BAB
14
SEMALAMAN
DI WAD ITU
Pintu
dikuak dari dalam. Doktor keluar dari bilik rawatan. Kami berempat mengikut
beliau ke biliknya.
“Hanguk-mallo
haedo dweyo?”
(Boleh
saya berbahasa Korea?)
Kami
mengangguk pantas. Kalau berseorangan aku bimbang juga seandainya tidak
memahami, tapi sekiranya berempat aku yakin kami boleh saling membantu untuk
memahami tutur kata seorang doktor yang mungkin mengandungi terma-terma
kedoktoran yang pasti janggal di telinga kami.
“Ada
dua berita, yang buruk dan yang baik. Saya akan ceritakan yang baik dahulu.
Kawan kamu selamat. Dia dah stabil sekarang. Yang buruknya, kawan kamu telan
banyak pil paracetamol. Mungkin dia tertekan. Sekiranya kamu tidak cepat-cepat
bawa dia ke hospital, dia mungkin kehilangan nyawanya.”
Kami
terdiam. Tidak tahu mahu merespon apa. Ia benar-benar sebuah kejutan. Mana
mungkin Hanis akan bertindak sejauh itu hanya kerana pertengkaran kami tempoh
hari?
“Itu
sahaja rasanya yang perlu saya maklumkan pada kamu. Selebihnya saya akan
berurusan dengan pihak universiti. Tadi, mereka dah hubungi saya. Tugas kamu
berempat adalah cuba untuk tidak membuat Hanis tertekan dan mengulangi lagi
perbuatannya. Pastikan dia gembira. Teman dia. Jadi kawan dia.”
Sejurus
mengucapkan terima kasih, kami terus keluar dari bilik doktor itu menuju ke wad
yang menempatkan Hanis. Jururawat masih berada di situ sewaktu kami sampai.
Selesai urusan, mereka bergerak keluar dari bilik Hanis. Tinggallah kami
berempat dan Hanis yang sedang terbaring lesu di atas katil.
Kami
berpandangan sesama sendiri. Masih terkejut dengan apa yang berlaku. Mata kami
semua tak lepas dari memandang Hanis. Wajahnya kusam dan nampak tidak bermaya.
Wayar berselirat di tangan dan di badan.
Tiba-tiba
Syifa menyentuh bahuku. Dia menunjukkan padaku skrin telefonnya. Post yang
dikongsi pada hari ini. Tertera di newsfeed facebooknya;
‘Adam
Izwan Mohd Rahim was tagged in Zubair Ali’s photo.’
Aku
meneliti gambar dan kapsyen itu.
‘Congrats,
bro. Tak sangka kau lagi laju dari aku!’
“Biar
betul nih? Takkan adam sanggup buat Hanis macam tu?”
Aku
berbisik perlahan di telinga Syifa. Syifa hanya mengangkat bahu.
Nurul
dan Seri yang melihat pada perubahan wajah kami segera menghampiri.
“Apa?”
Mereka
menunjukkan riak mahu tahu. Syifa menyerahkan telefon pintarnya kepada Nurul.
Seri menekup mulut kerana tidak percaya.
“Tak
ada angin, tak ada ribut macammana si Adam dah kahwin pulak ni?”
“Ya
Allah, kasihannya Hanis. Ni post kelmarin ni. Maybe Hanis baca yang ini
sampai dia jadi macam ni.”
“Makin
geram aku dengan Adam nih. Selamba je dia mainkan hati orang.”
“Patutlah
Hanis tertekan. Tapi kenapa dia diamkan aja semua ni. Aku ingat sebab dia
bertengkar dengan aku masa dia cabar aku tu.”
“Aku
rasa Hanis malu. Dia kan banyak sakitkan hati kau, Sufi.”
Kami
rancak berborak hingga terlupa bahawa Hanis sedang tidur. Kami simpan dulu
semua cerita ini kemas-kemas dan zip mulut kami. Hanis tak perlu tahu yang kami
sudah tahu perkara yang sebenar.
Patutlah
berulang kali aku mendengar ibuku membebel apabila membaca kisah cinta
anak-anak remaja sekarang di dada akhbar. Sekarang baru aku faham kesannya
hingga boleh meragut nyawa. Kalau aku jadi ibu, pasti aku akan membebel perkara
yang sama pada anak-anakku baik lelaki mahupun perempuan.
Jangan
sesekali bercinta sehingga menyerahkan semua kepercayaan kepada sesiapa yang
belum sah menjadi pasangan kita. Cinta sahaja tidak cukup untuk membahagiakan
seandainya tiada tanggungjawab. Cinta sahaja bukan jaminan untuk sampai ke alam
perkahwinan kalau dari awal lagi tiada kejujuran.
Bila
hati kita dipenuhi cinta pada manusia, maka tiada lagi ruang untuk cinta pada
tuhan di hati kita. Serahkan dulu hati pada Allah, Allah akan dorongkan hati
kita pada orang yang Dia perkenan bila sampai masa yang tepat.
Dan,
maksiat itu akan kelihatan sangat indah. Ia dibayangi syurga dunia. Dan syaitan
itu sangat licik. Ia membayangi maksiat itu dengan keindahan yang palsu.
Mula-mula kita terbiasa dengan dosa kecil, lama-lama dosa besar pun sudah tidak
memberikan kesan pada hati kita. Tiada lagi rasa takut berbuat dosa.
Kami
berempat menunggu sehingga maghrib. Mujur bilik Hanis ini ada tandas dan
ruangannya agak luas. Jadi mudah untuk kami solat di bilik ini sahaja memandangkan
tiada surau di hospital ini.
Aku
dan Seri pulang dahulu. Malam ini giliran Syifa dan Nurul menemani Hanis.
***
Sekalipun
aku berada di atas katil yang empuk di bilikku ini, mataku masih enggan pejam.
“Seri,
kau dah tidur ke?”
Aku
cuba memanggil Seri. Namun tiada respon. Seri telah hanyut dalam mimpinya.
Manakala aku masih terkebil-kebil menanti hari esok. Aku yakin, bila Hanis
terjaga dari tidurnya yang panjang itu pasti suasananya akan berubah sama
sekali.
Aku
sudah siap membeli bubur nasi dari sebuah kedai bubur nasi yang terkenal di
Korea, Bonjuk. Aku minta dia balutkan dengan plastik khas kerana aku mahu bubur
ini masih panas bila Hanis bangun untuk bersarapan nanti.
“Dah.
Jom cepat. Nanti sejuk bubur.”
“Aku
kagum la dengan kau ni, Sufi.” Mata Seri redup memandangku. Aku diam tidak
berkata apa.
“Macam
tu punya teruk Hanis buat kau, sampai kau tak lalu makan fikir pasal dia,
sampai sekarang kaulah orang yang paling bersungguh-sungguh nak Hanis sembuh.”
Mataku sudah berkaca. Emosiku kini tak stabil. Asal sahaja perkara ini
dibangkitkan, secara sendirinya air mataku merembes keluar.
“Kalau
aku di tempat kau, memang dah lama tawar hati. Bukan senang nak padam semua
sakit tu.” Seri tidak memandangku lama. Dia enggan turut sama menangis.
“Sebab
korang kawan aku. Kawan aku dunia akhirat. Seumur hidup aku, tak pernah aku
jumpa kawan sebaik korang. Kalau kau di tempat Hanis pun aku akan bersungguh
nak kau sembuh, Seri.” Aku masih pegang pada kata-kata kak Adilah. Aku
bersahabat kerana aku ingin masuk syurga bersama-sama.
Kami
berdua menaiki bas ke hospital. Tidak jauh. Menaiki bas kira-kira 20 minit.
Aku
menolak perlahan pintu bilik Hanis. Syifa dan Nurul masih terlena di atas sofa.
Hanis tiada di katilnya. Bunyi pancuran air di tandas memberiku andaian bahawa
Hanis sudah bangun dari tidurnya yang panjang.
Aku
dan Seri mengejutkan rakanku yang sedang nyenyak tidur. Pasti semalaman mereka
berjaga menemani Hanis.
“Nurul,
bangun! Korang baliklah. Kitorang ganti pulak.”
Nurul
sudah membuka matanya. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan. Duduk
menegak dan melunjurkan kaki. Mungkin kakinya kebas kerana terpaksa tidur di
atas sofa yang kecil itu.
Pintu
tandas dibuka dari dalam. Hanis kelihatan sudah bertenaga berbanding hari dia
jatuh pengsan. Aku mengisyaratkan pada Seri supaya membantu Hanis berjalan ke
katilnya. Aku bimbang Hanis akan menolak sekiranya aku yang menghulurkan
bantuan. Aku tidak tahu apa yang sedang difikirkan Hanis.
Sepanjang
menemani, aku hanya diam. Aku tidak mahu Hanis tertekan dan menaikkan
kemarahannya seperti tempoh hari sekiranya aku bersuara. Mana tahu kalau Hanis
masih membenciku?
Hanis
juga begitu. Dia hanya diam sepanjang hari. Tidak bercakap walau sepatah. Hanya
mengangguk dan menggeleng bila ditanya. Mujur Seri memahami. Tanpa bersoal
banyak, Seri duduk di tepi katil Hanis dan bersedia untuk membantu sekiranya
diperlukan. Dan aku hanya memerhati dari jauh. Tak apalah. Asal Hanis sihat dan
boleh kembali belajar seperti dulu.
Kira-kira
jam 3 petang, seorang doktor wanita masuk ke bilik Hanis. Setelah melakukan
pemeriksaan, doktor mengesahkan yang Hanis sudah boleh pulang. Namun dia diberi
surat kebenaran cuti untuk berehat di asrama dan tidak perlu ke kelas.
Mujurlah, sekarang ini memang waktu cuti pun.
Aku mengemas
semua barang-barang Hanis dan bersedia untuk bertolak. Seri menolak kerusi roda
Hanis sehingga ke pintu depan hospital. Aku membontoti dari belakang.
Aku
menahan teksi dan meletakkan barang-barang di bonet kereta. Seri membantu Hanis
masuk ke dalam teksi. Aku pula mengambil tempat di sebelah pemandu dan
memberikan alamat asrama kepada pemandu teksi tersebut.
Sampai
di asrama, Nurul dan Syifa sudah menunggu di lobi. Merekalah yang memapah Hanis
sampai ke bilik. Mujur Hanis masih boleh berjalan. Cuma badannya terasa lenguh
kerana lama berbaring.
Sejak
Hanis balik dari hospital, aku sering menghabiskan masa di perpustakaan. Perpustakaan
tetap dibuka walau pada musim cuti semester.
Aku
hanya pulang ke asrama bila malam sudah menjengah. Sekadar untuk tidur.
Subuh-subuh lagi aku akan keluar dari bilik. Sekalipun begitu, aku sering
berjumpa dan bersembang dengan rakan-rakanku yang lain di luar asrama. Dan
mereka memahami situasiku ketika ini.
“Sufi,
sampai bila kau nak keluar awal pagi, balik lewat malam? Nanti kau pulak yang
sakit.”
Nurul
menyatakan kebimbangannya dengan tindakanku itu.
“Aku
takut Hanis marah lagi pada aku. Nanti lagi teruk dia sakit. Lagipun, Hanis tak
bercakap dengan korang jugak, kan?”
“Mungkin
Hanis perlukan masa, Sufi.”
Syifa
menenangkan aku.
“Aah,
aku pun rasa Hanis perlukan masa. Jadi aku bagi dia masa untuk bersendiri tanpa
kehadiran aku di depan mata. Siapa tahu, dia akan lebih cepat sembuh.”
“Kalau
kau kata macam tu Sufi, kami terima. Tapi kalau kau ada masalah, kau kena janji
takkan pendam sorang-sorang.”
Aku
hanya mengangguk dengan saranan Seri.
“Korang
memang sahabat yang baik. Mati hidup semula pun belum tentu dapat kawan macam korang.”
Aku
menangis teresak-esak. Terharu dengan kejujuran persahabatan mereka.
“Kami
lagi beruntung dapat kau sebagai kawan, Sufi. Belum pernah seumur hidup aku
tengok orang yang macam kau, ikhlas bersahabat. Sanggup berkorban demi sahabat.
Hanis rugi kerana buang kau.”
Kami
berempat berpelukan. Selain keluargaku di kampung, sahabat-sahabatku inilah
yang menduduki carta teratas dalam hatiku.
Aku
bukannya mahu menjauhi Hanis kerana berkecil hati, namun aku bimbang sekiranya
kehadiranku di depan Hanis menambah lagi tekanan yang dialami. Biarlah masa
yang merawat Hanis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan