Panggilan dimatikan. Lega dapat mendengar suara walaupun hanya di corong telefon. Beribu batu jauh terpisah dari keluarga di hari yang sangat bermakna.
Hafiz merenung ke luar tingkap. Pekat malam seolah membawa dia ke dimensi lain. Fikirannya menerawang mengimbau kenangan ketika zaman kanak-kanaknya.
__________
"Hafiz, kan ayah dah cakap jangan main tepi sungai. Berapa kali nak pesan ni?" Ranting kayu di tangan ayahnya pantas melibas betisnya. Dia tidak berganjak mahupun menangis. Diam tidak berkutik.
"Cuba kamu ni jadi macam abang kamu. Disuruh belajar,dia belajar. Abah bangga tau bila cikgu panggil untuk ambil anugerah pelajar cemerlang. Tapi kamu, asyik dipanggil sebab masalah disiplin." Ranting kayu terus melibas belakang Hafiz.
Dari kejauhan, Hufaz berlari kearah mereka. Pantas dipeluk adiknya. Kasihnya pada Hafiz melebihi kasihnya pada nyawanya sendiri.
"Ayah, sudahlah. Nanti abang nasihat adik." Pelukannya makin erat. Namun Hafiz masih mengeras, malahan pelukan abangnya ditolak. Hafiz berlari ke dalam hutan semak.
__________
Hufaz menolongnya ayahnya membawa barang untuk berkebun seperti cangkul dan penyembur racun. Hujung minggu, dia pasti akan menolong ayahnya selepas subuh. Hafiz pula kebiasaannya masih berdengkur pada waktu begini.
"Ayah jangan la berkeras sangat dengan Hafiz tu. Abang takut nanti dia memberontak."
"Adik kamu tu boleh diajar dengan rotan saja. Tengok waktu macam ni sepatutnya dia datang tolong kat kebun. Ini tidak. Membuta saja."
"Hafiz tu tak minat kerja kebun ni ayah."
"Ayah bukan apa. Ayah geram sangat. Semua yang kita larang, itulah yang dia suka buat. Kita larang sebab bimbangkan dia. Kecik-kecik dah perangai macam tu, esok besar tak tahulah apa nak jadi."
"Abang faham,ayah. Tapi abang takut nanti Hafiz tu berdendam pulak dengan ayah."
"Dahlah, Hufaz. Jom balik. Tinggalkan aja cangkul tu di pondok. Petang nanti ayah nak sambung lagi buat batas."
Mereka pulang untuk makan tengahari dan berehat. Begitulah rutin dua beranak itu pada hujung minggu. Demi mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga. Mujur ada tanah sekangkang kera untuk diusahakan. Cukuplah untuk belanja mereka sekeluarga.
___________
Hufaz dan Hafiz masing-masing membesar dengan perangai tersendiri. Di ambang usia remaja ini, kenakalan Hafiz mencabar kesabaran orang tuanya. Kali ini Pak Hamid dan Mak Temah dipanggil ke sekolah kerana Hafiz terlibat dalam kes membuli pelajar tingkatan satu.
Kedengaran enjin motor Hafiz memecah kesunyian lamam rumah. Tatkala Hafiz melangkah masuk ke dalam rumah, Pak Hamid terus menampar anaknya, rotan terus di capai dan Pak Hamid seperti hilang kewarasan.
Hufaz yang ketika itu di dapur berlari ke ruang tamu apabila terdengar kekecohan. Lekas dia berlari memeluk adiknya. Tahannya menahan setiap rembatan rotan dari ayahnya.
"Abang nak bunuh anak kita ka?" Mak Temah menjerit sambil menahan tangan Pak Hamid dari terus memukul Hafiz.
"Ayah budak tingkatan satu tu nak buat laporan polis. Kamu tunggulah polis datang tangkap kamu. Ayah dah cukup bersabar." Pak Hamid menengking. Dia segera beristighfar. Rotan di tangan dilepaskan. Dia terus menunggang motor dan meninggalkan rumah.
"Abang bawaklah berbincang elok-elok dengan pihak sebelah sana. Saya tak nak anak saya masuk lokap." Sempat Mak temah merayu pada suaminya tapi tidak diendahkan. Dia teresak-esak menahan sendu.
Hufaz memeluk erat adiknya. Tidak lagi diendah birat di belakangnya akibat menahan pukulan ayahnya dari mengenai adiknya. Dia kini lebih sakit melihat adiknya dalam keadaan begitu.
Hafiz segera bangun dan berlari ke biliknya. Pintu dikunci. Senyap. Tiada tangisan mahupun jeritan marah. Adiknya suka benar memendam rasa. Dia bimbang suatu masa Hafiz akan memberontak.
__________
Tshirt biru dibuka. Kelihatan di cermin dua birat bekas pukulan rotan. Perlahan disapu minyak pada tempat luka. Pedih. Namun Hufaz tidak mengadu pada sesiapa. Sakitnya itu akan hilang bila terpandang raut wajah adiknya yang penuh kasihan.
Dia masuk ke bilik Hafiz. Luka di tangan Hafiz kelihatan. Disapunya minyak perlahan. Tumpah rasa kasihnya pada Hafiz. Dia tahu Hafiz hanya mahukan perhatian dari ayahnya. Dari kecil hingga besar, ayah jarang sekali memuji Hafiz.
"Abang, tengok anak kita menang lawan bola peringkat negeri. Bulan depan wakil Kedah." Mak Temah menunjukkan pingat yang dibawa pulang Hafiz. Ketika itu umurnya baru 10 tahun.
"Aku suruh kau belajar sampai pandai. Macam abang kau. Bukan suruh kau jadi pemain bola sepak. Kau ni memang tak boleh harap. Lain disuruh, lain yang dibuatnya."
Pak Hamid langsung tak mengendahkan Hafiz.
Sejak itu sebarang kejayaannya hanya disimpan sahaja di almari dalam biliknya. Tiada siapa yang tahu. Kecuali Hufaz. Kerana Hufaz selalu curi-curi masuk bilik adiknya. Terlalu perahsia dan pendiam orangnya. Tapi sangat aktif dalam bersukan.
_________
Suatu hari, motor Hufaz rosak. Lalu Hafiz menumpangkan abangnya hingga ke depan kolej. Ketika dalam perjalanan pulang, sampai di selekoh tajam Hafiz tidak sempat mengelak apabila tiba-tiba muncul satu lori dari arah bertentangan. Terlalu laju. Hafiz gagal mengelak. Motor mereka terhumban ke dalam gaung.
Kring..kring..
Panggilan dari hospital. Bergegas mereka memaklumkan pada jiran untuk menghantar mereka ke hospital. Mak Temah sepanjang perjalanan hanya menangis. Pak Hamid pula kelihatan begitu terkejut.
Tidak terbayang di mindanya andai dia kehilangan Hufaz dan Hafiz. Lidahnya terus meratib sayu.. la ilaha illa anta.. subhanaka inni kuntu minazzolimin..
Sampai di hospital, mereka dimaklumkan yang doktor sedang merawat kedua-duanya di unit rawatan rapi. Hafiz koma. Manakala Hufaz sudah melepasi tahap bahaya. Selepas beberapa hari, Hufaz sudah sedarkan diri.
Hufaz sudah berasur pulih. Dia sudah mula bercakap walaupun tidak lancar. Perlahan dia berbisik pada ayahnya.
"Abang mimpi Hafiz. Dia cakap dia kirim salam pada ayah. Dia pesan nanti ayah balik rumah, bukak almari baju dia. Dia simpan hadiah untuk ayah di situ. Dia rindu sangat nak ayah peluk dia macam ayah selalu peluk abang." Bisikan Hufaz terhenti kerana terbatuk.
Pak Hamid menjenguk dari tingkap bilik Hafiz dirawat. Berselirat wayar pada badan Hafiz. Dia sedar dia telah mengabaikan Hafiz. Hanya kerana Hafiz tidak cemerlang seperti abangnya dalam pelajaran, dia disisihkan ayahnya sendiri.
Pak Hamid bergilir dengan Mak Temah menjaga anak-anak mereka di hospital. Pak Hamid pulang ke rumah untuk mandi dan bertukar pakaian.
Ketika melintasi bilik Hafiz, dia teringat bisikan Hufaz padanya. Perlahan tangannya memulas tombol pintu bilik Hafiz. Dibukanya almari baju anaknya. Sudah lama dia tidak menjenguk ke bilik ini.
Dia terduduk apabila melihat barang-barang di dalam almari baju itu. Tumpah air mata dari kelopak mata tuanya. Diseka perlahan.
Bersusun trofi dan pingat. Segala jenis sukan hampir kesemuanya pingat emas. Ada satu kotak di sudut almari. Dibukanya kotak lusuh itu.
Ayah, adik menang silat hari ni.
Ayah, cikgu cakap keputusan peperiksaan Hafiz semakin baik. Tapi masih belum boleh dapat anugerah.hehe.
Ayah......
Ayah......
Dan banyak lagi surat yang ditulis menggambarkan rasa hatinya pada ayahnya. Setiap kali dia menerima kejayaan, dia akan menulis atas kertas dan menyimpannya dalam kotak itu. Semenjak usianya 10 tahun.
________
Pak Hamid bergegas ke hospital.
Dia duduk di tepi katil anaknya.
Perlahan dia berbisik, sambil tangannya erat menggenggam tangan Hafiz.
"Ayah bangga dengan kamu, Hafiz.
Ayah minta maaf.
Ayah abaikan kamu.
Kamu membesar dengan memendam rindu pada ayah.
Bangun Hafiz. Beri peluang ayah betulkannya semula."
_______
Subuh pagi raya itu sunyi. Hanya mereka berdua di teratak sunyi itu. Menanti kepulangan yang tak kunjung tiba.
Lagu sudirman, salam terakhir di corong radio mensayukan lagi suasana di pagi itu.
Pon..pon..
Hon berbunyi.
"Maaf ayah. Hufaz lambat. Aini semalam dia habis kerja lambat, jadi kami bertolak lambat. Anak-anak pun masih tidur dalam kereta."
"Syukurlah, kamu selamat sampai. Ayah ingat kamu tak jadi balik. Rindunya kat cucu ayah. Naiklah. Mak kamu ada di dapur."
Telefon Hufaz berdering.
"Ayah, ada panggilan."
Telefon bertukar tangan. Perbualan mereka panjang. Pak Hamid hanya mengangguk sambil tersenyum.
"Tak apalah. Raya ketiga balik pun tak apa. Janji balik. Mak kamu tu rindu sangat dah dengan kamu."
Selesai berborak panjang, talian dimatikan.
Walaupun dari kejauhan Pak Hamid tetap mendoakan Hafiz yang kini sedang mengikuti Asian Games di Korea mewakili malaysia dalam taekwondo. Nampaknya raya ketiga barulah dapat berkumpul semua satu keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan