Ahad, 29 September 2013

Kita sedang karam...SOS...

Ibarat sebuah kapal yang belayar di lautan tenang. Angin yang bertiup juga lembut membelai sehingga menidurkan anak-anak kapal. Ombak perlahan memukul sekadar menyembunyikan kukunya. Air tiada berkocak, tenang setenangnya. Maka anak kapal terleka, bermalas-malasan di zon selesa.

Akhirnya tanpa sempat membuat persiapan, angin bertiup kencang. Ombak mula membadai sakan. Air pula bergelora seolah mahu membaham apa sahaja di permukaannya. Anak kapal panik. Kapten juga terpaku. Muncul lagi masalah, rupanya kapal mereka sedang dimasuki air. Akhirnya tenggelam dalam pelayaran tanpa jejak.

Selalu aku membayangkan bahawa hidup ini ternyata umpama sebuah kapal yang sedang belayar. Lautan terlalu luas hingga di mana penghujungnya, sukar dikesan pandangan mata kasar. Dimana titik mula juga seolah tidak lagi kelihatan, terlalu luas sehingga merasakan dunia ini hanyalah laut.

Dalam keadaan tenang, selalunya kita akan bersenangan. Tiada satu sebab pun untuk kita meletakkan diri kita dalam kesusahan bila kita merasa aman dan tenang. Maka jalan yang selalu kita ambil ialah sambil lewa dan hilang fokus.

anak kapal mula bersenangan, lupa pada tugasnya untuk sentiasa menjaga keselamatan kapal
kapten juga terbuai dek kerana keadaan komuniti di situ yang tidak mengambil berat masalah yang sedang berlaku

Zaman ini ialah zaman di mana kita sebenarnya punya banyak masalah tetapi tidak bertindak menyelesaikannya. Kita membiarkan sahaja, melihat sahaja kapal (bangsa & agama) kita tenggelam. Banyak masalah sosial berlaku di kalangan belia dipandang remeh. Masyarakat hilang adab, hilang malu. Negara hilang maruah dan kehormatannya. Angin, ombak dan air (anasir luar) terus mengasak. Lubang di kapal (masalah dalaman) semakin membesar.

Sedikit demi sedikit rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara dikikis dari hati sanubari kita. Perlahan-lahan kita cair kepada serangan pemikiran musuh, membiarkan malah kekadang menyokong. Bila Islam dihina atau diperlekeh kita hanya mampu bersuara lantang seorang diri namun senyap sepi di khalayak ramai.

InsyaAllah dalam entry seterusnya, aku akan cuba meluahkan apa di fikiranku mengenai hal-hal yang dirasa penting. Setiap seorang perlu sedar hakikat, 'we are sinking!!! wake up!!!'

Tiada ulasan: