratus ke
dua ratus langkah. Basah lencun bajuku dengan peluh. Tetapi ternyata di puncak
pemandangannya masyaAllah, terbentang luas bandar besar, di sebelahnya laut
yang membiru, diatasnya awan yang sedikit kelam mencantikkan lagi portrait
dihadapanku ini. Hilang terus keletihan memanjat anak tangga tadi.
Kekaguman 2 hari yang lepas masih lagi terbawa-bawa hingga
ke hari ini. Lalu aku mengambil keputusan untuk melengkapkan misiku dengan
cubaan menawan puncak kedua. Sampai di persimpangan yang memisahkan dua puncak
itu, aku terbaca papan tanda yang menyatakan jarak pendakian ke puncak kedua
ialah 1.08km. Aku mengucap panjang, tapi alang-alang sudah sampai di situ aku
teruskan juga langkahku. Berpantang undur sebelum ajal, kononnya. Kecil-kecil
aku menapak. Jauh di belakangku kelihatan seorang pak cik yang umurnya ku kira
dalam lingkungan 60-70an. Ku terus menapak, setiap langkah walaupun tidak
bertangga tetapi geografi muka buminya yang berbatu membuatkan pendakianku
sedikit melelahkan. Lenguh seluruh sendiku.
Aku berehat sebentar melepaskan lelah. Ku teguk air mineral
sejuk yang ku bawa dari rumah. Sedang aku berehat sebentar membasahkan tekak,
pak cik yang tadi nun jauh di belakang kini berjalan di hadapanku dan
menyapaku. Aduh, aku rasa seperti arnab yang berlumba dengan kura-kura pula. Ke
mana pergi semua tenaga mudaku? Seharusnya aku yang lebih berstamina seiring
dengan usia mudaku. Mungkin sebenarnya organ-organ dalaman aku juga telah reput
digigit oleh kemalasan aku selama ini. Aku terus bangun dan menyambung
langkahku. Kali ini, lebih bersemangat dan aku berjaya mendahului pak cik tadi.
Seharusnya aku belajar dari bangsa maju dihadapanku ini. Mereka seperti arnab
yang laju, tetapi tidak akan berehat selagi tidak sampai ke penghujung.
Dihadapan aku kini tangga yang aku tidak nampak di mana
hujungnya. Cuma yang kelihatan seorang mak cik yang ku kira umurnya sebaya
dengan isteri abahku. Semakin aku menghampiri mak cik tersebut, kelihatan di
tangannya seutas tasbih berwarna coklat. Tangannya perlahan membilang tasbih
sambil kakinya perlahan mendaki tangga tersebut. Wah, aku rasa seperti ditampar
saat itu. Dia yang beragama Buddha mampu mengamalkan agamanya dengan tekun
sekali, sedangkan aku, tidak pernah terdetik pun di hati untuk membawa tasbih dan berzikir sambil
mendaki. Mungkin sudah diracuni pemikiran sekularisme agaknya, beribadah,
bertasbih hanya dilakukan di tikar sejadah. Usai sahaja memberi salam dan
melipat sejadah, agama tiada lagi dalam tentatif kehidupan seharian.
Aku bercadang menunggu sehingga matahari terbenam. Siang
yang panjang di musim panas menyebabkan aku terpaksa menunggu hingga jam hampir
ke pukul 8.00 malam. SubhanAllah, pemandangan langit yang berwarna keemasan
begitu memukau pandanganku. Potret Golden Hour yang amat mengasyikkan ku kira.
Tetapi aku tidak boleh berlama-lama di situ, bimbang hari menjadi gelap dan
menyukarkan aku untuk pulang. Aku segera mencapai beg sandang dan pantas
bergerak menuruni bukit. Gambar-gambar yang ku ambil sudah cukup untuk
merakamkan betapa indahnya momen yang kuhabiskan diatas puncak itu.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, mata-mata sekeliling masih
memandangku. Ikutkan hati kecilku, ingin sekali aku terbang pulang ke rumah
atau menjadi invisible, biar tiada siapa dapat melihatku. Sungguh aku rasa
terasing di jalanan itu, seperti alien yang baru sahaja mendarat di bumi.
Mata-mata mereka meliar memandang aku yang berbalut kepala, hanya kelihatan
wajahku dan bajuku yang berbungkus penuh, hanya kelihatan dua tanganku. Langkah
dilajukan, ingin sekali cepat sampai di rumah.
Tapi sebenarnya seronok juga bila difikirkan semula. Allah
beri peluang untuk aku menjadi duta kecil islam, mengelilingi dunia dengan
membawa imej islam, biar satu dunia tahu aku adalah seorang muslim. Kalau
ditanya mengapa berhijab, jawapannya mudah saja. Aku analogikan sahaja seperti
seorang chef, sekali dipandang seorang lelaki yang berpakaian seragam tukang
masak akan digelar chef, tanpa perlu dia menceritakan identiti dirinya. Tetapi
tatkala dia menanggalkan seragamnya itu, maka hilanglah identiti luarannya
sebagai seorang chef. Bagi aku, hijab itulah seragamku, dan aku adalah
full-time muslim, maka secara logiknya aku tidak boleh menanggalkan seragamku,
nanti BOS aku marah, maka nerakalah tempatnya.
Hari ini sengaja aku berjalan di lorong universiti, dimana
lorong-lorong di sini dipenuhi deretan restoren, coffee shop, pusat karaoke dan
lain-lain yang seangkatan dengannya untuk pelajar disini menghilangkan stress
mereka. Aku bercadang membeli Bubble tea, minuman kegemaranku disini.
Dicelah-celah puluhan manusia yang berbagai ragam itu, aku melihat ada yang
dengan wajah penuh kegembiraan menarik luggage ingin pulang ke kampung halaman,
ada juga yang meng’ekspresi’kan kegembiraan dengan melanggah minuman keras dan
terhuyung-hayang di jalanan, tak kurang juga yang berpelukan lelaki dan wanita
memasuki pusat karaoke. Maklumlah hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan
bagi semester musim bunga. Tidak hairanlah semua orang ingin bergembira
sepuas-puasnya.
Mereka-mereka dihadapanku ini, seakan-akan robot manusia
yang diprogramkan. Mereka belajar, hinggakan ada yang bermalam di coffee shop,
bersengkang mata menelaah untuk peperiksaan esoknya. Mereka lulus dengan
cemerlang kemudian mendapat posisi tinggi di syarikat besar , bekerja bagaikan
robot tanpa perasan. Keluar seawal subuh dan pulang ke rumah hanya bila malam
sudah pun menjengah. Bagi menghilangkan tekanan di tempat kerja,mereka minum
dengan rakan sekerja hingga ke subuh dihujung minggu. Sungguh, penyelesaian
bagi setiap masalah mereka hanyalah arak. Kasihan bangsa maju ini, mereka
meraba-raba mencari bahagia dalam kegelapan. Namun jika direfleksi semula
kepada diri ini, sudah ada cahaya islam yang menyuluh terang jalan dihadapanku,
tetapi diri sendiri pula yang malas melangkah, MALAS.
Sampai aku dirumah, segera aku berwudhuk dan menunaikan
solat maghrib. Dalam sujud, aku titipkan doa kesejahteraan untuk kedua orang
tuaku, untuk saudara-saudaraku di Malaysia amnya dan di Palestin, Syria dan
Myanmar khususnya. Semoga diri ini juga dipelihara Rabb selalu. Alhamdulillah,
syukur untuk pengalaman berharga DI CELAHAN ASAR DAN MAGHRIB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan