Isnin, 30 September 2013

Kita juga bersalah...

Selama ini hidup kita hanya berfikir tentang diri sendiri.
Apa akan terjadi pada aku 5 tahun ke depan? 10 tahun ke depan?
Apakah simpanan aku sekarang cukup untuk menyara diri nanti?
Bagaimana caranya agar aku dapat kumpul duit beli kereta dan rumah?
Di mana nanti aku akan bekerja? berapa gajinya?
Dengan siapa nanti aku akan berumah-tangga?

Soalan-soalan sebegini selalu menjadi pertanyaan yang menyesak dada kita. Membuat hati kita gelisah, fikiran kita runsing dan jiwa kita lelah. Terlalu letih berfikir mencari jawapan dan akhirnya kita hanya sibuk menguruskan diri sendiri.

Satu pertanyaan pada diri.
Adakah kita ini robot yang tiada tujuan hidup?
Adakah kita hanya hidup untuk diprogramkan melaksanakan arahan manusia?

Realiti di Malaysia

Kita jadi tidak endah pada jiran tetangga yang sudah beberapi kelaparan.
Kita jadi tak endah pada masyarakat sekeliling yang gadis-gadisnya semakin ramai yang melahirkan anak tanpa bapa.
Kita jadi tak endah pada remaja-remaja yang merokok dan menghisap dadah, ada yang sampai ketagih berjudi.
Kita jadi tidak endah kerana kita hanya sibuk dengan masalah diri.

Bila sambutan kemerdekaan diadakan secara besar-besaran, ada pihak yang menyambutnya dengan air mata kesyukuran. Terlalu gembira lalu terbit rasa syukur atas kebebasan menghidupkan masyarakat islami di bumi sendiri. Namun ada satu pihak pula menyambutnya dengan kegembiraan bersifat jahiliyah. Sedarkah kita, setiap kali tiba bulan Mei, dada akhbar akan penuh dengan kes buang bayi.

Logiknya ada! Ya mereka berpesta maksiat di saat kita semua menadah tangan bersyukur atas kemerdekaan. Mereka juga rasai nikmat kemerdekaan itu, lalu mereka terjemahkan dalam bahasa yang mereka fahami. Jangan seratus peratus menyalahkan mereka, kita juga adalah penyumbang.

Kita adalah penyumbang bila kita menghalalkan `couple`.
Kita adalah penyumbang bila kita hanya berani bersuara lantang menyalahkan orang lain.
Kita adalah penyumbang bila kita hanya membiarkan maksiat di depan mata.
Kita adalah penyumbang bila kita menolak untuk bersama-sama menyedarkan masyarakat.

Aduh, tugas ini bukan tugas ustaz mahupuh ustazah sahaja. Ini tugas semua yang punyai iman kepada Allah di hati. Siapa pun kita, apa pun posisi dan jawatan kita, berapa pun umur kita, selagi mana kita mengaku tiada Ilah selain Allah, Muhammad saw pesuruh Allah, kita sudah pun mempunyai tiket untuk menyeru manusia kembali ke jalan benar, dan menghalang mereka berbuat kejahatan.

*bila kita menegur orang lain, kita sebenarnya menegur diri. Usah bimbang diri belum layak dengan alasan dosa-dosa kita, kerana jika bukan kita yang menegur siapa lagi?

Tiada ulasan: